Korner Mak Datin: Datin Derita Dicerca Anak Tiri

Korner Mak Datin: Datin Derita Dicerca Anak Tiri

DatinX9Gambar: Arkib GLAM

 

*Seperti yang diceritakan oleh Datin Ema kepada Datin Julia 

 

Ini bukan cerita sembrono atau cerita sembarangan yang sengaja aku reka. Ini adalah cerita jiwa yang sudah terpendam sekian lama. Cerita jiwa yang menyempit dada sehingga menyesak salur nafasku. Andai terus dipengapkan di situ, akan rosak binasalah dadaku, akan bengkak bernanah jiwaku malah batinku. Hingga akhirnya, membusung dan memboyot bagai bisul yang berdenyut-denyut mahu memuntahkan nanah kuning bercampur merah darah yang berlendir dan berbau hanyir.

 

Biarkan bisul itu pecah bertaburan nanah dan darah. Biarkan bau hamisnya bertebar ke setiap rongga hidung manusia. Biarkan mereka mual dan loya menghidu busuknya nanah bercampur darah. Aku tidak lagi mahu peduli. Ketidakpedulian merekalah yang sebenarnya menjadikan aku manusia yang tidak lagi peduli. Nanah dan darah yang membengkak dalam jiwaku tidak mungkin tertahan lagi. Biarkan ia pecah berderai agar semua orang tahu itulah isi batinku. Itulah seksa yang tersimpan jauh dalam relung jiwaku. Itulah derita yang terperosok pedih menghiris ulu hatiku.

 

Barangkali kalian tertawa terkekeh-kekeh mendengar ceritaku. Mana mungkin aku yang duduk tersandar selesa dalam mobil mewah bengkak hatinya? Hari ini meluncur deras dalam perut BMW 7 siri. Esok memandu laju pacuan empat roda Porsche Cayenne. Lusa, berpeleseran dengan Mini Cooper hadiah sang suami. Sungguh,  keretaku pelbagai jenama terpakir megah di ruang garaj. Namun, itu hanya simbol kekayaan lahiriah. Lambang kemegahan yang mengukur darjat. Yang nyata, rohaniku miskin dan papa. Sarat bersarang derita dan kecewa.

 

Mana mungkin aku yang melangkah anggun dengan sedondon pakaian dan tas tangan berjenama tersohor membusung batinnya? Waima berderet hasil reka cipta Louis Vuitton, Prada, Chanel, Dior, Jimmy Choo, Vera Wang dan seluruh warga pereka antarabangsa menghiasi gerobok peribadiku namun itu hanya ketaasuban materi. Semuanya gagal menyembuhkan sengsara batinku. Aku tetap jua diselimuti lara. Aku masih utuh dibungkus duka. 

 

Dengarlah penghuni buana aku mahu bercerita. Cerita tentang jiwa yang tenat bermukim sengsara. Aku pasrah dengan jodoh ketentuan Ilahi. Walaupun ditohmah bahawasanya perkahwinanku ini bersandarkan cinta materi, aku tidak pernah melatah. Aku akur, tuduhan itu lazim bagi wanita muda menikahi lelaki tua yang punya gelaran ‘Datuk’. Aku pun tidaklah terlalu muda. Usia 40-an bukan muda apatah lagi berstatus balu anak dua. Barangkali kerana ‘datukku’ sudah melewati usia 70-an, maka aku dikatakan muda. Barangkali juga kerana penampilanku yang bergaya menyerlahkan keawetan usiaku. Banyak kebarangkalian yang ada betulnya, fikirku. Maka itu, aku tidak ambil kisah apa kata orang.

 

Justeru yang aku kisah adalah sikap anak-anak tiriku. Dari awal pernikahan kami, tiada riak kegembiraan sejati pada wajah mereka. Lebih tepat, tiada rasa suka yang ikhlas lagi tulen. Bagiku, keikhlasan yang tulen akan jatuh ke hati dan dapat kita rasakan ia berbunga-bunga di dalam sana. Malangnya, aku tidak merasakannya langsung. Sekelumit pun tidak! 

See also
Choupette, Teman Setia Karl Lagerfeld, Mewarisi Harta £150 Juta

 

Aku tidak pasti apakah kalian dapat merasakannya. Aku juga tertanya-tanya apakah mereka yang hadir pada majlis pernikahanku berasa sama seperti yang aku rasa. Ahh… itu kerja Tuhan. Soal hati bukan kerja aku. Tuhan yang memiliki hati dan hanya Dia yang berkuasa merubahnya. Sekurang-kurangnya, pujukan itu dapat mencairkan sedikit demi sedikit ais yang menggunung di dadaku. Paling tidak, niatku berkahwin bukan kerana mengejar gelaran Datin atau meraih kekayaan singkat atau apa-apa yang lain selain dari kerana Dia. Dia yang menemukan dan Dia yang memisahkan.

