Makeup Nikah YM Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Curi Tumpuan, Sentuhan Magis Ahmadani!
Dalam dunia kecantikan tanah air, nama Ahmadani semakin dikenali sebagai jurusolek yang memiliki sentuhan magis. Jika sebelum ini Ahmadani merias wajah manis Izza Atirah, terkini, hasil tangannya sekali lagi menjadi perbualan selepas makeup nikah YM Datin Paduka Seri Afzaa Fadini, isteri kepada Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang sekarang tular di media sosial. Penampilannya tampak berseri, tenang dan cukup memukau di hari bahagia itu.
Berkongsi pengalaman, Dani mengakui dirinya berasa terharu apabila diberi kepercayaan menata rias Datin Paduka Seri Afzaa. “Gembira dan sedikit gementar,” ujarnya.
Persiapan dan proses makeup nikah Datin Paduka Seri Afzaa Fadini
Menurut Dani, proses makeup nikah pada hari itu berjalan seperti biasa, namun dengan perhatian lebih pada kemasan.
“Semua macam biasa macam saya selalu siapkan makeup untuk bride saya yang lain. Lebih kepada kekemasan makeup sahaja,” katanya.
Dani memastikan setiap langkah dilakukan dengan penuh cermat, daripada persediaan kulit sehinggalah ke sentuhan terakhir sebelum Datin Paduka Seri Afzaa melangkah ke pelamin.
Inspirasi dan konsep solekan

Berbeza daripada gaya diraja atau moden dramatik, Datin Paduka Seri Afzaa memilih penampilan yang lebih sederhana.
“Datin Paduka Seri cuma minta makeup yang kelihatan natural dan tidak keterlaluan, sesuai untuk majlis di dalam masjid. Datin Paduka Seri Afzaa ingin kelihatan segar dan menaikkan seri pengantin,” jelas Dani.
Pendekatan itu menonjolkan keanggunan semula jadi Datin Afzaa, menyerlahkan auranya tanpa perlu solekan tebal atau sarat.
Idea dan kepercayaan untuk makeup nikah

Menariknya, walaupun Dani diberikan kebebasan berkarya, Datin Afzaa turut menyumbang idea tersendiri.
“Datin Paduka Seri suka eyeliner yang tidak keterlaluan dan ada membuat pilihan warna untuk lipstik yang Datin inginkan. Selebihnya atas saya,” kata Dani lagi.
Gabungan rasa percaya dan komunikasi dua hala menjadikan hasil akhirnya tampak sempurna, feminin, lembut dan elegan.
Fokus dan pemilihan produk

Dani memberi tumpuan kepada complexion agar wajah pengantin kelihatan bersih dan tahan lama. “Fokus utama saya adalah pada complexion Datin Paduka Seri, ia mesti flawless, kemas dan sesuai untuk majlis siang,” katanya.
Untuk mencapai hasil itu, Dani memilih warna brown cool tone bagi solekan mata dan menggunakan Makeup by Mario Eyeshadow Palette serta foundation dari jenama sama untuk mendapatkan efek healthy skin finish look.
“Bibir pula dalam kumpulan cool tone tetapi sedikit pink, supaya kelihatan lebih manis dan segar,” tambahnya.
Produk utama dan tip buat bakal pengantin

Antara rahsia utama di sebalik makeup nikah seri wajah Datin Afzaa ialah dua produk utama iaitu foundation dan eyeshadow daripada Makeup by Mario. Kedua-duanya membantu menghasilkan kemasan yang natural dan tahan lama.
Dan bila ditanya apakah satu produk wajib dimiliki setiap pengantin, Dani tanpa ragu menjawab:
“Good eyeliner. Tom Ford Eye Defining Pencil long wearing, not smudging and super black.”

Dengan gabungan keyakinan, kesederhanaan dan teknik yang halus, makeup nikah YM Datin Paduka Seri Afzaa Fadini bukan sekadar memperlihatkan keindahan luaran, tetapi juga menggambarkan ketenangan dan aura elegan yang terserlah dari dalam.
Artikel berkaitan: DYTM Raja Muda Selangor & YM Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Selamat Diijab Kabul
Farhana Fuad
Farhana Fuad merupakan Pengurus Kanan Kandungan di GLAM Malaysia. Menggabungkan kepakaran dalam penulisan editorial dan strategi SEO, Farhana menerajui kandungan semasa dan gaya hidup.

