Pengalaman Rawatan Wajah Mewah di Guerlain TRX Kuala Lumpur
Menggabungkan kuasa madu dalam rangkaian Abeille Royale, Guerlain Facial Spa TRX Kuala Lumpur menawarkan pengalaman wajah yang menyegarkan, melembapkan dan mengembalikan seri kulit.
Pada beberapa minggu yang lalu, saya berpeluang mencuba rawatan wajah di Guerlain Facial Spa, TRX Kuala Lumpur, dan pengalaman ini benar-benar istimewa dari mula hingga akhir. Sebaik sahaja tiba, saya disambut dengan mesra oleh juruterapi yang terlebih dahulu membawa saya ke ruang konsultasi. Di sini, kami berbincang tentang keadaan kulit saya, rutin penjagaan harian, serta keperluan utama kulit yang perlu diberi perhatian.
Juruterapi juga berkongsi pemerhatiannya bahawa kulit saya agak berminyak dan sedikit kusam, lalu menjelaskan bahawa rangkaian Abeille Royale yang digunakan sepanjang rawatan akan membantu memperbaiki tekstur, menambah kelembapan, serta mencerahkan seri wajah. Selain itu, rangkaian ini juga selamat digunakan untuk wanita mengandung.
Abeille Royale untuk seri kulit wajah

Selepas itu, saya dibawa masuk ke bilik rawatan wajah yang begitu selesa dan tenang. Bilik ini dilengkapi dengan almari kecil untuk menukar pakaian, sinki peribadi, dan pencahayaan yang lembut. Juruterapi turut mengingatkan saya untuk menanggalkan semua barang perhiasan sebelum rawatan bermula agar semuanya berjalan lancar.
Ritual kecantikan dimulakan dengan Abeille Royale Intense Cleansing Oil yang lembut tetapi efektif membersihkan kulit daripada kotoran dan sisa solekan. Kemudian, wajah saya disegarkan dengan Abeille Royale Cleansing Care in Mousse, menghasilkan buih halus yang memberi rasa bersih dan nyaman. Seterusnya, kulit saya diberikan kelembapan dengan Abeille Royale Fortifying Lotion.
Apabila tiba masa untuk Abeille Royale Youth Watery Oil Serum, juruterapi bukan sahaja menyapukan serum ini, tetapi juga melakukan urutan lembut ke seluruh wajah. Setiap gerakan terasa menenangkan, membantu penyerapan serum dengan lebih baik sambil melancarkan peredaran darah. Hasilnya, kulit terasa lebih lembut, segar dan berseri.
Rawatan diteruskan dengan sapuan Abeille Royale Clarify and Repair Cream, diikuti dengan Abeille Royale Double R Renew and Repair Eye Serum khusus untuk kawasan mata. Kemudian wajah saya disapukan Abeille Royale Honey Cataplasm Mask, masker berasaskan madu yang terkenal dengan keupayaannya melembutkan serta menenangkan kulit. Selepas masker dipakaikan, juruterapi meneruskan rawatan dengan urutan pada bahu dan tengkuk. Sentuhan ini boleh dipilih sama ada lebih lembut atau lebih mendalam, bergantung pada keselesaan, menjadikan pengalaman terasa lebih peribadi dan menyeluruh. Sebagai langkah akhir, kulit saya dipelihara dengan Abeille Royale UV Skin Defense untuk perlindungan daripada sinaran UV matahari.
Apabila rawatan selesai, saya merasakan kulit lebih halus, segar, dan berseri seolah-olah mendapat nafas baharu. Ditambah pula dengan suasana bilik yang tenang serta layanan penuh perhatian daripada juruterapi, keseluruhan pengalaman facial di Guerlain TRX ini benar-benar istimewa bagaikan sebuah ritual kecantikan mewah yang bukan sahaja memanjakan kulit, tetapi juga menenangkan jiwa.

Abeille Royale Intense Cleansing Oil (RM291)

Abeille Royale Cleansing Care in Mousse (RM282)

Abeille Royale Fortifying Lotion (RM547)

Abeille Royale Youth Watery Oil Serum (RM670)

Abeille Royale Clarify and Repair Cream (RM767)

Abeille Royale Double R Renew and Repair Eye Serum (RM652)

Abeille Royale Honey Cataplasm Mask (RM565)

Abeille Royale UV Skin Defense (RM454)
Artikel Berkaitan: Sentuhan Mewah di Bibir dengan Guerlain Rouge G
Maya Kusuma
Maya Kusuma merupakan penulis di GLAM Malaysia. Penulisannya menjelajah dunia gaya hidup moden dan mewah, berkongsi kisah personaliti terkenal serta menyentuh aspek fesyen dan kecantikan.

