Datin X: Perempuan Simpanan Seumur Hidup

Datin X: Perempuan Simpanan Seumur Hidup

DatinMuda_Suzana_Okt2012Gambar: Arkib GLAM

 
Bercerita mengenai ‘teman’ baru Datin X yang seorang ini, memang pening kepala dibuatnya. Aina yang dulunya berasal dari Perak, duduk di perkampungan Felda kini nasib hidupnya berubah menjadi wanita kaya-raya. Tak perlu bekerjalah kalau ada yang ‘membela’! Datuk Azlan menjalin hubungan dengan Aina a.k.a perempuan simpanannya sudah puluhan tahun! Tipulah anak bininya tidak tahu tentang kewujudan si Aina ini. Detik pertemuan mereka bermula sewaktu Aina menjadi kerani untuk syarikat hartanah Datuk Azlan. Orangnya pula boleh tahan kacak, waktu itu Datuk Azlan pun muda lagi baru 40 tahun. Apa lagi, Aina menggunakan segala aset yang ada pada dirinya untuk menawan hati bosnya itu. Badannya yang sememangnya lentik sengaja dia pakai dress ketat-ketat ke pejabat. Lekuk tubuhnya nyata menggiurkan! Kebetulan pula Datuk Azlan pula bermata keranjang. Aina pancing mangsanya dengan kecantikannya. Akhirnya terjeratlah Datuk Azlan.
 
Dek kerana terlalu angau dengan si Aina, Datuk Azlan hadiahkan banglo dua tingkat di Damansara Height buatnya. Apa lagi cuci kaki sajalah Aina pun. Bahagia tak terkira dirinya. Sakan dia membeli-belah untuk perabot di rumah. Nak beli di kedai perabot ternama saja. Tanpa segan silu dia beritahu Datin X, “Datuk dari dulu sampai sekarang kalau balik ke rumahnya tentu akan berasmaradana dengannya!” Jijik Datin X dengar. Tak perlulah nak bagitahu hal-hal macam tu. Tak hingin nak tahu pun! Itu belum masuk cerita apabila Datin Natrah datang menyerangnya, selamba dia kata “Hey, perempuan kau yang tak reti jaga lelaki jangan nak salahkan aku pula.” Walaupun usianya hampir separuh daripada Datin Natrah, lancang saja mulutnya pertahankan dirinya. Pernah Datin Natrah upah kereta melanggarnya. Mujur panjang umurnya. Hanya patah tangan sahaja. Tapi dengar cerita awal-awal sahaja Datin Natrah mengamuk bagai nak gila. Sekarang langsung tidak. Dia dah pasrah lah kot lakinya ketagih dengan perempuan seperti Aina. Asalkan duit yang diberi suaminya bulan-bulan lumayan. Sekurang-kurangnya dapatlah merawat duka di hati yang memang tidak akan terubat.
 
Hidup Aina pula tidak ubah seperti di sangkar emas. Walaupun dia memiliki barangan mewah tetapi kemana dia pergi, dengan siapa dia bertemu semuanya harus diberitahu kepada Datuk Azlan. Tas Chanelnya saja lebih daripada 10 buah beg! Dia memang rakus berbelanja. Tapi dia tidak boleh jadi sosialit yang boleh ke majlis dan bergaya dengan persalinan label perekanya. Atau masuk ke majalah memperagakan koleksi walk-in-closetnya seperti teman-temannya yang lain. Mampus Datuk Azlan naik hantu. Saban waktu ada saja pihak perhubungan awam untuk jenama Chanel ke, Hermès ke, Dior ke, dan lain-lain menjemputnya ke majlis. Ya lah dia adalah regular customer di butik mereka. Jawapannya memang tidaklah. Jika ke majlis-majlis Datuk Azlan pasti bersama Datin Natrah. Tidak pernah di bawa Aina bersamanya. Kerja gila namanya jika membawa Aina ke majlis-majlis di ibukota. Dia pula ahli politik, habislah kedudukannya jika ketahuan ramai tentang perempuan simpanannya. Pavilion dan KLCC je lah tempat Aina bergaya bersama teman-temannya untuk sesi minum-minum kopi. Masa itu dia akan pasang badan habis-habisan.
 
Kawan-kawan si Aina ni pun tak ramai kerana dikongkong Datuk Azlan. Nak jumpa mak ayah di kampung jenuh dia memujuk Datuk Azlan. Katanya paling lama boleh di kampung empat hari sahaja. Itupun kalau Hari Raya. Kalau tidak, balik hari sahajalah dari perak ke Kuala Lumpur. Aina pula pandai simpan rahsia akan statusnya sebagai perempuan simpanan. Dia membohongi ibu dan ayah kononnya kerja jadi pengurus di syarikat gergasi di KL. SPM pun tak habis dikatanya jadi pengurus! Aduhai kesian orang tuanya kena tipu hidup-hidup. Bosan Datin X dengar jadual hidupnya saban hari. Bersantai dengan kawan-kawan, tengok tv, beli barang dapur, dan menunggu Datuk Azlan untuk beri servis. Get a life please!
 
Yang peliknya, kenapa Aina tidak mahu jadi isteri nombor dua saja. Sedih Datin X memikirkan sudah puluhan tahun Aina hidup bergelumang dengan maksiat. Tidak takutkah dengan dosa yang menggunung? Timbul rasa kasihan di hati melihat hidupnya yang sedemikian rupa. Selalu juga Datin X bercakap baik-baik, memujuknya agar kembali ke pangkal jalan dan bertaubat. Dengan Datin X dia bercerita dia rupanya memang desperate sangat nak kahwin dengan Datuk Azlan. Hampir setiap kali bertemu dipujuk rayunya Datuk untuk menikahinya. Aina sendiri pun sudah benar-benar mencintai Datuk Azlan tetapi Datuk Azlan tidak ingin menikahinya. Aina hanya layak menjadi teman ranjangnya sahaja. Tidak lebih daripada itu. Menitis juga air mata Aina menceritakan derita yang ditanggungnya sejak sekian lama.
 
Hari ini dia sudah berusia 42 tahun, dan dia masih setia menjadi hamba nafsu serakah Datuk Azlan. Datin X suruh dia tinggalkan saja Datuk Azlan dan mulakan hidup baru. Tak fasal-fasal dia melenting. Katanya dia tak nak lagi hidup susah. Dia sudah selesa dengan gaya hidup mewahnya walaupun tidak bebas. Katanya sekurang-kurangnya dapatlah dia kirim RM2,000 setiap bulan pada mak dan ayahnya buat belanja makan dan adik-adiknya. Kalau itu takdir hidupnya dia terima. Betul dungu si Aina ini. Yalah lupa pula Datin X, sekolahnya pun tidak habis. Bila difikir-fikirkan balik, ya betul sekarang Aina masih cantik, masih ‘bergetah’ tapi nanti kalau dia sudah tua, mahukah lagi Datuk Azlan ‘bersama’ dengannya? I can’t afford to help narrow-minded people like her! Hidup bertuankan wang ringgit dan bergelumang dosa.
 
 

See also
Sembang Raya Bersama Kilafairy