Korner Mak Datin: Datin Berangan Tak Boleh Tengok Orang Lain Lebih Walaupun Adik Sendiri! - Glam Malaysia

Korner Mak Datin: Datin Berangan Tak Boleh Tengok Orang Lain Lebih Walaupun Adik Sendiri!

datin3 mono NOISE
 
Seperti yang diceritakan kepada Anna Freda
 
Salma hanya tiga tahun lebih tua daripada Dura. Sejak kecil mereka sungguh akrab walaupun Salma lebih banyak menguasai keadaan. Manakala Dura lebih banyak mengalah. Ketika itu mereka masing-masing belum memahami dunia realiti, masalah tidak pernah timbul. Ke mana-mana sahaja mereka pasti bersama. Pakai pun hampir sama sehinggakan ramai menyangka mereka ini saudara kembar.
 
Menginjak usia remaja, Salma membesar sebagai gadis jelita dan mendapat perhatian ramai. Banyaklah lelaki yang baru hendak belajar cinta monyet menaruh hati padanya. Dura juga semakin cantik, banyak suara mula beralih memuji si adik pula. Saat itu hati Salma mula tidak senang padahal memang jelas dia lebih cantik daripada si adik.
Perangai hasad dengki itu melarat sehingga mereka dewasa dan menjalani kehidupan masing-masing. Sayangnya Salma masih mahu bersaing dengan Dura walaupun si adik tidaklah mengambil kisah sangat. Melihat itu Salma semakin sakit hati lalu banyaklah onar dicari asal dapat menyakitkan hati Dura.
 
Kalau Dura bawa pulang teman lelaki seorang arkitek, Salma akan pastikan teman lelakinya seorang peguam. Kalau Dura bawa balik kereta Honda, tak lama kemudian dia akan pastikan membeli BMW. Banyak lagilah situasi yang jelas Salma mahu bersaing dengan Dura. Persaingan Salma dengan Dura hanyalah salah satu contoh kerana dengan teman-teman lain pun dia bersikap begitu. Sebab itu teman Salma silih berganti.
 
Mungkin tuah menyebelahinya, Salma kini 10 tahun telah berkahwin dengan Datuk Muhar. Bukan main lagi dia dari nama Salma kini bergelar Datin Sally. Kiranya bertuah sungguh Datin Sally memiliki segala kemewahan yang dilimpahkan Datuk Muhar. Datuk memang sangat kasihkan Datin Sally dan memanjakan Datin sepenuh hati. Mereka dikurniakan sepasang anak yang comel.
 
Sementara itu Dura masih lagi tercari-cari jodohnya. Usia melewati awal 30-an ini dikatakan agak lewat. Datin Sally lantang bersuara menempelak adik sendiri. Puas ditegur ibu tetapi mulut Datin Sally tak boleh ditahan-tahan.
Jahatnya Datin Salma kerana di belakang juga dia berkata-kata mengenai Dura. Pada teman-teman diceritakan segala keburukan Dura. Dia tidak langsung memikirkan perasaan adik sendiri. Malah bermegah-megah kerana dirinya lebih cantik malah mendapat jodoh dengan seorang hartawan berdarjat tinggi.
 
I rasa Dura tu tak lekat jodoh sebab ada perangai dia yang lelaki tak suka. Semua lelaki tak boleh terima perangai dia tu.” Itu lah cerita dijaja Datin Sally kepada teman-teman yang juga merupakan teman-teman Dura. Akhirnya umpatan Datin Sally sampai ke telinga Dura jua. Namun Dura simpan sahaja apa diketahuinya. Sebagai adik dia rasa dia patut mengalah. Lagi pula enggan membesar-besarkan cerita.
 
Sudah menjadi tabiat Datin Sally agaknya, dia lebih senang jikalau kawan-kawan memihak dirinya. Paling tidak memuji-muji dirinya. Datin Sally ini sifatnya bermuka-muka. Di depan sikit punya baik dia menabur kasih sayang sebagai sahabat, tetapi di belakang umpatannya berjela.
 
Apabila ditinggalkan teman-teman, Dura akan dicarinya. Setiap kali Datin Sally menghubunginya dengan suara penuh kemesraan, tahulah Dura apa keadaan kakaknya itu. Pasti kesunyian sedang menghimpit diri. Tetapi sebaik sahaja dia punya teman baru, Dura pasti dilupakan.
 
“Kau tahu masalah kau, semua kawan menjauhkan diri? Di antara 10 sahabat, semua kau buat gaduh. Takkan semua orang bersalah? Cuba renung salah diri sendiri,” tegur Dura. Dia sendiri kalau ikutkan hati memang enggan bertemu Datin Sally lagi. Tetapi ke mana mampu dia lari kerana ikatan darah daging ini? “Jadi kau nak kata aku perempuan jahat?” “Aku tak kata kau jahat. Aku cuma minta fikir sejenak apa terjadi dengan semua orang? Kenapa mereka marah benar dengan kau?”
 
