Menurut kata Shikin di sekolah dulu dia adalah orang paling tinggi sehinggakan teman-teman menggelarnya sebagai panjang. Siapa tahu dengan ketinggiannya itu dia kini antara peragawati yang hangat di Malaysia! Nurfashikin Mohd Faisal Gomez atau Shikin Gomez, 24, mula mendapat perhatian apabila berjaya tersenarai sebagai peserta Asia’s Next Top Model (AsNTM) musim kelima mewakili negara. Shikin juga sebelum ini adalah pemenang Malaysia Supermodel Search 2015 anjuran Amber Chia Academy Sdn Bhd. Dalam bidang peragaan tanah air Shikin mengangkat Tengku Azura dan Tinie sebagai ikon untuk dia berjaya. Wajahnya kini menjadi buruan muka depan majalah-majalah fesyen tempatan.