5 Produk Kosmetik Karya Anak Malaysia
Produk tempatan sering kali menjadi barangan yang membuat ramai berpusu-pusu untuk dimiliki, begitu juga dengan produk kecantikan. GLAM Cantik senaraikan lima produk kosmetik lokal bersempena Hari Kemerdekaan yang bakal tiba ini!
Barangan produk tempatan kini tidak menjadi asing lagi buat rakyat Malaysia. Turut berbangga apabila semakin banyak jenama-jenama lokal mencipta produk kecantikan setanding antarabangsa. Walau hanya digelar ‘produk lokal’ namun keutuhan jenama yang masih kekal hingga kini jelas menunjukkan kualiti sesuatu produk itu. Lebih menyeronokkan apabila sesuatu produk kecantikan yang berkualiti, boleh didapati dengan harga yang jauh lebih murah. Produk kosmetik Made in Malaysia ini lantas menjadi kebanggaan buat dunia kecantikan dan penggemar alat solek!
#SupportLokal, Ini Lima Produk Kosmetik Jenama Tempatan
1. Syedewa Cosmetics
Jenama kosmetik Syedewa merupakan antara label kecantikan yang cukup popular. Syed Mohamad Fahmi atau lebih popular dengan nama Syedewa, merupakan pengasas jenama ini yang ditubuhkan pada tahun 2018. Memulakan perjalanan kariernya sebagai seorang jurusolek selebriti, Syedewa tercetus idea untuk menghasilkan rangkaian produknya sendiri dengan warna, formula dan tekstur yang berkualiti. Rangkaian produk ini turut menawarkan alat solek dengan harga yang berpatutan buat penggemar kecantikan.
2. Velvet Vanity
Bertapak sejak tahun 2016, Velvet Vanity menjadi antara produk solekan yang amat digemari ramai! Ia terkenal dengan falsafahnya bahawa rutin kecantikan harus lurus dan mudah. Adlina Nadirah bukan sahaja menggemarkan akan produk solekan, malah dia juga bijak mencipta produk kosmetik yang hibrid buat penjagaan kulit. Baginya, perasaan positif ketika bersolek adalah kunci kepada kecantikan sebenar.
3. TK by Tyra
Baru sahaja melancarkan produk ini pada Mac lalu, TK by Tyra merupakan jenama kosmetik terkini untuk dimiliki. Memulakan perniagaan kecantikannya dengan alat solek pemerah pipi, produk tempatan ini mendapat sambutan hangat terutama di media sosial. Ramai gadis muda menyukai pemerah pipi oleh usahawan, Tyra Kamaruzzaman yang juga merupakan seorang pempengaruh digital kerana ia adalah produk mampu milik namun berkualiti tinggi serta sesuai buat semua jenis warna kulit. Kini, ia merupakan rangkaian produk kosmetik yang amat dinanti-nantikan oleh gadis generasi Z!
4. Syed Faizal Beauty
Mengambil pengalaman sebagai seorang jurusolek selebriti, Syed Faizal kini mencipta rangkaian produk kosmetiknya yang tersendiri. Diasaskan pada tahun 2016, label kosmetik ini dicipta buat mereka yang menginginkan kecantikan dengan cara yang paling mudah. Sementara itu, ia juga adalah jenama kosmetik lokal yang mempunyai estetika yang menarik. Antara koleksi di Syed Faizal Beauty adalah barisan koleksi seperti BIBIR, MATA, PIPI, ALAT dan juga MUKA.
5. SO.LEK Cosmetics
SO.LEK merupakan jenama kosmetik tempatan oleh dua beradik, Dahlia Nadirah & Luqman Hakim yang terinspirasi daripada pengalaman di New York. Mereka mencipta rangkaian kosmetik yang berpatutan namun cukup berkualiti. Jenama ini sangat komited dalam menawarkan produk terbaik dan bermatlamat untuk memberi keyakinan buat pengguna-pengguna SO.LEK. Dilihat pada logo sahaja, boleh diketahui bahawa mereka merupakan antara produk lokal yang menggunakan perincian tradisional buat rangkaian kosmetik mereka.
Artikel Berkaitan: 5 Jenama Kecantikan Lokal Berasaskan Vegan