Patutkah Anda Tidur Dengan Rambut Basah?
Ramai wanita mengaku pernah tertidur dengan rambut basah sama ada kerana terlalu penat, malas mengeringkannya, atau mahu jimat masa. Sekilas pandang, ia tidak kelihatan berbahaya. Tetapi pakar rambut dan dermatologi memberi amaran, tabiat ini boleh memberi kesan jangka panjang pada rambut dan kulit kepala.
Antara kepercayaan yang biasa kita dengar ialah tidur dengan rambut basah boleh menyebabkan demam atau selesema. Hakikatnya, menurut pakar perubatan, selesema berpunca daripada virus, bukan kerana rambut lembap. Namun, dari sudut kesihatan rambut dan kulit, memang ada risiko sebenar jika anda sering tidur tanpa mengeringkan rambut.
Apa yang berlaku sebenarnya bukan mitos semata-mata, tetapi berkait rapat dengan keadaan rambut yang lemah apabila basah dan persekitaran lembap pada bantal yang boleh menjejaskan kesihatan kulit kepala.
Risiko Tidur Dengan Rambut Basah

Kredit foto: Getty Images
Berdasarkan pandangan dermatologi dan pakar penjagaan rambut, beberapa kesan berikut boleh berlaku:
-
Pertumbuhan bakteria & kulat
Kulit kepala dan sarung bantal yang lembap adalah tempat ideal untuk mikroorganisma membiak, sekali gus meningkatkan risiko kelemumur dan jangkitan kulat. -
Kelemumur dan iritasi
Rambut yang kerap lembap ketika tidur boleh menyebabkan kulit kepala lebih mudah gatal, kering atau bersisik. -
Rambut rapuh dan mudah patah
Rambut basah lebih lemah kerana lapisan kutikula terbuka, menjadikannya mudah patah akibat geseran dengan bantal. -
Kusut dan bercabang
Pergerakan ketika tidur membuatkan rambut basah cepat kusut, menyebabkan hujung bercabang dan tekstur rambut rosak. -
Jerawat pada wajah
Kelembapan dari rambut boleh meresap ke bantal, menyumbang kepada pertumbuhan bakteria yang akhirnya menjejaskan kulit muka.
Cara Lebih Selamat Jika Rambut Belum Kering

Kredit foto: Getty Images
Sekiranya anda tidak sempat untuk mengeringkan rambut sepenuhnya, pakar mencadangkan beberapa langkah mudah:
-
Keringkan sekurang-kurangnya 70% menggunakan tuala microfiber atau hair dryer pada suhu sederhana.
-
Gunakan sarung bantal satin atau sutera, kerana ia kurang menyerap air dan mengurangkan geseran.
-
Ikat longgar atau buat sanggul rendah untuk mengelakkan kusut.
-
Tukar sarung bantal secara berkala bagi mengurangkan pengumpulan bakteria.
-
Pastikan bilik berventilasi baik agar kelembapan tidak terlalu tinggi sepanjang malam.
Tidur dengan rambut basah tidak menyebabkan selesema, tetapi ia boleh menjejaskan kesihatan rambut dan kulit kepala dalam jangka masa panjang. Dari kelemumur hingga rambut rapuh, semua ini boleh dielakkan dengan rutin ringkas mengeringkan rambut sebelum tidur.
Kadangkala, pelaburan masa hanya beberapa minit itu sudah cukup untuk memastikan rambut lebih sihat, kuat dan terurus. Jadi, jika anda mahu rambut berkilau ala selebriti, mulakan dengan satu tabiat kecil: jangan biarkan rambut basah menemani anda ke lena malam.
Artikel berkaitan: Berapa Kerap Sepatutnya Anda Membasuh Rambut?
Farhana Fuad
Farhana Fuad merupakan Pengurus Kanan Kandungan di GLAM Malaysia. Menggabungkan kepakaran dalam penulisan editorial dan strategi SEO, Farhana menerajui kandungan semasa dan gaya hidup.

