Izrin Ismail, Fashion Boss
Meneruskan legasi berakarkan budaya yakni batik kontemporari yang dimulakan oleh ibu tercinta, IZRIN ISMAIL senantiasa memasang misi untuk melangkah jauh. Biarpun tidak menekuni bidang fesyen itu bukan alasan untuk menyerah diri. Usaha keras dan kebijaksanaanya merencana perniagaan menjadikan wanita ini terus maju merintis dunia keusahawanan.
Orangnya cukup ramah dan penuh ekspresi kala berbicara. Tutur katanya padat informasi, setiap soalan yang diutarakan, panjang lebar dibalasnya. Mengambil lokasi di Plaza Damas, kami berdua duduk berbicara mengenai Innai dan Izrin. Baru mencecah 33 tahun, ilmu yang diperoleh bagaikan sudah bertahun lamanya dalam bidang perniagaan. Walhal, wanita ini asalnya hanya mahu menekuni bidang komunikasi sahaja. Saya kagum melihat kejayaan label tempatan ini. Ibu merupakan wira hatinya. Ternyata banyak usaha yang diperankan oleh ibunya dalam mengkomersilkan seni batik kontemporari. Ironinya Izrin mempelajari selok-belok dunia perniagaan hanya bergurukan pengalaman dan pendedahan sewaktu bekerja sebagai pembantu jualan disamping berbekalkan semangat ibunya dalam memperjuangkan Innai sejak hari pertama ditubuhkan. Berhasrat melebarkan perniagaan, Izrin punya visi dan misi yang tersendiri untuk memajukan lagi jenama Innai yang diusahakan sekitar tahun 2001.
PETUALANGAN MENUJU DEWASA Merupakan anak jati Kuala Lumpur, Izrin cukup merendah diri dan menganggap dia masih bertatih dalam bidang perniagaan. Baginya disiplin dan perancangan yang baik adalah kunci kesuksesan. Kata Izrin, sukses bukan tujuan tetapi sebuah proses pembelajaran baik untuk kehidupan atau sebaliknya. “Saya sering dipesan ibu, jangan kita iri hati melihat cara hidup orang lain dan mendambakan gaya hidup seperti mereka. Setiap orang punya cara yang tersendiri untuk mengolah kehidupan. Maka, kita kena jujur langsung menyukai apa jua yang dilakukan. Percayalah kita akan melakukan sesuatu dengan lebih baik jika kita ikhlas,” kata Izrin mengutarakan pendapat. “I came from a good, disciplined school. Saya mendapat pendidikan di Sekolah Perempuan Bukit Bintang yang mana kini merupakan pusat membeli-belah Pavilion,” tuturnya sambil ketawa kecil. “Saya adalah kelompok terakhir sebelum sekolah yang gah berusia 100 tahun itu dirobohkan. Di sekolah saya dikenali ramai kerana bersungguh-sungguh menyertai bidang sukan. Bergiat aktif dalam sukan olahraga, semua jenis acara balapan saya wakili. Termasuk lari pecut 100 meter dan 200 meter, lompat jauh, lompat tinggi. Tidak lupa juga aktif dalam sukan gimnastik dan cheerleading. Jika ada yang berkata tentang sukan di sekolah, pasti nama saya yang disebut mereka. Sports taught me to compete with the right spirit and it’s everything to me! Sampai cikgu di sekolah memberi nasihat dan memesan, Izrin sukan bukanlah segala-galanya. Jangan sama sekali lupakan rencana utama sekolah yakni ilmu akademik,” cerita Izrin mengenai zaman persekolahannya.
Dari petang sekitar jam empat, bicara kami berlanjutan sehingga senja. She’s very friendly and chatty! Pandai berinteraksi lagi expressive, sikit pun saya tidak rasa kekok menyelesakan diri. “Setahun selepas tamat sekolah menengah, saya mendaftarkan diri ke Universiti Lim Kok Wing. Mengambil jurusan komunikasi, saya rasa itulah bidang saya memandangkan punya flair dalam berinteraksi. Mengapa selepas setahun? With me, I always work. It’s a part-time job which later became full time. Pekerjaan pertama saya adalah bersama Fendi. Usia ketika itu baru 17 tahun, saya memburu mencari kerja sambilan di KLCC. So funny. At that time, I went to the boutique and Kathy Lam was there, and of course I didn’t know who she is. Memberanikan diri, saya bertanyakan jika ada kekosongan,” terang wanita kecil molek ini.
