Korner Mak Datin: Datin Gila Instagram!

Korner Mak Datin: Datin Gila Instagram!

DatinX___2-page-001
 
Meriah betul wedding of the year keluarga Puan Sri Khadijah hujung minggu lalu, seluruh dewan pusat konvensyen itu dilitupi satin krim dan bunga-bunga wangi rona putih menjadi hiasan tengah meja serta pelamin umpama singahsana di kayangan menjadi titik tumpu malam itu. Maklumlah anak bongsu yang memang antara socialite paling cantik berkahwin pula dengan anak menteri, tentulah majlis yang diabadikan juga perlu grand dan khidmat semua yang terbaik dalam industri perkahwinan di Kuala Lumpur menjadi pilihannya.
 
Saya juga tidak boleh kalah gaya, mujur kurung moden sutera Itali yang ditempah dengan pereka paling popular di Kuala Lumpur ini sempat di alter. Maklumlah badan baru turun dua kilo baru-baru ini gara-gara menggelak jamah nasi dan karbo selama dua minggu. Memanglah nak pengsan sebab hanya berbekal protein dalam menu tetapi hasilnya cukup mengagumkan. Tapi cukuplah berdiet sakan, asal perut tak membuncit lagi dan tak kekok lagi nak menyarung dress Pucci dan Donna Karan, saya gembira dengan tubuh yang tak perlu nak hebat macam supermodel pun asalkan sihat itu sudah memadai.
 
Dewan yang sarat dengan dekorasi bertemakan kayangan itu juga dipenuhi dengan orang-orang kenamaan, saudara mara Puan Sri dari negeri Cik Siti Wan Kembang dan sebelah Datuk Seri yang sebahagiannya dari Riau. Juga paling menjadi perhatian adalah fashionista rakan baik pengantin perempuan masing-masing bergaya sakan. Dengar cerita berlumbalumba pereka tempatan menyiapkan busana untuk tetamu juga yang dah hampir sama cantik dengan pangantin. Perincian jemeki, renda Perancis dan sifon mewarnai setiap ruang. Malah ada juga yang terpijak train yang dah nak sama panjang dengan busana pengantin.
 
Sama hebat aksesori mereka lengkap dengan clutch dari Chanel, Anya Hindmarch dan Fendi. Kerlipan berlian memang tak usah pertikaikan dan langkah makin hebat dengan sepatu Jimmy Choo, Stuart Weitzman atau Sergio Rossi masing-masing. Saya duduk bersebelahan Datin Aina, dulu kami jiran di Melawati bersama Puan Sri Khadijah. Datin Aina yang datang bersama anaknya kerana Datuk ke luar negara bersama delegasi kerajaan ke Jepun. Tapi memang jarang nampak Datin Aina dengan suaminya sekarang. Katanya Datuk sibuk ke luar negara hampir setiap minggu kerana terbabit dalam agensi yang mempromosi usahasama dengan negara luar.
 
“Jom snap satu gambar. Kita selfie satu I nak update IG,” ayat pertama Datin Aina sebaik saya dan suami duduk di meja 15. Bukannya beri salam tapi diajak bergambar sebaik bertemu! Aduhai, nak tak nak saya turutkan juga takut nanti Datin Aina merajuk pula, dahlah duduk semeja dan malam pula baru nak bermula. Sambil Aina sibuk edit foto kami tadi untuk dimasukkan dalam Instagramnya, saya bertegur sapa dengan Sally yang datang dengan adik tirinya yang iras Kendall Jenner. Bisiknya ingin diperkenalkan kepada dunia socialite yang datang ke majlis ini. Seolah menjaja adiknya yang punyai wajah kacukan itu dan potensi untuk jadi menantu VIP. Dan Sally cukup riak bercerita adiknya itu sudah disunting untuk berlakon dalam sebuah filem.
 
Kini dah jadi satu lumrah bila ada majlis seperti kenduri hebat seperti ini masingmasing tak lekang dengan smartphone merakam apa saja yang boleh dimuatkan untuk diupload sekadar segera. Orang yang tak hadir juga boleh menjamu mata seolah ada di sana. Gambar selfie, wefie dan batang-batang monopod terjulur ditengah-tengah dewan bukan lagi satu fenomena tapi jadi menjadi kelaziman dimana jua. Jadi bila semak timeline, siapa yang tidak pergi kenduri itu boleh berasa seolah ada disitu juga kerana boleh tengok segenap ruang dari dekorasi, dessert table, bunga telur, klip pengantin berarak masuk dan hidangan, semuanya boleh disaksikan secara live dengan hashtag nama pengantin memudahkan lagi “album” malam itu ditonton.
 
Bukan saya tak teruja nak jumpa Datin Aina bila dah duduk semeja ni, tapi dari siang tadi saya dah tahu apa dia pakai, rambut buat dimana, kasut padan dengan clutch mana dan pukul berapa keluar rumah tadi dan jalan yang mana pemandu dia bawa untuk elak trafik lewat Jumaat itu.
 
