Datin X: Sosialit Kuala Lumpur Penuh Rahsia Di Majlis Sosial

Datin X: Sosialit Kuala Lumpur

Kalau pun ada acara fesyen yang berlangsung di sekitar ibu kota, Datin X bukanlah antara muka-muka yang kerap membuat penampilan istimewa. Pernahlah juga terima undangan dua tiga kali tapi itu pun seakan berat kaki mahu pergi. Walaupun begitu, Datin X selalu pasang telinga bila kawan-kawan berkumpul dan bercerita mengenai majlis yang mereka hadir, lebih-lebih lagi mengenai tetamu lain yang hadir sama.

 

Salah satu ‘watak’ yang kerap muncul adalah seorang wanita cantik walaupun obvious sangat mukanya ‘dibuat’. Pakaiannya sentiasa seksi dan mestilah berjenama dari hujung rambut hingga hujung kaki. Tapi misterinya, tiada sapa tahu latar belakang dia, keluarga siapa dan siapa yang mem’belanya’… opss!

 

Mestilah jadi bahan cakap kalau tiba-tiba muncul tidak berteman, hanya shopping sendirian, bayar cash semua walau untuk bil bernilai lima digit. Suatu masa dahulu dia mampu buka butik sendiri di kompleks beli-belah biarpun bukan apalah sangat yang dijualnya. Bila butik tutup, dia terus duduk di rumah saja tapi habit shopping masih sama.

See also
Koleksi Nojum Dipersembahkan Oleh Gucci

 

Walau ramai yang mendekatinya untuk small talk di parti-parti, dia akan menyelinap menghilangkan diri bila perbualan mula beralih ke kisah peribadi. Seorang kawan Datin X kepoh dengan staf di sebuah butik terkemuka, ceritanya wanita itu di bawah jagaan seorang gangster berpengaruh. Wah… Datin X seperti mendengar sinopsis filem Hollywood pula. Tapi lama benar dia kena ‘jaga’.

 

Kata orang sudah lebih 10 tahun wanita tersebut menjalani gaya hidup seperti ‘tai tai’. Gerak gerinya sentiasa diperhati oleh kaki-kaki si gangster tadi. Atas sebab itu, tiada siapa berani nak ambil tahu lebih lebih mengenai siapa pasangannya atau dari mana duitnya datang. Sebab nak sibukkan jaga tepi kain orang, takut-takut diri sendiri pula yang terjerat nanti!

 

Bercakap fasal sosialit-sosialit Kuala Lumpur yang popular, seorang daripada mereka turut menjadi topik perbincangan hangat. Dia seorang usahawan yang memiliki butik sendiri tapi sayang barang jualannya semua tiruan produk-produk berjenama luar negara. Boleh buat muka tidak malu pergi ke majlis fesyen sambil tayang benda di badan yang mana kesemuanya imitation belaka. Dia ingat orang Kuala Lumpur ni buta fesyen sangatkah? Jangan nanti dihalau keluar butik seperti pernah terjadi suatu masa dahulu pada seorang manusia itu. Nanti muka tak tahu nak letak mana, bisnes habis entah ke mana.

See also
5 Model Made In Malaysia Yang Patut Anda Kenali

 

Datin X juga hairan sebab dia pun bergaul dengan kawan-kawan yang bukan calang-calang… high maintainance belaka semuanya. Jadi tidakkah janggal berniaga barang tiruan bila teman baik sendiri regular di butik-butik berjenama? Pelik sungguh! Di KL ni bukan dia seorang saja yang muka tembok jual barang tipu, ada seorang dua lagi yang agak galak menjaja beg-beg gred A. Tak sanggup Datin X nak menyebut namanya sebab orangnya blue blooded. Nama depan berpangkat sebab dari keturunan keluarga yang elok-elok. Kalau dia ke majlis keraian dan menjinjing beg berjenamanya, dia akan diberi layanan lebih istimewa dari orang marhain seperti Datin X ni. Tentu sekali semua akan berpendapat beg yang dibawanya mesti asli dan mahal sekali harganya. Tapi khabar dari insider, her bags are all fake! Takkan duit berkepuk-kepuk tapi nak beli beg pun teramat berkira? Kalau macam tu, lebih baik duduk rumah tidur atas duit saja!

 

Itu belum lagi fasal seorang sosialit muda yang baru-baru ini bersalin anak sulung. (Konon-konon usahawan butik lah, walau hakikatnya, kedai dia tak ubah macam kedai dekat Sungei Wang saja!) Perempuan ini pun boleh tahan bawa Birkin semua, tapi Louboutin di kaki confirm tiruan. Dia ingat sebab pakai di kaki orang tak perasan ke? Ceritanya ketika dia dan kawan-kawan pergi window shopping untuk kasut, salah seorang teman terperasan bila perempuan ini buka kasutnya. Hmm… apa lagi? Jari terus cepat menghantar BBM ke kawan-kawan lain. Dari sekadar gosip di Blackberry, terus jadi bahan ketawa satu KL. Entah-entah Birkin yang digendong ke sana-sini tu pun tiruan tak? Oh, manusia… macam macam!

See also
Jutawan Jelita: Lailli & Alizey Mirza

 
Dipetik dari GLAM Mei 2013.