Top Model Atikah Karim, Making It Big In London, Milan, & New York

Top Model Atikah Karim, Making It Big In London, Milan, & New York

Mula mendominasi lapangan fesyen tempatan sekitar empat tahun lalu, ATIKAH KARIM ​mengambil risiko menongkah nasib di perantauan. GLAM mengambil peluang menemu bual top model ini sekembalinya dari new york.

 

Ini bukanlah kali pertama saya menulis mengenai dirinya. Tahun lalu gadis kelahiran Kota Kinabalu ini menghiasi lembaran personaliti bersama kekasih hati, Danny Lim. Tetapi tidak banyak yang dapat dibualkan kerana topik percintaan melintas bangsa menjadi judul bualan. Kedua-duanya punya kerjaya yang sukses dalam melakar nama di bidang peragaan. Kali ini Dayang Nur Atikah atau lebih dikenali dengan nama Atikah Karim dipilih bagi menghiasi wajah GLAM bulan Mac 2016. Bukan sahaja Atikah, malah saya juga berasa sedikit janggal kala menemu ramahnya. Bukan apa, mungkin kerana rencah ceritanya berbeza. Itu belum lagi disenaraikan hamparan ruangan fesyen yang mana dia menjadi penghiasnya. Jika dahulu namanya hanya ditulis di atas kapsyen, kini kisah sepenuhnya dikarang menjadi tajuk utama. “Another wish on my list is fulfilled,” akui Atikah. “Sememangnya ini adalah impian saya untuk menjadi cover girl GLAM. Now my dream has come true. Terima kasih GLAM kerana tidak pernah putus menyokong kerjaya saya sejak dahulu,” katanya lalu mengukirkan senyuman.

 

Baru sahaja pulang daripada menziarahi keluarga dan sanak saudara di Sabah, kami terus mendapatkan gadis berkulit sawo matang ini sebelum dia terbang pulang ke New York untuk Minggu Fesyen musim luruh/sejuk 2016. Bertemu janji di The Gardens Hotel, kami siap menata rias Atikah sebelum beralih lokasi ke butik Cartier di KLCC bagi sesi penggambaran. “I just chopped my hair yesterday. I hope you guys don’t mind,” kata Atikah waktu didandan di bilik hotel. Pintas saya, is it okay for you to do that? “Memandangkan dia bernaung di bawah mother agency, 3mmodels yang berpangkalan di London. “Sudah tentu saya kena maklumkan kepada mereka. Lagi pun, sudah tiba masanya for a fresh new look! Biarpun berjauhan, saya harus berkomunikasi dengan agensi. Bukan saja untuk menetapkan jadual malah untuk mendapat persetujuan seperti potong rambut dan sebagainya,” terang Atikah bernada serius.

 

WARNA KULIT JADI PELARIS Sejak memenangi pencarian peragawati Ford Supermodel Malaysia, Atikah selesa menetap di Kuala Lumpur. Zaman kanak-kanak tidaklah mudah untuknya dek kerana rupa fizikalnya berbeza daripada yang lain. Diejek dengan bermacam-macam panggilan itu sudah semestinya. “Growing up is so hard for me. Dilahirkan dengan berkulit sawo matang, lalu bertambah gelap dek berjemur di tengah panas hari kerana aktif bersukan. Sudah cukup membuatkan rakan di sekolah tidak henti-henti mengejek penampilan saya. Yang tidak boleh dilupakan bila dipanggil ‘Tiang Hitam’! Memandangkan masyarakat senantiasa menyekutukan kecantikan dengan yang berkulit putih gebu, maka mentaliti dan definisi kecantikan itu sendiri terbentuk dengan menyatakan putih itu cantik,” kata Atikah menyelar stereotaip orang kita.

