Datin X: Suami Kembali Kepada Bekas Teman Lelaki

Datin X: Suami Kembali Kepada Bekas Teman Lelaki

shah GUCCIGambar: Arkib GLAM

 
Bila nafsu sudah terarah ke teman sejenis, apakah perasaan itu masih boleh diperbetulkan supaya kembali kepada fitrahnya? Satu persoalan yang hanya tuan badan sahaja yang boleh jawab. Seorang teman Datin X sekarang ini sedang frust habis apabila dikecewakan oleh teman lelakinya. Rupa-rupanya dibelakang, lelaki berkenaan sedang bermain kayu tiga. Bukan dengan wanita, tetapi dengan lelaki!
 
Tanya Datin X, takkan you tak investigate dulu latar belakangnya? Kawan Datin X kata, dia sudah lama tahu kisah silam lelaki itu luar dalam dan dia percaya yang lelaki itu benar-benar ikhlas mahu berubah. Apa yang lebih mengecewakannya, habis wang ringgitnya dihabiskan kepada lelaki tadi – belanja hadiah mahal-mahal dan dibawanya bercuti jauh-jauh. Tapi akhirnya dia dikecewakan juga. Walau apa pun, nasiblah mereka belum lagi bernikah lagi. Kalau tidak buat naya saja seperti kes Rose yang Datin X ceritakan di bawah ini.
 
Jodoh Rose agak lambat. Lewat 30-an baru dia berumah tangga. Datin X rasa mungkin sebab karakternya yang agak kasar apatah lagi dia wanita berjawatan besar. Sekali dia jerit, bunyinya bagaikan guruh hingga menikus semua staf lelakinya melarikan diri. Tapi takdir akhirnya menemukannya dengan seorang lelaki yang sanggup menerima Rose dengan seadanya. Rose berkenalan dengan Khairul cuma beberapa bulan, kemudian terus kahwin tanpa bertunang. Orang tanya kenapa tergesa-gesa, Rose jawab, kalau ditunda takut tak menjadi pula. Lebih baik dilekaskan!
 
Dari segi luaran, Rose dan Khairul memang nampak sesuai bersama. Sama cantik, sama padan bagai pinang dibelah dua. Khairul pun usianya sudah menghampiri separuh abad, belum pernah berkahwin dan mengusahakan perniagaan sendiri. Masa kenduri, Datin X sempat menjenguk rumah kelamin mereka. Rose bakal berpindah masuk ke rumah Khairul. Gaya hiasan rumah nampak begitu feminin sekali. Hmm… di situ sudah timbul tanda tanya. Bila bersua muka sendiri dengan Khairul, kami semua rasa agak sangsi kerana perwatakannya tak ubah seperti seorang lelaki lembut. Namun perasaan itu dipendamkan sahaja. Yang lepas, biarkan lepas. Datin X sokong jika Khairul mahu buka buku baru.
 
Setahun berlalu, Datin X dengar Rose dan Khairul sudah tidak tinggal sebumbung lagi. Yang tahu cerita, seakan sudah menjangka pengakhiran sebegini. Rupa-rupanya si Khairul dahulunya memiliki hubungan terlarang jangka panjang dengan seorang lelaki yang juga rakan niaganya. Perpisahan akibat didesak keluarga. Namun mungkin kerana sudah terlalu lama bersama, the ex-boyfriend is now back in the picture.
 
Alasan lelaki itu banyak perkara yang belum selesai antara mereka berkaitan hal perniagaan yang mereka pernah usahakan bersama. Nampaknya Khairul tidak dapat bertahan lama sebelum kembali menyulam rindu setelah sekian lama menahan diri dari bertemu. Keadaan bertambah rumit kerana tanpa pengetahuan Rose, Khairul dan ex-boyfriend itu tadi pernah mengambil anak angkat sewaktu mula-mula bersama. Sekarang budak itu dah pun bersekolah menengah. Khairul breakdown di hadapan Rose apabila cerita anak angkatnya diungkit. Rindunya pada anak itu sudah tidak tertahan. Rose terus buntu tidak terkata apa.
 
Maka selepas hampir sebulan pinggan mangkuk berterbangan, Rose ambil keputusan untuk keluar rumah dan menyewa di tempat lain. Hari ini Rose terpaksa menebalkan mukanya saban hari menjejakkan kaki ke pejabat kerana satu bangunan sepertikan sudah tahu. Datin X rasa jika penceraian itu jalan terbaik, redha sajalah sebelum banyak lagi hati yang terluka. Hal hati dan perasaan orang tidak boleh dipaksa-paksa.
 
Kisah Rose ini adalah satu antara puluhan cerita yang lebih kurang sama. Wanita yang mengharapkan kasih dari lelaki gay, mengharapkan lelaki itu berubah supaya mereka boleh berkahwin and live happily ever after. I wish it is that simple, ladies! Tapi ada juga hubungan yang berjaya (setakat inilah!).
 
Satu dilema yang terpaksa dilalui oleh pasangan ini adalah pandangan kurang selesa masyarakat. Stigma ini tidak mungkin dapat dikikis dan memberi tekanan khususnya pada wanita. Bila tidak dikurniakan zuriat, bertambah-tambahlah bahan mengata. Ramai yang lebih rela dilepaskan dan tidak kurang juga yang tegar untuk tidak putus asa. Pernah seorang wanita bertahan hampir 10 tahun tidur berasingan, merahsiakan dari pengetahuan keluarganya kerana malu takut diketahui yang dia bersuamikan seorang homoseksual. Sampai suatu ketika, dia sudah tidak tahan lagi dan tembelang suaminya pecah dikandang mahkamah syariah. Satu keluarga dapat malu!
 
Tapi tidak semua perkahwinan sebegitu berakhir dengan titik nokhtah. Ada yang Datin X kenal, pengantin perempuannya hampir berubah fikiran di saat akhir, beberapa jam lagi sebelum akad nikah berlangsung. Dia mula mengomel apabila beberapa teman yang nakal mula betting mengenai berapa lama jodohnya boleh bertahan. Dia sendiri mengeluh entah berapa lama lah perkahwinannya ini memandangkan dia adalah girlfriend pertama bakal suaminya manakala hubungan-hubungan sebelumnya semuanya dengan lelaki. Katanya, kalau tak kerana didesak ibu bapanya yang mahu menjaga air muka, dah lama dia angkat kaki.
 
Ahli keluarga terdekat mula panik dan perlahan-lahan memujuknya agar meneruskan perkahwinannya. Akhirnya dia akur tanpa ada sebarang drama yang tidak diingini. Sekarang nampaknya dia amat bahagia bersama suami tersayang. Tak nampak sedikit pun kurangnya apabila mereka bersama. Keduanya seperti pasangan baru bercinta. Baguslah macam tu. Kita tak boleh duga apa yang ada di depan. Tawakal saja. Buat yang berkenaan, kita doakan sahaja agar jodoh mereka berpanjangan. Sesungguhnya rahmat Tuhan itu luas. Kita hanya perlu sematkan rasa percaya dengan niat mahu mencari redhaNya.
 
 

See also
Korner Mak Datin: Datin Gila Instagram!