Trend Solekan Bakal Jadi Hit Tahun 2023
Effortless menjadi pilihan, namun solekan era lalu tetap menjadi pilihan ramai. Kali ini, lihat trend solekan 2023 yang bakal menjadi hit!
Setiap kali tibanya hujung tahun, ramai peminat kecantikan yang mula membualkan perihal trend solekan yang bakal menjadi hit di tahun yang mendatang. Ia selalu mengujakan kami di GLAM apabila tibanya topik ini kerana tidak sabar untuk melihat apakah solekan yang menjadi pilihan ramai hari ini.
Dengan kehadiran Wednesday Addams yang sedikit sebanyak memberi impak kepada trend stail, solekan dan gaya rambut, kemudian K-Beauty yang tidak pernah berhenti memberi kesan kepada peminat kecantikan hari ini. Maka, trend apakah yang anda rasakan bakal menjadi hit tahun hadapan?
Yang pasti, kami jangkakan sesuatu yang menarik bakal menghiasi trend tahun 2023. Menurut Cat Quinn, Pengarah Eksekutif Global MAC berkongsi bersama Who What Wear, beliau menjangkakan solekan 90-an seperti soft goth dan nude, bakal menjadi hit tahun hadapan.
Selain daripada dua trend ini, menurut Tasha Reiko Brown, jurusolek profesional Hollywood, solekan effortless turut bakal menjadi pilihan ramai. Solekan yang menyerlahkan kecantikan dan kesihatan kulit berbanding melayang solekan ceria juga penuh statement seperti solekan Euphoria. Namun dalam pada solekan minimal, masih terselit elemen ekstra. Sebagai contoh, solekan kening. Kelihatan banyak pentas fesyen menampilkan solekan kening yang ekstra seperti tatahan kemilau, kening yang dilukis tajam bergeometri, diwarnakan metalik dan juga dilunturkan. Antaranya di Vivienne Westwood, Givenchy, Peter Do dan Roberto Cavalli.