Ditegur sedikit sudahnya Dura pula dianggap salah seorang musuhnya. Begitulah Datin Sally yang kuat emosi, sensitif tidak bertempat dan suka menguasai keadaan.
 
Pada suatu saat Dura bertemu lelaki yang mulai sukakan Dura, lalu diperkenalkan kepada ahli keluarga. Datin Sally begitu mulut manis dengan teman Dura, Akmal. Hati Dura sudah berdetik tidak senang dengan sifat bermuka-muka kakaknya itu. Entah apa sedang direncanakannya. Namun, Dura mahu berfikiran baik-baik sahaja.
 
Apa membimbangkan Dura, kakaknya itu akan membangkitkan isu jarak usia lima tahun mereka. Kemudian merendah-rendahkan Akmal berbanding suaminya yang bergelar Datuk itu. Kemudian bercerita keburukan dirinya kepada lelaki itu. Masakan tidak, Datin Sally sering mengugutnya “rahsia kau ada di dalam tangan aku.” Padahal rahsia dalam tangannya itu bukanlah cerita benar. Banyaknya hanya dijual kisah buruk sangkanya pada orang lain.
Ketika Datuk Muhar berbual-bual kosong dengan Akmal, barulah diketahui mereka Akmal bukan lelaki sembarangan. Datuk Muhar kenal benar kerabat keluarga Akmal. Memang dia kelihatan ringkas tetapi lelaki itu lebih kaya daripada Datuk Muhar. Malah lebih kacak daripada Datuk Muhar yang gendut dan berusia itu.
 
“Yang, inilah anak Tan Sri Hamzah. Tan Sri sihat? Bertuahnya dapat bertemu anak yang dibangga-banggakan Tan Sri. Mak, bapa Akmal lah yang banyak bantu saya ketika bisnes saya hampir jatuh merundum,” cerita Datuk Muhar tanpa selindung pada seisi keluarga.
 
Ketika itu Datin Sally sudah berwajah kelat. Keadaan itu disedari Dura. Habis! Habis aku, detik hati Dura gundah. Memang dengar-dengar Datuk Muhar punya masalah kewangan lima tahun lepas. Tetapi dinafikan kakaknya. Malah dengan bangga mengatakan harta Datuk cukup untuk tujuh keturunan mereka.
 
Setelah beberapa ketika Datin Sally kembali seperti biasa. Cukup ramah tamah dan sangat berperanan sebagai kakak yang terbaik sekali. Dura cuba bersangka baik. Mungkin kakaknya boleh berbaik-baik dengan Akmal kerana lelaki itu berdarjat tinggi. Dia kan memilih orang untuk bergaul. Mesti yang cantik-cantik bergaya dan daripada golongan sosialit.
 
Makan malam itu berjalan lancar tanpa ada drama Datin Sally. Dura sangat lega dengan perkembangan itu. Namun, tanpa disedarinya Datin Sally sudah memiliki nombor telefon bimbit Akmal. Malah, diundangnya Akmal dan Dura untuk makan malam di kediamannya pula. Dura masih bersangka baik lagi.
 
Ketika makan malam di kediaman Datin Sally, bukan main lagi hiasan disediakan. Mungkin kerana Akmal anak seorang lelaki berjasa kepada mereka lalu sambutannya sungguh luar biasa. Sifat Datin Sally juga berubah baik. Dia juga melayan Dura seperti seorang kakak yang paling terhebat.
 
“Kakak you baik,” ujar Akmal merumuskan peribadi Datin Sally kepada Dura dalam perjalanan pulang. Dura hanya mampu tersenyum. Dia enggan buka cerita kerana Datin Sally telah meninggalkan imej baiknya di mata Akmal. Masakan lelaki itu mahu percaya perangai sebenar kakaknya.
 
Selang seminggu mereka dipelawa lagi makan tengah hari di kediaman Datin Sally. Beberapa pertemuan berlangsung lagi. Dura cuba untuk hadir kerana bimbang melepaskan Akmal pergi sendirian. Sehinggalah dia bertugas di luar daerah. Tiba-tiba Akmal menghantar pesanan ringkas dia ada di kediaman Datin Sally. Dura mulai cemas…
 
Namun ditepis segala sangka buruk terhadap kakaknya. Takkan lah seorang kakak tergamak merosakkan hubungan adiknya sendiri. Namun Dura bingung kenapa kakaknya mahu berbaik-baik dengan Akmal yang kini sudah biasa keluar masuk kediaman Datin Sally walaupun tanpa dirinya. Bukan apa, mereka baru menjalinkan persahabatan dan bukannya sahih punya ikatan cinta. Masing-masing baru dalam peringkat selesa berkawan.
 
Pada suatu petang di kediaman ibu, Dura pulang melihat kakaknya sedang minum petang bersama dua anaknya. Dura menegur dua anak saudaranya dan bermain-main dengan mereka seketika sebelum berlabuh di sofa.
 