“Mungkin kerana semangat dan keberanian saya, selang beberapa hari mereka menghubungi saya untuk sesi temu duga. Ya, saya rasa sangat bertuah waktu itu dan dari situ bermulalah tugas saya sebagai pembantu jualan. More than a year, from part-time to full time until Kathy moved me from Fendi to Louis Vuitton. Waktu bekerja di LV saya masih menuntut di Lim Kok Wing. Bila cuti semester menjelang atau di hujung minggu saya bekerja sepenuh masa. Saya menyukai kerja saya kerana dapat mempraktikkan pembelajaran dan mengasah kemahiran dalam berkomunikasi bersama pelanggan juga belajar sistem bekerja. Kita ada bos, penyelia dan kakitangan. Secara tidak langsung dapat mendisiplinkan diri,” terang anak bongsu daripada tiga beradik ini.
Saya tanyakan mengapa dia memilih industri fesyen? “Semua wanita ingin menyarungkan pakaian dan mahu bersiap cantik bukan? Begitu juga dengan saya. Fashion is my love. Tetapi saya tidak pernah berhajat untuk melanjutkan pelajaran dalam seni reka fesyen kerana saya tahu, saya tidak boleh melukis. Maka, pendedahan waktu bekerja banyak membuka mata saya mengenai fesyen. Fesyen bukan sekadar seni rekaan sahaja malah lebih daripada itu. Industrinya luas dan saya perlu bijak menghubungkannya dengan jurusan yang saya tekuni. Saya berniaga sejak di bangku sekolah lagi. Membeli dan membuat produk dan kemudian menjualnya kepada kawan-kawan atau pada hari jualan seperti hari kantin misalnya. I always have something interesting to sell, dan mesti ada orang yang akan membelinya. Kawan-kawan yang kenal saya sewaktu di sekolah memang tahu saya gemar berniaga. Terus saya juga memasang angan-angan untuk menjadi fashion PR atau pengurus pemasaran wilayah untuk sesuatu jenama. Untuk merealisasikan impian saya melanjutkan pelajaran ke peringat sarjana muda di Australia dalam jurusan komunikasi profesional. Di Australia juga saya berpeluang untuk bekerja memandang jadual kelas tidaklah terlalu padat. From multi-brands store to Sportsgirl, kind of an Australian version of Topshop. Again I was lucky, kerana tidak ramai orang Asia yang dilihat bekerja untuk label ini. Temu duga kerjanya sama sekali lain daripada yang pernah saya hadiri. Bukan soalan biasa seperti ‘ceritakan latar belakang’ ia lebih kepada training atau dalam kata lain interaksi dan berkomunikasi antara satu sama lain.”
CERITERA INNAI Abang sulung, kakak dan Izrin, semuanya membesar dengan minat yang berlainan. Katanya, “Business is something that I pick up through observing my mom. Innai ditubuhkan oleh ibu pada 2001 dan pada waktu itu hanya menjual beg di bazar kompleks beli-belah Bangsar Shopping Centre. Back in those days, they were the IT flea market in town. Semuanya bermula dengan pengenalan beg Paddington kepada pengunjung bazar. Mum said, don’t tell GLAM!” kata Izrin sambil gelak besar.