See also
Marion Caunter - Di Sebalik Tabir GLAM Mei 2015

 

“Lihatlah dengan adanya barisan produk pemutih kulit yang bertimbun di pasaran, semua orang mengidamkan kulit cerah. Barangkali, bukan saja di Malaysia malah seluruh Asia juga mempunyai pendapat yang sama. Cumanya bila berpindah di kota, mentaliti orangnya lebih terbuka. Waktu membesar dahulu, sedikit sebanyak ia memberi kesan kepada saya. Manakan tidak kerana membuli daripada segi percakapan itu jauh lebih perit. Tamparannya hebat dan mampu memberi kesan psikologi berpanjangan kerana ia terus terbuku di benak fikiran. Namun kini, rupa paras inilah yang memberi rezeki dan apa yang harus dilakukan adalah terus berfikiran positif. Just put it this way, they’re just jealous. Dari cemburu, mereka mula membuat perbandingan yang membawa kepada buli dengan melemparkannya dalam bentuk percakapan. Walhal mereka tidak sedar, words can kill!” cerita Atikah menyingkap tirai zaman kanak-kanaknya.“Itu baru warna kulit. Belum lagi mengenai ketinggian saya!”

 

Menyertai pertandingan ratu cantik di Sabah menjadi titik permulaan. Namun, dia tidak berjaya memenangi sebarang tempat lalu mengubah rentak dengan menyertai pencarian peragawati pula. “Menyertai pertandingan ratu cantik itu sekadar mencuba nasib dan hanya suka-suka. Saya disapa sewaktu berlibur di pusat beli-belah. Hanya sekali saja. Just to get the experience of a beauty pageant.Sememangnya lain daripada apa yang saya sangkakan. Semua yang masuk bertanding kulitnya putih mulus belaka. Sejak kecil saya sudah pasang angan-angan mahu menjadi peragawati. Saya kumpul majalah fesyen dan Chanel Iman adalah idola saya sehingga ke hari ini. Oleh itu, penyertaan di arena ratu cantik sudah cukup membuka mata saya dan ia bukanlah untuk saya,” tutur Atikah waktu di temu bual sejurus sesi penggambaran selesai.

 

BERSINAR DI PERANTAUAN Berketinggian 5 kaki 9 inci dan berat sekitar 50 kilogram, gadis kacukan Bajau dan Brunei ini terus menjadi pilihan menghiasi dada-dada majalah fesyen tempatan dan sekali gus menyiapkan dirinya untuk keluar dari negara bagi menggapai cita-citanya. “Tidak saya sangka berjaya memenangi pencarian peragawati untuk Ford Supermodel Malaysia. Mengingatkan kembali memori indah ini, saya seakan tidak percaya apabila dapat melayakkan diri dalam senarai finalis. Usia waktu itu terlalu muda lalu apabila dibawa keluar dari Borneo, saya menjadi homesick. Sejujurnya waktu itu saya langsung tidak pandai untuk berkomunikasi juga tiada keyakinan diri. Melihatkan peserta lain, semuanya cukup confident dalam membawa diri. Malahan ada pula yang meninggi diri. Saya runsing dan bimbang tidak pandai menyesuaikan diri. Apabila memenangi pertandingan ini, banyak gerbang dan peluang dibuka untuk saya. Sejak menetap di Kuala Lumpur barulah saya melihat dunia yang sebenarnya lantas mula rajin bersosial kerana di Sabah saya jarang keluar rumah,” akui Atikah.

See also
GLAM Alter Ego: Sebuah Analogi Seni Solekan

 

Memiliki latar belakang dalam jurusan Reka Bentuk Multimedia, bukanlah senang untuk gadis muda ini memperoleh persetujuan daripada kedua orang tuanya untuk menetap di Kuala Lumpur apatah lagi menjadi peragawati. “Saya percaya, in order to achieve what we really want in life, we have to make sacrifices. Saya tangguhkan pelajaran untuk seketika memandangkan faktor usia saya. Sekarang adalah masanya untuk menggapai cita-cita sebelum lanjut usia. Sukar untuk saya mendapat kepercayaan daripada kedua ibu-bapa untuk berkecimpung dalam bidang ini kerana pendapatan sebagai peragawati tidak konsisten. Dalam wish-list saya, saya ingin keluar negara mengembara, melihat dunia fesyen antarabangsa. Bermula di London, saya berpeluang untuk ke Milan dan yang terkini ke New York. Saya mengikat kontrak dengan beberapa agensi, iaitu Soul Artist Management di New York, Major Models di Milan dan Viva Models di Berlin. Agensi utama saya, 3mmodels berperanan menempatkan saya di kota-kota fesyen terkemuka ini,” Atikah membuka cerita kerjayanya.

