Datin Lynda Rahim: "Saya banyak belajar daripada kesilapan."

Datin Lynda Rahim: “Saya banyak belajar daripada kesilapan.”

Datin Lynda Rahim
 
Dia hadir berteman tepat waktu yang dijanjikan. Ini memperlihatkan sifat profesionalismenya yang tinggi. Pertemuan kami kali ini bukanlah yang pertama kali. Kami sudah sering bertemu di beberapa acara koktel sekitar ibu kota. Mengenakan baju kemeja putih bersama celana potongan lurus, dia menyarung kasut rona biru kelasi dengan perincian batu kristal jenama Manolo Blahnik. Gaya ringkas namun penuh pesona. Katanya kala merencana labelnya sendiri, dia dialiri inspirasi daripada pereka tempatan Rizalman Ibrahim dan Kimora Lee Simmons yang dianggap wanita hebat.
 
“Rizalman Ibrahim seorang yang multi-talented. Dia perancang busana hebat juga pintar dalam hiasan dalaman. Rekaanya tidak sekadar cantik tetapi perincian amat dititikberatkan. Semuanya digarap indah. Hasil kerjanya sempurna. Sementara di pentas antarabangsa pula saya mengagumi Kimora Lee Simmons. Siapa yang tidak kenal dengan personaliti ini? She’s a model, a mom, and also a successful entreprenuer. Bisnes adalah bidangnya. Dia menguruskan segala-galanya dan berjaya memperolehi keuntungan bukan sahaja di negara sendiri malah di serata dunia. I really look up to her. If she can do it, I can do it too,” kata Datin Lynda Rahim bersemangat.
 
“Bagaimana saya boleh terjebak dalam industri ini? Sejujurnya, semenjak kecil lagi saya sudah mula berangan. Saya mengimpikan untuk menyarungkan helaian busana dan pakaian yang cantik. Saya mahu bersolek cantik dengan kuku juga cantik berhias. Pendek kata mahu cantik dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Oleh kerana terlalu obses dengan kecantikan, barang perhiasan juga alat solek ibu sering menjadi sasaran. Justeru, dari situlah bermulanya impian dan cita-cita untuk menjadi wanita cantik, punyai kerjaya yang baik dan berjaya. Selain itu lumrah wanita mahu mendirikan rumah tangga dengan lelaki yang baik daripada semua segi. Alhamdullilah saya dapat semuanya hari ini,” Lynda mengungkap kisah dirinya.
 
Ayahnya seorang polis. Mereka sering berpindah randah dari Perak ke Pahang dan akhirnya menetap di Kuala Lumpur. “Oleh kerana saya sering kali bertukar sekolah, saya mewah pengalaman. Saya terdedah kepada persekitaran yang berbeza. Semuanya sudah saya rasa. Hidup di kampung dan juga di kota raya. Saya bersyukur kerana ini memupuk kekuatan diri. Saya kini bahagia dengan suami tercinta yang berkhidmat dengan syarikat perkapalan. Sembilan tahun bersama kami dikurniakan lima orang cahaya mata, tiga perempuan dan dua lelaki.
 
Menjadi seorang ibu yang bekerja tidak tetap masa sama sekali tidak menghalang hala tuju saya menjadi businesswoman berjaya. Saya memulakan jenama sendiri lapan yang lalu. Mungkin lapan tahun dahulu visi saya agak berbeza dari hari ini. Saya bersyukur kerana sehingga ke hari ini, label saya masih bertapak dalam industri fesyen tempatan. Saya mulakan kerjaya dengan mempersembahkan barisan busana ratu sehari, and people know me from there. Daripada sebuah kedai di Ampang kami berpindah ke Plaza Damas dan sekarang mempunyai sebuah unit di Jalan Maarof, Bangsar yang mana merupakan impian saya untuk punya pangkalan fesyen di Bangsar.
 
Bekerja keras itu kuncinya selain rajin menimba ilmu. Pengalaman juga menjadi guru terbaik. Saya banyak belajar daripada kesilapan. Stay strong and never give up. Saya faham ada kalanya kita berada di bawah tetapi itu bukanlah alasan untuk mengalah. Tiada jalan mudah atau pintas untuk berjaya. Jika diizinkan Tuhan, kami akan melancar second line clothing. Ia terdiri daripada koleksi ready-to-wear dan himpunan busana pengantin mampu milik. Kami juga bakal melancarkan pembelian dalam talian,” Lynda terus berkongsi cerita pengalaman dan visi kerjayanya.
 
Mengagumi helaian busana Valentino, dia beranggapan lambakan label pengantin di pasaran tempatan adalah persaingan yang sangat sihat dan positif. Ia membuka banyak pilihan untuk klien di luar sana. Katanya, lebih ramai pereka, lebih banyak rekaan yang berbeza begitu juga dengan sentuhannya. “Di Lynda Rahim kita punya sentuhan yang tersendiri. Our cutting, detailing, designing are all elegant in our own way. Semuanya kena idealis, princessy, dan dreamy. Ini kerana saya percaya semua wanita di luar sana mahu menjadi ratu atau puteri pada hari persandingan. Pada hari itu, anda adalah seorang permaisuri. Jadi sebagai seorang pereka, saya bertanggungjawab untuk menzahirkan hasrat mereka untuk menjadi seorang ratu dalam persalinan terindah di hari bahagia mereka. I’m into this touch of design. Princessy yet elegant.”
 
Penyelaras: Zuhairie Sahrom dan Amira Azman
Arahan Seni: Ashura Hakim
Gambar: Eric Chow/Blink Studio
 
*Artikel ini disiarkan dalam GLAM edisi Mei 2015
 
 

See also
Sisir Seksi