Bukan Haruman Biasa, Tiga Bau Mawar ‘Liar’ Dari Cartier
Bunga mawar atau ros bukanlah satu bahan asing dalam dunia kecantikan, tidak hanya cantik pada mata memandang, di sebalik kelopaknya itu tersimpan 1001 manfaat buat kulit. Keasyikan aroma bunga mawar juga bukanlah sesuatu yang baru, sudah berkurun ia diakui seantero dunia sebagai aroma popular di kalangan pembuat minyak wangi. Di pasaran berderet-deret jenama minyak wangi yang menyelitkan kuntuman mawar dalam haruman mereka.
Namun, Cartier jenama aksesori mewah mahu mengangkat bunga mawar ke peringkat yang lebih tinggi. Cartier memperkenalkan tiga haruman berbeza yang mana ketiga-tiganya bertunjangkan bunga mawar sebagai bahan utama. Dan mereka juga mahu kita tahu bahawa haruman mereka ini berbeza dengan apa yang ada di pasaran.
“So many roses in perfume, but where is the daring?,” itu kata pembuat haruman ini, Mathilde Laurent. Dia mahu haruman yang Cartier persembahkan ini berbeza dengan yang sudah ada, dia mahu aroma mawar yang lebih wild. Laurent menghasilkan tiga haruman iaitu Les Heures baunya tidaklah ‘comel’ atau terlalu ‘manis’ seperti yang lazimnya disukai gadis-gadis, baunya cukup mempesona dan membuat jiwa meronta menunjukkan keberanian. Baunya menonjol, punya elemen pop nan jitu, bagaikan stail ikonik Andy Warhol.
Artikel Berkaitan: Minyak Wangi Pencetus Ghairah
Kedua, Laurent melancarkan Pure Rose yang dibotolkan dalam kelalang putih jernih. Aromanya tampil segar dan asli, tidak terlalu rumit baunya, sehirup udara sudah tahu keaslian bunga mawarnya, bagaikan berlari-lari di taman yang sedang sarat dilatari bunga mawar yang berkembang mekar. Laurent dan Cartier turut memperkenalkan Oud & Pink, yang mana haruman ini menyatukan elemen maskulin dan feminin. Di sebalik keasyikan dan kelembutan bau mawar diselit kejantanan bau oud. Pastinya satu pilihan tepat buat perempuan yang gemar menyembur minyak wangi lelaki, Mereka berasa lebih seksi.