 

Namanya tersenarai dalam laman sesawang models.com,
ini sudah cukup menunjukkan bahawa gadis ini berjaya in living her dream. “Hampir setahun lamanya saya tidak berjumpa dengan ayah dan ibu di kampung halaman. Sudah dua tahun berturut-turut saya tidak beraya bersama mereka. Inilah antara pengorbanan yang harus saya jalani. Tetapi kami senantiasa menghubungi antara satu dengan yang lain. Mudah-mudahan tahun ini kami dapat bersama-sama meraikan Hari Raya. Sebenarnya, kembara saya ke New York bukanlah seperti yang dirancang. Saya menetap lebih lama daripada yang ditetapkan dengan bekalan pakaian juga kelengkapan yang terhad. Bayaran di sana boleh dikatakan lumayan. Cumanya ia bergantung pada musim dan terpulang kepada individu untuk mencari kerja. Rajin dan perlu pandai bergaul, profil kena sentiasa ada di sisi. Waktu pergi go-see, ramai yang sukakan foto saya yang dirakam bersama GLAM. It has been a wonderful experience working with such a great team. Saya berpeluang bekerja dengan banyak label dan antaranya adalah Pyer Moss, Nicopanda, Banana Republic, Greg Lauren dan Polo Ralph Lauren,” sembangnya panjang.

See also
Sembang Raya Bersama Calvin Thoo

 

Kala diajukan soalan antara memori terindah, dia dengan pantas memberitahu “Waktu menjadi model untuk persembahan Miley Cyrus. Saya sangat terkejut kala mendapat panggilan daripada klien. Miley sangat bersahaja orangnya. Loud and crazy tetapi cukup merendah diri biarpun bergelar selebriti antarabangsa. Dengan peluang yang diberikan ini, saya amat berterima kasih pada Stylo kerana mereka inilah yang membawa saya ke Mexico. Sewaktu memenangi pencarian peragawati Ford, mereka tiada bajet untuk membawa saya keluar. Stylo yang membuka pintu-pintu yang sedia ada lantas Cilla Foong menawarkan peluang beraksi di pentas peragaan buat pertama kali untuk label Marc Jacobs di ibu kota. Deaphen Foo pula sentiasa memberi galakan pada saya dalam memperbaiki diri sebagai seorang peragawati. Hidup berdikari di negara orang tidak akan mudah jika tiada sokongan padu daripada Danny Lim. Dia banyak mengajar saya dan membuka mata saya dalam melihat dunia. Dia adalah tulang belakang saya di mana saya berdiri sekarang. Tanpa dia rasanya saya bukanlah Atikah Karim seperti yang semua kenal hari ini,” panjang lebar Atikah bercerita mengenai Danny Lim, buah hatinya yang juga model (merangkap jurugambar) yang kini sedang menempa nama di pentas antarabangsa.

 

“Fesyen itu bebas. Saya selesa mengekspresikan diri melaluinya. Pengembaraan banyak mematangkan saya. Kehidupan harian saya di New York ternyata berbeza sekali. Hampir tujuh bulan di sana, ia tidak semudah yang disangkakan. Daripada tidak tahu apa-apa, saya kini sudah boleh memasak sendiri – belajar dari Youtube dan membeli bahannya di Chinatown. Saya pernah memasak Nasi Lemak, Asam Laksa dan Ayam Masak Lemak Cili Api. Saya juga rajin keluar mencari pakaian vintaj untuk dibawa pulang langsung dijual. Duduk bersama beberapa peragawati yang lain, menjaga kesihatan dan bersenam itu rutin utama. Di sini banyak masa diluangkan untuk bersenam, kalau di Malaysia mungkin jarang sekali!” kata Atikah mengakhiri bicara.

 

Dipetik daripada GLAM Malaysia Isu Mac 2016