 

Namun, adakah kalian fikir anak-anak tiriku faham ini? Andai saja mereka faham, tidaklah perkahwinan aku menjadi satu episod yang membusung nanah dan darah. Syukur juga mereka sudah berkahwin dan tidak tinggal sebumbung dengan kami. Sekurang-kurangnya, aku tidak perlu menghadap wajah mereka yang sedingin salju. Cuma, mereka tinggal berdekatan dengan kami jadi selalu jugalah mereka singgah. Aku tidak kisah pun kalau mereka datang. Tidak ada salahnya. Itu rumah bapa mereka dan aku suka mereka menziarahi bapa mereka.

 

Masalahnya, hanya di hadapan bapa mereka sahaja mereka bercerita dan tertawa. Hanya tatkala bapa mereka ada sahaja mereka bersalaman denganku. Itu pun hanya menghulur hujung jari dan cepat menarik semula sebelum sempat aku menggenggamnya. Bersalam pun tidak memandang mukaku. Kalau berbual pun mereka seboleh mungkin tidak mahu memandang tepat ke wajahku. Hanya aku yang terhegeh-hegeh bertanya itu dan ini sebagai menghormati mereka. Itupun waktu bapa mereka ada sahaja baru aku berani buka mulut bertanya. Kalau tidak bungkamlah aku seribu bahasa. Memang jelas sikap kepura-puraan yang mereka tunjukkan. Apapun aku kena jaga hati suamiku untuk terus bersikap baik dengan anak-anaknya walaupun hati sendiri menjeruk rasa.

 

Pernah satu ketika mereka datang berdua sewaktu ketiadaan suamiku. Secara kebetulan aku sedang mengemas bilik tidur. Tidak semena-mena, terdengar suara wanita bercakap sambil memekik-mekik. Aku lantas tergesa-gesa turun. Dek kerana terkejut dan terburu-buru, aku jatuh berguling-guling ke bawah. A Pembantuku berlari mendapatkan aku. Dengan susah payah dia membantuku berdiri. Menyeringai aku menahan sakit. Dengan lagak angkuh, kedua-dua anak tiriku menghampiri dan bertepuk tangan. “Padan muka! Mampus lagi baik!” Kata si kakak. Si adik hanya tertawa dan mereka berlalu pergi.

 

Hatiku bagai disayat-sayat buluh runcing yang terjal. Hina sangatkah aku? Bangsat sungguhkah aku? Besar amatkah dosaku hanya kerana aku menikahi bapa mereka? Berulang kali aku cuba mencari-cari di mana kewajaran kata-kata mereka tadi. Biadapnya mereka! Kejamnya mereka! Sampainya hati mereka melemparkan kata-kata begitu pada insan yang Tuhan pilih menjadi ibu mereka. Walaupun aku bukan ibu kandung, namun julukan ‘ibu tiri’ bukan tiket untuk mewajarkan perbuatan biadap mereka. Aku nanar seketika. Mereka bukan anak kecil yang kurang didikan. Kedua-duanya lulusan universiti dan memegang jawatan profesional. Mengapa mentaliti mereka lebih rendah daripada masyarakat setinggan?

See also
Datin X: Belanja Bulanan Isteri Kedua Cecah Suku Juta

 

Benarlah mereka membenciku. Benarlah mereka ingkar menerima kehadiranku. Benarlah aku racun dalam keluarga. Walaupun sebahagian diriku menidakkan itu tetapi sebahagian lagi membenarkan bahawa aku adalah virus yang perlu dimusnahkan. Dan… benarlah aku masih lagi tenggelam dalam kolam ais mencair yang mulai dengan perlahan ingin menenggelamkan aku hingga lemas ke dasarnya. Dan… perasaan itu datang lagi. Rasa sejuk mencengkam kalbuku yang paling dalam. Rasa sejuk menggigit hingga ke tulang belulang sum sum yang mulai rapuh. Pada siapa harus aku mengadu? Suamiku? Keluargaku? Anak-anak kandungku yang masih mentah? Mereka pasti tidak akan faham. Mereka pasti tidak berasa kesejukan yang aku rasa. Lalu… aku biarkan.

 

Dua hari kemudian, pembantu rumahku (bibik) mengkhabarkan tentang apa yang berlaku sebelum kejadian aku jatuh tangga. Anak-anak tiriku datang dengan marah-marah. Bibik diarahkan berhenti kerja. Mereka memaksa bibik pulang ke kampung atau kalau enggan lari saja dari rumahku. Kata mereka, aku masih muda dan tidak perlukan pembantu di rumah itu. “Biar semua kerja rumah perempuan tu buat, menghabiskan wang bapak saya saja bayar bibik. Bibik lari saja. Pandailah kami beritahu bapak. Apa bibik takut? Bibik lari ke kedutaan, lapor aje bibik tak mau kerja sebab majikan dera,” begitu mereka mengajar bibik berbohong. “Awas ya bik, jangan beritahu bapak tentang kami berdua. Nahas bibik nanti,” tambah mereka lagi.

