Daniel Lee di Bottega Veneta sudah cukup selesa kerana selepas hanya setahun duduk di kerusi Pengarah Kreatif, keuntungan jenama ini melonjak bersih. Bermula dengan pelancaran beg koleksi Pouch yang menjadi sambaran semua orang popular di media sosial, tidak hairanlah koleksi baru yang dipertontonkan pada Minggu Fesyen Milan menjadi fokus ramai editor fesyen. Himpunan musim luruh 2020 memberi fokus kepada wanitanya untuk mencari nilai identiti sendiri. Daniel Lee menyajikan gaya yang lebih bersih serta memberi fokus pula pada seni ikonik Bottega Veneta yakni intrecciato. Maka dapat dilihat pada penggunaan hampir semua beg yang dipersembahkan.
Membawa dimensi kejutan baru dalam koleksi ini adalah penggunaan rona pop seperti hijau kiwi dan merah yang bertentangan dengan gabungan palet hitam. Bajunya pula diperbuat menggunakan fabrik elastik supaya dapat memberikan satu gerakan yang lebih bebas pada wanita. Ada juga gubahan busana kait yang dimadukan bersama pilihan kot-kot yang sharp!