Kediaman - Urban Kontemporari - Glam Malaysia

Kediaman – Urban Kontemporari

Binaan dinding dan siling berganda setinggi 24 kaki menjadi paksi rekaan banglo serba moden ini. Mainan palet neutral mewah; hijau, kelabu dan coklat cerah disulami paten chevron dan ira marmar mencipta kediaman berkarakter untuk pasangan muda serta anak mereka.

Pemilik, Nur Fazlin Khalil meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada pereka Azry Fazamy untuk merealisasikan kediaman impian

Banglo tiga tingkat di Bukit Jelutong ini bereksperimentasi gabungan pelbagai jenis material yakni kayu, besi, kaca dan kulit. Kediaman didiami oleh pasangan muda, Nur Fazlin Khalil bersama suami, Amirul Hijjas Ahmad Ridzwan bersama dua anak mereka. Mainan palet neutral segar hijau dan kelabu mendominasi segenap ruang kediaman. Mendapat sentuhan semula oleh pereka, Azry Fazamy, banglo ini mengambil masa enam bulan untuk siap sepenuhnya. “Sebelum mengenali Azry, saya membuat penambahan pelan lantai dapur sebanyak 10 kaki. Malah, kami juga menggunakan khidmat pasukan pereka bentuk dalaman lain yang akhirnya meninggalkan projek separuh jalan. Pentingnya mengambil tahu serba sedikit latar belakang pereka sebelum memulakan projek,” cerita Fazlin membuka bicara.

See also
Trend - Kelabu Elegan Warna 2019

Reka pelan lantai kediaman dimulakan dengan pembinaan ruang foyer yang dibina santai bergaya. Tempat duduk dibina melekap terus pada dinding beralaskan kusyen corak chevron dan aturan aksesori bekas lilin tembaga. Azry turut membina kabinet pasang siap material kayu cerah berfungsi sebagai sistem unit penyimpanan kegunaan penghuni.

Slide untuk lihat gambar.

1 of 4
Use your ← → (arrow) keys to browse

TITIK FOKAL

Ruang tamu dipelopori rona neutral kelabu, coklat dan krim. Mata terus tertumpu pada panel dinding setinggi 24 kaki. “Cabaran reka bentuk kediaman ini tentunya daripada panel dinding tinggi ini. Bagi mencipta titik fokal yang mampu memberi impak terkesan, terinspirasi dari lobi hotel – hotel mewah, saya menyusun dan mengambil kira radius cahaya lampu – lampu yang disusun agar dapat membentuk efek cahaya bintang apabila dinyalakan. Sebanyak 14 lampu dinding kegunaan luar digunakan bagi menghasilkan efek cahaya ini,” beritahu Azry. Penggunaan kertas dinding bercorak marbelize (marmar) warna kelabu cerah turut membantu dalam penghasilan efek cahaya yang terkesan.

Kata Fazlin, “Saya memberi kebebasan sepenuhnya kepada Azry untuk mereka semula kediaman termasuk pemilihan material, corak dan susun atur. Saya hanya menyatakan cita rasa rekaan perabot, jenis material dan skema warna yang diinginkan. Ironinya, saya dan suami hanya tahu mengenai rekaan feature wall ini selepas semua sudah siap sepenuhnya dan ternyata percaturan Azry berbaloi.”

See also
Tiga Restoran Patut Cuba di Kota Milan