Ya, Datin Aina memang gila Instagram. Hampir setiap setengah jam, timeline penuh dengan update darinya. Bukanlah banyak pun followernya walaupun dia tak private pun akaun Instagramnya itu. Sebelum ni bila kami semua sibuk dengan Facebook dan Twitter, Datin Aina tak pernah teringin nak join pun, tapi dengan Instagram ni, sejak Sally tolong buatkan akaun untuknya setahun lalu, bukan main rancak Datin Aina mula memenuhi album dunia mewahnya itu. Masa baru mula dulu, masih malu-malu kucing hanya update sekali sekala gambar bunga di lamannya, gambar hidangan yang dipesan di beberapa restoran mewah pada sesi date dengan Datuk. Cuma sejak beberapa bulan ini, kekerapan Datin Aina meletakkan foto-foto yang siap dah berfilter bagai memenuhi timeline.
 
Antara teks Whatsapp saya dengan Puan Sri Hanisa yang rasanya dah rimas dengan update Datin Aina yang makin rancak ini…
 
“Datin, you dah tengok apa yang Aina baru upload?” tanya Puan Sri.
 
“Belum, sekejap nanti I check,” saya pun segera buka aplikasi Instagram yang kini sudah terletak di muka pertama paparan telefon.
 
Walaupun rimas, tidak dinafikan kami semua teruja nak “menonton” aksi Datin Aina yang kini sudah pandai beraksi Look Of The Day (LOTD) yang bukannya satu sehari tetapi beberapa persalinan bermula dengan persalinan ke gim di awal pagi, set yang dipakai kala menghantar anaknya ke sekolah antarabangsa di pinggir bandar itu kemudian jika dia ada berjanji sesi makan tengah hari atau coffee, lain pula LOTD yang disarungkan.
Lagi hebat bila ada dinner atau acara tertentu yang dia akan hadiri, siaplah timeline dengan turutan sesi dia bersiap dari salun, mani & pedi sehinggalah selfie dirinya berlatarkan event itu dengan deretan pelbagai hashtag untuk setiap gambar.
 
“Wow, ini koleksi baru ni!” teks saya selepas melihat timeline.
 
“Itulah, bukan baru saja dia beli edisi ostrich minggu lepas, hebat dah ada limited edition yang baru on sale di Milan minggu lepas,” komen Puan Sri Hanisa pula.
 
Dan kali ni Datin Aina dah pandai guna app sampingan Instagram yang memang popular dikalangan mereka yang suka LOTD atau OOTD dan juga cukup suka hashtag yang panjang berjela dan memenuhi ruang skrin telefon dengan hashtag semata.
 
Memanglah seronok nak tengok beg baru itu dipadankan dengan gelang Hermes, sepatu Loubutin, subang Chanel dan dress Gallianonya itu. Bukannya pelik sebab semuanya branded top-to-toe tetapi kalau dah gayanya sangat over the top, dah tak kena gaya pula jadinya. Dan oleh sebab orang yang follow akaun Instagram Datin Aina yang tak private, boleh jadi sesiapa saja termasuk Penjual_Ubat_Langsing_Herba_Malaya… memang komen-komen yang diterima juga sekali sekala ada yang pedas mencela.
Tapi komen-komen itu tidak dihiraukan Datin Aina langsung kerana baginya mendapat lebih dari 20 likes sudah membuatnya teruja. Katanya, inilah peminat setia gayanya.
 
“Oh dah 12 like! Mesti diaorang suka combination baju I hari ni kan Datin?” katanya selepas sejam memuatnaik foto persalinan yang disarung untuk ke tea party Sally minggu lalu.
 
“Next time I memang tak nak jemput Datin Aina datang lagi. Bukannya dia nak bersembang dengan kita tapi asyik main telefon saja!” luah Sally yang cukup pantang sesi parti di penthousenya ini tidak diambil seriously oleh tetamu yang dijemputnya secara eksklusif ini.
 
Bila hadir ke acara macam ni lebih hebatlah Datin Aina memenuhi timeline, habisnya sepanjang masa di majlis dia hanya bersosial dengan telefon saja kerana orang disekeliling dah tak penting dan update Instragram pada kadar segera dan adakalanya siap diedit dengan pelbagai filter yang dianggapnya seolah satu karya seni tontonan umum.
 
Ada kala saya hairan dan pernah juga menegur Aina supaya jangan terlalu riak mempamerkan barang-barang berharganya kerana entah siapa saja yang melihat semua ini mungkin boleh buat orang mula jadi stalker gerak gerinya.
Hinggalah satu hari, orang yang tidak dikenali, seorang lelaki pertengahan umur yang mengakui dia “fan” Datin Aina menegurnya ketika sedang minum kopi di sebuah kafe Jalan Telawi. Sambil memuji beg tangan dan sepatu yang sedondon, dia juga tak habis-habis mengerling barang kemas Van Cleef dan jam tangan Piaget yang mengikut Instagram Datin Aina pemberian suami dua hari sebelumnya.
 
“I tak senang duduk masa tu. Memang menggerunkan, lelaki tu pandang I atas bawah dan duduk di meja sebelah. Dah tu asyik tersenyum bila I terpandang dia.”
 
