GLAM Persona: Fazura In Charge - Glam Malaysia
GLAM Persona, Fazura In Charge 06

GLAM Persona: Fazura In Charge

Bersempena isu September merangkap edisi terpenting buat selautan risalah fesyen sedunia, GLAM mengembalikan si jelitawan pujaan Malaya buat kali kelima. Tampil menggayakan magis barangan jauhari laksana Cartier; kemunculan Nur Fazura melengkapi susuk keberanian dan keanggunan prima sang himpunan Panthère de Cartier yang tidak dapat ditandingi.

PENGARAH KREATIF AIZAT AIDID PENGARANG RENCANA ZUHAIRIE SAHROM KONSEP & PENATA GAYA COLIN SIM GAMBAR CHEE WEI SOLEKAN KHIR KHALID PENATA GAYA HIJAB NAZLIVINGASTYLE

GLAM Persona, Fazura In Charge 01

September ini GLAM menampilkan kembali Nur Fazura atau lebih mesra dikenali dengan nama manjanya Faz. Buat kali kelima si jelitawan ini menghiasi wajah sampul hadapan dan acap kali penampilan pelakon merangkap penyanyi dan usahawan sukses ini melengkapi edisi terpenting buat lapangan fesyen global. Sama ada isu bulan Mac atau September, kemunculan Fazura kali ini juga bakal menoktahi sisa usianya di akhir zaman 30-an; menjelang tanggal 27 September nanti. Ternyata kupasan ceriteraanya kali ini lebih memfokuskan sisi kematangan Faz dalam menelusuri kehidupan yang kian mencabar. Selain memiliki kerjaya sebagai usahawan, Faz turut memegang kewajipan dalam membesarkan puteri sulungnya; Nur Fatima Aisya yang bakal berganjak ke usia dua tahun Oktober ini. Sementelah itu, anak jati Pekan ini turut menggalas sama tugas sebagai isteri dalam menguruskan hal rumah tangga sepenuh masa disamping suami tercintanya; Fattah Amin.

GLAM Persona, Fazura In Charge 02

CINCIN (JARI TENGAH) DIPERBUAT DARIPADA EMAS KUNING DENGAN BERLIAN, BATU ZAMRUD DAN ONIKS. DUA CINCIN LAIN PULA BEREMAS KUNING, BATU TSAVORITE DAN LAKUER. GELANG-GELANG EMAS KUNING, BERBATU TSAVORITE DAN LAKUER. GELANG (TANGAN KIRI) DALAM EMAS KUNING, BERBERLIAN, BATU ZAMRUD DAN ONIKS. SEMUANYA KOLEKSI PANTHÈRE DE CARTIER. JAKET PUFFER LONGCHAMP.

Berkolaborasi bersama pengkarya barangan kemas mewah asal Paris, Cartier, Fazura menggayakan himpunan jauhari Panthère yang sudah menjadi sumber inspirasi sepanjang masa buat Cartier. Saat penggambaran berlangsung, krew GLAM menjadi saksi melihatkan Fazura dalam menjalankan kewajipan hariannya sebagai isteri serta ibu. Ternyata dia saling tidak tumpah seperti mana-mana ibu di luar sana yang kuat lagi cekal. GLAM mengusulkan pertanyaan pertama kepadanya mengenai kembara kegembiraannya menjadi ibu sejak menyambut kelahiran Nur Fatima Aisya pada 2 Oktober tahun 2020 yang lalu. “Fatima is the centre of my universe, apart from Fattah of course. Kedua-duanya adalah segala-galanya buat saya. Namun, kala ini perhatian difokuskan kepada Fatima kerana si kecil ini sudah pandai berkata-kata,” cerita Faz membuka bicara.

MOTHERHOOD DAN INTIPATI KEWANITAAN

“Faz memang lakukan apa sahaja untuknya, sampaikan rasa bersalah pun ada kerana menganggap anak kurang perhatian kerana ibu keluar mencari rezeki. Fatima kini dalam fasa clingy seperti tidak boleh dipisahkan. Juga sudah pandai bertanyakan ‘mana mummy?’. Bila mendengarkan pertanyaan itu saya rasa begitu bersalah. Walau bagaimanapun, di malam hari Faz akan memberitahu kepadanya ‘I’m doing this for you, Fatima. Mummy work.’ Ia adalah sesuatu yang sangat, sangat manis. Tidak ada yang tidak indah dalam kembara saya bertambah status dari isteri kepada ibu. Saya berbesar hati untuk menyambut kedatangan puteri sulung kami ini. Dia yang terbaik saat, Alhamdulillah ia adalah satu rahmat dan berkat dari Ilahi,” jelas Fazura.

GLAM Persona, Fazura In Charge 05

CINCIN DAN GELANG TANGAN EMAS KUNING, BATU TSAVORITE DAN ONIKS PANTHÈRE DE CARTIER DI CARTIER. JAKET DAN SELUAR GUCCI.