“Oh, Akmal datang rumah aku semalam,” ujarnya bangga. “Oh, iya?” soal Dura sepatah seraya tersenyum. Namun, suara Datin Sally tidak enak kedengaran. Bangga sungguh kerana Akmal kini bertandang ke rumahnya walaupun tanpa Dura. “Lagipun Akmal bukannya hak kau pun sehingga tidak boleh datang ke rumah aku tanpa kau,” tambahnya. “Lah, nak sangat Akmal tu ambil lah,” bisik hati Dura.
 
“Dura, kamu berdua bukannya bercinta? Ingatkan dah nak kawin,” tegur Datin Sally sangat sinikal. “Oh, memanglah tak ada apa-apa. Kenapa pula isu ini berbangkit?” “Alah, aku tanya saja bila kamu berdua mahu bernikah? Akmal yang cakap dia tak ada apa-apa dengan kau. Kawan biasa-biasa sahaja,” ceritanya lagi seraya meneguk kopi tanpa rasa bersalah. Dura merasakan air mukanya jatuh ke tanah. Dia sangat malu dengan isu dibangkitkan Datin Sally.
 
“Kenapa kau tak tanya aku dulu?” kata Dura. “Salahkah aku berbual-bual kosong dengan Akmal? Lalu bertanya soal itu? Mana aku tahu nak kena tanya kau dulu?” Dura bingkas berlalu ke kamarnya. Tak guna mahu berdebat dengan orang tak reti bahasa seperti kakaknya itu. Nasi sudah menjadi bubur. Pada Dura biarlah soal hati Akmal tidak diketahuinya. Biar hubungan mereka berkembang dengan sendiri. Sama ada mahu kembang ke taman atau ke laut, biar diri mereka sahaja yang tentukan. Setelah mengetahui isi hati Akmal yang dia hanya kawan biasa-biasa sahaja, semestinya hatinya sendiri terluka. Sejak itu Dura mula menjauhkan diri daripada Akmal yang dilihat begitu akrab dengan Datuk Muhar dan Datin Sally.
 
Suatu saat Akmal mula bertanyakan perubahan dirinya. Dura tak mampu meluahkan segala kerana tidak mahu dicop sebagai adik yang suka memburuk-burukkan kakak.
 
Sementelah Dura sekadar dianggap kawan biasa sahaja jadi mengapa dia perlu mengambil berat lagi apa di fikiran Akmal. Dura rasa dirinya tewas. Dia menyesal kerana memperkenalkan Akmal kepada seisi keluarga terutama kakaknya.
I nampak macam you tak senang I berbaik-baik dengan kakak you?” soal Akmal lagi. “Kalau you nak berbaik dengan mereka tak mengapalah. Tapi janganlah keluarkan kata-kata yang memalukan I. Menjatuhkan air muka I.” “Apa yang dah I cakap?” soal Akmal bingung. “Dah lah. You takkan faham. Dah, dah. Kita kan kawan biasa-biasa sahaja.” “Oh! Memanglah. Kita kan belum ada bincang soal hati.” “Tahu tapi I tak suka you bercerita kepada kakak I mengenai itu?”
 
Sebenarnya sukar untuk Dura jelaskan, dirinya akan jadi bahan ejekan setahun kakaknya. Betapa kakaknya pasti bangga kerana dia masih gagal mendapatkan lelaki yang ingin mendampinginya. Betapa Datin Sally masih menang dalam semua hal.
 
Segala-galanya kini sudah rosak akibat Datin Sally yang enggan Dura memiliki lelaki yang lebih kaya daripada suaminya. Berkudis mata agaknya melihat Dura hidup bahagia. Walhal Dura adalah adiknya sendiri. Entah mengapa Akmal seolah-olah mendengar kata-kata hatinya itu.
 
“Dura, I bukan budak bodoh yang boleh dipengaruhi sesiapa pun jua.” “Akmal, I tak mahu apa you rasa ketika melihat I kali pertama berubah,” ucap Dura perlahan. “Tak! Masih sama!”
Betapa kata-kata Akmal itu cukup berharga buat Dura. Dia lega kerana Akmal tidak terpengaruh dengan segala kata-kata kakaknya. Tidak termakan dengan segala percubaan kakaknya yang mahu bersaing dengan dirinya, dia lega kerana Akmal cukup bijak menangani Datin Sally. Dalam pada itu dia meneruskan persahabatan mesra mereka seperti biasa. Dura enggan ambil tahu perihal Akmal kalau-kalau masih berhubungan dengan Datuk Muhar dan Datin Sally. Itu terpulang pada diri Akmal. Doa Dura semoga kakaknya berubah menjadi seorang kakak penyayang yang mahu melihat kebahagiaan adiknya dan bukan jadi perosak kebahagiaan adik sendiri.

See also
Cara Bijak Naomi Campbell Menafikan Dia Tidak Hamil