 

Keengganan bibik menuruti kemahuan mereka membakar kemarahan yang sedia ada. Apalagi, meletup-letuplah bara gunung meledakkan lahar panasnya. Suara mereka menjerit-jerit memarahi bibiklah yang aku dengar tempoh hari. Begitu memuncak sekali kedengkian mereka padaku sehingga sanggup merancang agenda sedemikian rupa. Apalagi agaknya selepas ini. Aku tidak terkejut kalau ada sebaris agenda yang telah diatur untuk nyah aku dari hidup bapa mereka. Malahan aku juga tidak terperanjat jika plot yang mereka atur berjaya kerana aku pasrah. 

 

Tiada niat bagiku menggantikan tempat ibu mereka. Sungguhpun patah tumbuh hilang berganti namun bukan ibu sejati. Aku sedar, kakiku berpijak di bumi nyata. Berkahwin dengan seorang ‘Datuk’ tidak melarutkan aku dalam khayalan. Jauh sekali untuk bermegah-megah dengan kedudukan yang ada. Aku hanya mahu menumpang kasih sambil mengisi sisa-sisa hidup bertemankan suami yang akan mengiringiku ke syurga. Apakan daya, jalan ke syurga memang tidak sepi dari onak dan duri!

 

Kalian kira berapa lama agaknya aku boleh biarkan segala? Setahun, dua tahun atau sampai ke hujung nyawa? Aku sendiri pun tak bisa menduga. Kalbuku masih terus membeku umpama iklim di kutub sana. Kekadang aku hairan, bagaimana aku mampu membendung musim dingin di hati tanpa suami menyedari. Kekadang aku tertanya-tanya, adakah kerana pandai memendam rasa atau memang suamiku tak punya rasa. Tidak pernah sekali aku melalui musim bunga berseri walaupun sedang dikelilingi daffodil dan tulip mengorak kembang. Mataku melihat iris, azalea, magnolia juga mawar mekar mengharum namun batinku dingin dihampar salju putih membisu. Mataku bernyanyi riang di taman sari namun batinku menangis di penjara ais membongkah terjal.

See also
Menyingkap Kisah Romantik: Rubini & Shanratnam dan Fathia Latiff & Aiman Hakim Ridza dan Fathia Latiff

 

Bulan maduku selepas enam bulan bernikah kedengaran indah menari-nari dalam musim panas di Eropah. Eropah indah bermusim bunga tetapi yang nyata hujan ais dihati. Setiap hari, bulan maduku dihujani panggilan telefon dari Malaysia. Anak-anak tiriku mula cemas bapanya berfoya-foya denganku… ibu tiri yang hanya dianggap sebagai ‘pisau cukur’. 

 

Tidak mahu bertelagah dengan anak-anak yang berkira soal wang, suamiku mengalah lalu mengajak aku pulang. Aku akur walaupun hanya empat hari sempat menghidu harum kasturi. Lalu… aku biarkan  lagi… biarlah sudah tertulis setakat itu sahaja rezeki kunjunganku ke Eropah. PenaNya telah termaktub dan dakwatNya sudah lama kering. Tiada daya dan upaya untuk memadam selain kurniaan Dia. Sangkaku, sudah pulang tamat cerita. Rupa-rupanya, sindiran dan kritikan semakin menjadi-jadi. Kali ini anak kandungku yang masih bersekolah rendah dan tidak faham apa-apa menjadi sasarannya juga.

 

Luluh hatiku melihat barang-barang permainan miliknya dirampas kakak tiri. Sambil memasukkan segala permainan yang ada ke dalam plastik sampah, mulut mereka menyumpah seranah mengata anakku menghabiskan duit bapa mereka. Apalah yang difahami oleh kanak-kanak darjah tiga selain dari menangis mengongoi meratapi barang kesayangannya dirampas. Dan… aku tidak dapat berbuat apa. Aku… ibu yang mengandung dan melahirkannya tidak dapat mempertahankan milik peribadinya. Aku… ibu yang seharusnya melindungi hanya mampu melihat dalam kelelahan. Sebak dadaku tidak tertanggung. Tolonglah, anakku anak yatim. Anakku tidak pernah diberi kesempatan melihat wajah bapanya. Anakku tidak pernah mendengar garau suara lelaki bergelar bapa. Bapa kandungnya dijemput Tuhan ketika dia dalam perutku. Janganlah diperlakukan seperti anak bangsat yang tak punya harga diri. Itu… itu suara hatiku. Itu suara batinku yang terpasung oleh bongkah-bongkah ais. Hanya suara halus yang menjerit dalam dada. Hanya suara wanita lemah yang tidak berdaya. Kasihannya anakku yang tidak berbapa. Kasihannya anakku yang juga seperti aku sekadar ingin menumpang manja.

 

Demi kasih pada suamiku iaitu bapa mereka, buat kesekian kalinya aku biarkan lagi. Kutahan hati daripada mengadu domba kerana itu bukan sifatku. Kutahan hati untuk bercerita kerana takut suamiku akan bertindak gila terhadap anak-anaknya. Kutahan hati untuk meluah segala takut suamiku tidak percaya. Segalanya bermain di fikiran. Kata hatiku lagi, biarkanlah. Asalkan suamiku dan anak-anaknya bahagia biarlah aku pilih derita.

 

*Artikel ini disiarkan dalam GLAM Mei 2012