“Tetapi kenyataannya, itulah asal usul Innai,” sambung Izrin. “Diperbuat daripada fabrik Shantung, beg berbentuk trapezium ini disempurnakan dengan pemegang gelung daripada rotan. Waktu itu hanya fabrik Shantung yang mudah didapati dan mempunyai kepelbagaian warna dan corak. Untuk menambahkan seri kami tampilkan korsaj bunga sebagai perincian dan dijual dengan harga 50 ringgit sehingga yang paling mahal 70 ringgit, mengikut saiz. Kami adalah antara perintis dalam penjualan di bazar ini kerana konsepnya mengingatkan kami dengan pasar lambak di Australia. Memiliki rumah keluarga di Sydney, kami sekeluarga gemar melewati Paddington Market yang merupakan pasar seni dan kraf. We kinda get the inspiration there because that’s where we bought the corsage flowers. As chessy as the name is, I know there is a Paddington bear but yeah, Paddington bag. Why not! Jika melihat ada yang menjinjing beg ini hari ini, I will probably run to her and say, that bag you carry is made of love and such memories!” terang Izrin penuh ekspresi.
“Wanita yang menjinjing beg ini kebanyakannya adalah pelanggan tetap Innai hari ini. Mereka juga akan turut bercerita mengenainya dan kami akan ketawa bersama-sama. Kami menjual beg itu selama setahun, hampir setiap minggu kami akan menjual di bazar. Biasanya sayalah yang buka kedai, yang angkat susun barang dan jual. It’s more fun, and along the way I make lots of friends. Sebelum membuka butik pertama di Centrepoint Bandar Utama sekitar 2003, cerita Innai sebenarnya bermula dengan hobi ibu di dalam mengumpul kain batik. Dia sering ke pesta batik dan beli kain sarung. Anehnya apa jua yang dipilih, pasti ada orang yang akan menyapa dan bertanya. Dari situ ibu mendapat idea dan dia diperkenalkan kepada artis batik Karyaneka yang berperanan membantu usahawan. Ibu mereka himpunan busana Innai, nothing fancy. Hanya siluet ringkas dan kami ada rekaan yang sama sehingga hari ini. Mengapa berencahkan budaya? Kerana bagi kami kita perlu menghargai dan menghayati budaya sendiri. Dan kala itu pula, Allahyarhamah Tun Endon Mahmood aktif mempromosikan batik secara menyeluruh.”
Sebelum pulang, saya singgah ke butik Innai dan Innai Red yang sering saya kunjungi untuk meminjam busananya buat sesi fotografi. Apa yang paling saya kagumi adalah melihat semua krew produksi bekerja sama daripada penjahit sehingga ruang kerja Izrin dan suami tercintanya Marcus Mikhail Low Abdullah. Bukan sahaja dirumah bahkan di ruang kerja mereka bersama. “Ramai yang bertanya dan suka mendengar cerita Marcus memeluk Islam tetapi hanya teman rapat sahaja yang tahu yang Marcus memeluk Islam bukan kerana ingin menikahi saya tetapi kerana cinta dan fahamannya yang mendalam terhadap Islam. Saya sendiri tidak tahu menahu kerana waktu itu saya masih menuntut di Australia. Ibu menguruskan segala-galanya dan apabila Marcus mengucap dua kalimah syahadah bererti seseorang itu secara rasmi dianggap mengisytiharkan dirinya sebagai penganut baru agama Islam. Mengenali Marcus, dia cukup senang dibawa bicara dan yang pasti kami saling melengkapi. Dia fasih berbahasa Melayu sejak kami kenal lagi. Sememangnya dia membesar dalam persekitaran Melayu dan keinginannya untuk mengenali Islam sudah terpendam lama. Dia pendamping yang terbaik dan saya bersyukur memilikinya sebagai pasangan hidup. Kami mengharungi susah senang bersama-sama.
Masih segar di ingatan, malam sebelum saya berangkat ke Milan bagi menjalani kursus pendek fesyen dan pemasaran kami makan malam bersama teman-teman rapat. Marcus memberi saya hadiah dan saya tidak membukanya sehingga dia menghantar saya pulang lalu dipintasinya dengan kata sinis manja, Don’t you wanna see what’s inside the box? There goes the ring!” Izrin mengimbas kenangan terindah bersama suami tercinta.
Dipetik daripada GLAM Malaysia Isu Julai 2016