Tuturnya diungkap sentiasa tersusun rapi, raut wajahnya yang lembut dan sering mengukir senyuman manis menyerlahkan lagi sifat keibuan. “Sudah tentu, bila hari berganti hari tanpa terasa, secara naturalnya sifat keibuan itu seolah bercambah. Sesudah melahirkan Fatima, saya masih menyesuaikan diri dengan rutin serta bayi. Saya rasa, ya ampun beginilah hidup saya mulai saat ini, saya perlu berubah daripada menjadi seorang wanita, kepada isteri dan kini, sebagai Ibu. Faz fokus untuk memikul tanggungjawab untuk membesarkan Fatima selain melindungi juga mendidik. Demikian, saat itu saya boleh kata kan saya banyak memunasabah diri lalu mengadaptasikan situasi kehidupan dengan begitu tenang lagi membahagiakan. Alhamdulillah! Mudah-mudahan Faz dianugerahkan lagi dan sudah pun bersedia untuk mengembangkan keluarga kecil kami ini buat melahirkan cahaya mata kedua kelak nanti. InsyaAllah,” kata Fazura menceritakan sisi kematangannya dalam menelusuri perincian kehidupan sebagai ibu.

GLAM Persona, Fazura In Charge 04

CINCIN, GELANG TANGAN DAN RANTAI EMAS PUTIH DENGAN BERLIAN, BATU ZAMRUD DAN ONIKS KOLEKSI PANTHÈRE DE CARTIER DI CARTIER. PERSALINAN 3.1 PHILIP LIM.

“Apa pula Essence of Woman, panduan sebenar untuk feminiti buat abad ke-21 ini,” tanya penulis. “Bagi saya seorang wanita itu sudah dilahirkan untuk menjadi kuat. Kekuatan kita itu tidak boleh diungkapkan dengan kata-kata. Sekalipun untuk diri sendiri, kita tidak dapat memberitahu betapa ‘power’ seorang insan bergelar wanita. Hari silih berganti, kita wanita sendiri terkejut dengan kekuatan diri sendiri. Jiwa wanita itu, inikan lagi setelah melahirkan anak; kemudian membesarkannya. Di samping itu, turut memendam rasa dengan perkara yang kita lalui, tambah lagi saat mendepani kesulitan. Seperti yang saya katakan, saya rasa bersalah setiap hari meninggalkan Fatima untuk masuk ke pejabat. Itu memerlukan banyak kekuatan, jadi saya tidak boleh memberitahu anda berapa banyak kekuatan yang saya ada dalam diri saya dan begitu juga dengan wanita lain di luar sana.”

BAGI SAYA SEORANG WANITA ITU SUDAH DILAHIRKAN UNTUK MENJADI KUAT. KEKUATAN KITA ITU TIDAK BOLEH DIUNGKAPKAN DENGAN KATA-KATA. — FAZURA

Tambahnya lagi. “Wanita dilahirkan untuk senantiasa mengasihi, mencintai dan menghargai orang lain untuk siapa mereka sebenarnya. Dalam pada masa yang sama, mengorbankan setiap saat dalam apa jua yang mahu direncanakan secara sedar dan tidak sedar. We can be vulnerable and also strong. Dan bagi saya itu takrifan manusia sebenar yang sangat istimewa. Itu anugerah Allah SWT. Namun, dari sisi lainnya juga kaum wanita sudah berubah selari dengan peredaran dunia masa kini. Kalau dulu wanita hanya dipandang harus duduk di rumah dan tidak berpunya kerjaya sendiri seperti kaum lelaki. Akan tetapi hari ini memperlihatkan perubahan yang sangat ketara di mana wanita hari ini juga punya kerjaya serta perkara tersendiri yang hendak dilunaskan.”

GLAM Persona, Fazura In Charge 03

GELANG TANGAN EMAS PUTIH DENGAN BERLIAN, CINCIN-CINCIN EMAS PUTIH DENGAN BATU BERLIAN SERTA ZAMRUD HIMPUNAN PANTHÈRE DE CARTIER DI CARTIER. BUSANA SACAI.

“Bukan saya katakan yang wanita yang duduk di rumah itu tidak berjaya, tapi saya dapat melihat kebanyakan kita bisa membawa sesuatu ke meja. Tidak lagi bergantung pada suami. Kita turut membantu, melengkapi juga mengimbangi rumah tangga agar ia terus mampan bersama. Macam Faz sendiri, I’m very grateful everyday for Fattah, but I’m also grateful that I’m also able to bring something to the table. Kami berdua membawakan sesuatu. Sebab bila kita ada sesuatu yang boleh dipanggil kepunyaan kita, itu memaparkan betapa simboliknya kekuatan para wanita. Sebab kita berusaha untuk meninggikan keyakinan dan kita boleh seimbangkan peranan kita dalam perkahwinan,” jelas Fazura matang.

Baca lanjut dalam GLAM SEPTEMBER 2022

Pautan berkenaan: GLAM Persona: Odisi Seni Marsha Milan