Covid-19: Beauty Sleep Kukuhkan Sistem Imunisasi? - Glam Malaysia

Covid-19: Beauty Sleep Kukuhkan Sistem Imunisasi?

Penularan wabak Novel Coronavirus (Covid-19) pastinya menyebabkan penutup hidung dan mulut serta cecair pembasmi kuman di kebanyakan tempat habis dijual di seluruh negara. Namun, di sebalik tercetusnya situasi panik, barisan pakar dari Sunway Medical Centre Velocity (SMCV) menyatakan bahawa tidur adalah cara terbaik dalam meningkatkan sistem imunisasi badan bagi mengurangkan risiko dijangkiti virus tersebut.

Pakar Respiratori Sunway Medical Centre Velocity (SMCV), Dr. Nurul Yaqeen Mohd Esa menghuraikan sehingga kini masih belum terdapat sebarang vaksin mahupun ubat bagi melawan virus itu memandangkan ia masih di peringkat kajian dan percubaan. Bagaimanapun, apa yang boleh dilakukan oleh masyarakat Malaysia adalah memastikan sistem imunisasi mereka diperkuatkan untuk mencegah daripada dijangkiti wabak Covid-19.

Dr. Nurul Yaqeen Mohd Esa

“Tidur yang cukup dipercayai dapat menambah baik sistem imunisasi badan kita. Kajian menunjukkan 30-40% daripada orang dewasa mengalami kurang tidur, malah tidak mengetahui berapa kadar tidur yang mereka perlukan. Kajian membuktikan sekurang-kurangnya tujuh jam waktu tidur diperlukan bagi seorang dewasa untuk mendapatkan kesihatan yang baik. Tidur yang tidak cukup menyebabkan sistem imunisasi kita lemah. Kebanyakan doktor dan kakitangan perubatan di China meninggal dunia kerana serangan virus itu, sebahagian daripada puncanya adalah kerana mereka bekerja lebih masa dan kurang tidur,” katanya.

See also
6 Dandanan Mempesona di Emmy Awards 2017

Walaupun jumlah waktu tidur itu penting, faktor lain ketika tidur turut menyumbang kepada kesihatan dan kesejahteraan seseorang individu. Tambah Dr. Nurul, individu perlu memberi tumpuan yang baik kepada corak tidur mereka. Berikut, beliau berkongsi 10 tip dalam menjaga sistem imunisasi bagi memastikan ia berfungsi seboleh-bolehnya pada tahap yang baik.

  1. Rancang jadual tidur yang tetap. Tidur dan bangun pada waktu yang sama setiap hari, termasuk hujung minggu.
  2. Lakukan aktiviti senaman secara rutin dan selesaikannya sebelum waktu tidur serta kekalkan berat badan sihat. Aktiviti bersenam yang tetap boleh meningkatkan kualiti tidur dan memberikan kelebihan pada sistem imunisasi.
  3. Jangan merokok. Ia menyebabkan kemudaratan kepada hampir semua organ dalam badan, memberi risiko kepada banyak penyakit dan mengurangkan kualiti kesihatan kepada perokok secara amnya. Wabak virus Covid-19 khususnya menyerang salur pernafasan dan paru-paru manusia – menjadi seorang perokok pastinya melemahkan paru-paru dan meningkatkan risiko dijangkiti virus Covid-19.
  4. Pastikan suhu selesa dalam bilik tidur. Bilik tidur yang terlalu panas atau sejuk mungkin membuatkan rasa tidak selesa dan terjaga pada waktu malam.
  5. Elak minuman berkafein pada lewat petang atau malam. Minum cokelat panas, kopi atau teh pada cuaca sejuk, tetapi bukan pada waktu lewat petang atau malam kerana ia boleh menyebabkan anda tidur lewat.
  6. Makan buah-buahan, sayuran dan makanan yang mempunyai serat. Buah-buahan dan sayur-sayuran adalah sumber vitamin dan mineral yang baik dan diet yang seimbang membantu mengukuhkan sistem imunisasi.
  7. Jika anda minum minuman beralkohol, ambil pada kadar sederhana. Pengambilan alkohol berlebihan terbukti mempunyai kaitan dengan kesan buruk kepada imunisasi contohnya radang pneumonia. Pengambilan sederhana atau berhenti daripada mengambil alkohol disarankan bagi melindungi daripada jangkitan Covid-19.
  8. Berhati-hati mengambil ubat daripada kaunter perubatan untuk merawat simptom demam atau batuk. Sebahagian daripada produk ubatan mengandungi bahan yang boleh menyebabkan mengantuk pada waktu malam atau siang.
  9. Elak menggunakan telefon pintar, komputer atau televisyen sekurang-kurangnya dua jam sebelum waktu tidur. Lampu biru pada skrin boleh menyebabkan anda tidur lewat pada waktu yang sepatutnya.
  10. Sekiranya anda ada masalah untuk tidur lebih daripada beberapa minggu, atau masalah tidur mengganggu aktiviti harian, maklumkan kepada doktor anda. Terdapat preskripsi ubat tidur yang efektif dan selamat yang membantu merawat penyakit insomnia.
See also
Kebaikan Yoga Untuk Kesihatan

#Sunway Medical Centre Velocity terletak di Lingkaran SV, Sunway Velocity. Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi +603 9772 9191 atau e-mel kepada smcv-enquiry@sunway.com.my.Maklumat lanjut berkenaan Sunway Medical Centre Velocity, layari www.sunwaymedical.com/velocity (Facebook: Sunway Medical Velocity).

Sumber: GLAM Lelaki