“I tak berani bergerak dan mintak Datuk datang segera ambil I disitu. Mujur Datuk was in town to rescue me. Kalau tidak memang lelaki tu akan ikut I sampai ke dalam kereta gamaknya!” cerita Datin Aina yang mula sedar perilakunya di laman Instragram tak boleh dipandang enteng demi keselamatan sendiri.
Sejak itu, dia lebih berhati-hati nak upload foto OOTD dan cuma meletakkan selfie solekan pula kerana katanya bercerita mengenai solekan tak begitu berbahaya.
 
Aduhai… minat baru pula muncul selepas gian tayang aset fesyen tidak diupload lagi. Terpulanglah, itu dunianya dan lingkaran rakan kami juga dapat perhatikan satu lagi trend baru Datin Aina yang sering upload gambar dia bersama keluarga sejak akhir-akhir ini.
 
Khabarnya akibat kemaruk dengan dunia Instagramnya itu sebelum ini, suami pun dah kurang layanan dan pernah dengar beberapa kali Datuk kantoi keluar dengan beberapa eksekutif tinggi dalam syarikatnya. Malah ada yang pernah jumpa Datuk bersama orang kanan dari syarikatnya ketika lawatan kerja di Hongkong tetapi dalam mood seolah sedang berbulan madu bukannya menghadiri persidangan.
 
Mungkin Datin Aina ingin menutup aib Datuk yang sejak dulu lagi cukup galak dengan pekerja-pekerjanya ini. Nak cover rumahtangganya yang pernah dikhabarkan sebenarnya porak peranda, dia sering upload foto keluarga bahagianya selang beberapa hari walaupun hanya seorang dua saja yang akan klik like pada gambarnya itu.
Dan tidak hairanlah dulu Aina akan sering meletakkan hashtag #thankyousayangDN setiap kali meletakkan LOTDnya supaya orang semua tahu Datuk Nizam yang hadiahkan semuanya buat isteri tercinta dan dia sentiasa bahagia dengan limpahan kemewahan yang Datuk berinya.
 
Walaupun dalam tahun ini mereka belum pergi bercuti ke luar negara, Datin Aina cukup suka upload gambar percutian sekeluarga dalam sesi #throwback pula. Memang nampak hebat lah… dari Sydney ke Osaka. Esok lusa gambar mereka sekeluarga di Istanbul selepas mengerjakan umrah tahun lalu. Jalan-jalan di Pulau Jeju dan menyaksikan F1 di Monaco antara yang paling banyak dimasukkan walaupun itu sudah tiga tahun yang lalu punya cerita.
Memang Datin Aina tak boleh hidup tanpa Instagram. Ia menjadi medan mempamerkan kehidupannya yang umpama dalam balang kaca untuk tontonan umum.
 
Supaya tidak menjadi buah mulut orang, gambar lama pun menjadi habuan saat Datuk mula buat perangai. Jika dulu asyik hashtag #thankyousayangDN sekarang ditambah pula dengan #myhappyfamily #loveyoutiljannah #preciousfamilytime membingkai foto dunia Datin in denial.
 
“Hah tengok tu, dia upload lagi gambar Datuk bawa dia dinner di hotel tempoh hari. Memang nak tunjuk sangat yang Datuk layan dia macam ratu walhal semua orang pun tahu Datuk taklah setia sangat macam yang digambarkan ni,” ujar Datin Sue yang memang dah lama meluat dengan sikap Datin Aina.
 
Datin Sue pernah memberitahunya bahawa Datuk keluar dengan pekerjanya tetapi terus Aina naik berang dan putus kawan serta tak mahu berada di majlis yang sama dengan Datin Sue lagi.
 
“Kelmarin pun I nampak Datuk dengan perempuan yang sama. I tak faham kenapa Aina nak marah I bila bagitau dia dulu. Bukannya I buat cerita tapi nampak dengan mata sendiri.” terang Datin Sue yang memang hebat dalam bab penyiasatan suami curang ini.
 
“At least dengar la dulu orang nak explain. Ni tak pasal-pasal nak boikot I pulak,” keluh Datin Sue yang bukannya jenis nak membawa-bawa cerita dan cukup prihatin dengan kisah rakan-rakan yang sering ditipu suami begini. Dia memang cukup lali dengan karenah suaminya sendiri yang memang kena pasang penyiasat persendirian untuk laporkan gerak geri Datuk miang.
 
Itulah dunia sekarang, lebih mudah nak nafikan apa yang tidak untuk tampak gah hanya perlu upload foto dunia yang serba sempurna.
 
Namun Datin Aina terkedu tak berapa lama selepas saya bertemunya di kenduri Datin Khadijah itu apabila skandal suaminya itu upload foto dalam Instagram dan gunakan hashtag yang sama #thankyousayangDN dengan wajah Datuk Nizam tersenyum berlaga pipi dengan gadis yang menggelar dirinya sexy_lover_girl!
 
 

See also
NYFW: Hari Pertama