10 Hari Meditasi Di India, Bernard Chandran Myth Creation Lahir Dengan Makna Baharu
Menyelusuri industri yang sering dipacu oleh kesibukan dan tuntutan komersial, Dato’ Sri Bernard Chandran membuat keputusan yang tidak dijangka. Pereka fesyen terkenal ini mengambil masa rehat selama 10 hari untuk meditasi di India, satu langkah yang akhirnya melahirkan pameran terbaharunya, Bernard Chandran Myth Creation.
Pameran ini bukan sekadar showcase koleksi baharunya. Malah ia juga mewakili transformasi kreatif yang mendalam, diilhamkan oleh fenomena langka Tahun Ular Kayu, sesuatu yang hanya berlaku sekali dalam 60 tahun.
Bernard Chandran MYTH Creation – Perjalanan dari naga ke ular

Jika anda masih ingat pada koleksi MYTH Evolution yang meneroka warisan Cina dan Tahun Naga, Bernard Chandran Myth Creation adalah penerusan naratif tersebut. Namun kali ini, eksplorasi Dato’ Bernard jauh lebih mendalam dan personal.
“Dari 龙 (lóng) yang bermaksud Naga, saya bermeditasi tentang 变 (biàn) iaitu Perubahan,” kongsinya. “Tetapi hanya setelah saya menemui meditasi Vipassana, barulah saya memahami destinasi perubahan itu: 蛇 (shé) adalah Ular.”
Metafora ini bukan sekadar konsep artistik semata-mata. Ia mencerminkan perjalanan peribadi seorang pereka yang telah mencurahkan tiga dekad hidupnya dalam dunia fesyen, dan kini memilih untuk merenung semula erti transformasi dan pembaharuan.

Ketika seni menjadi panggilan
Permulaan kepada perjalanan rohani Dato’ Bernard bermula dengan cara yang tidak diduga melalui sebuah lukisan. Karya arang batu bersaiz sebenar oleh artis terkenal Malaysia, Ahmad Zaki, menggambarkan seorang Sadhu India dari bandar suci Benares. Lukisan ini menjadi titik tolak yang membawa Dato’ Bernard Chandran ke India pada penghujung tahun 2024.

Baginya, karya tersebut bukan sekadar acquisition untuk koleksi peribadi tetapi ia adalah calling, sesuatu yang bergema dengan jiwa dan memanggilnya untuk mendalami pengalaman spiritual yang lebih autentik.
MYTHS of Aura: Empat narasi, satu visi
Bernard Chandran Myth Creation memperkenalkan MYTHS of Aura sebagai koleksi perdananya, menampilkan empat karya distinctive yang mewakili Renewal (Pembaharuan), Spirituality (Kerohanian), Enlightenment (Pencerahan), dan Passion (Kegilaan).
Setiap daripadanya menjelmakan sifat-sifat Ular Kayu termasuklah kesabaran, kebaikan, dan introspeksi. Sifat ini juga mencerminkan perjalanan Dato’ Bernard Chandran sendiri selepas bertahun-tahun bergerak pantas dalam karier, kehidupan berkeluarga, dan tanggungjawab sebagai seorang bapa.

Dato’ Bernard Chandran bersama dua orang anaknya
“Seperti ular yang menanggalkan kulit lama, saya juga melakukan perkara yang sama secara simbolik,” jelas Chandran. “Retreat meditasi ini mengajar saya untuk kembali kepada rentak yang lebih perlahan, pemikiran yang lebih deliberate, dan refleksi diri yang bebas dari ego. Ia mengingatkan saya bahawa ‘ini juga akan berlalu’.”
Bernard Chandran MYTH Creation terima pengiktirafan dari Christie’s London
Signifikan Bernard Chandran Myth Creation turut diiktiraf di peringkat antarabangsa. Christie’s London telah mempamerkan karya-karya terpilih dari koleksi ini bersama ceraian dari MYTH Evolution dalam persembahan berprestij di London pada akhir tahun lalu.

Pameran lengkap kini berlangsung di studio Bernard Chandran sendiri, bertepatan dengan penghujung Tahun Ular sebelum kedatangan Tahun Baru Cina 2026. Timing ini, seperti yang Chandran gambarkan, mewakili “ekor simbolik ular” yang melengkapkan satu kitaran penuh transformasi dan evolusi artistik.
Keaslian dalam era komersialisme

Di tengah landskap industri yang semakin didorong oleh permintaan komersial dan fast fashion, Bernard Chandran Myth Creation menonjol sebagai testament kepada kuasa keaslian spiritual dan kesabaran artistik.
Dato’ Bernard Chandran, dengan lebih 30 tahun pengalaman sebagai pereka fesyen Malaysia yang diiktiraf di peringkat global, membuktikan bahawa growth dan reinvention tidak pernah berhenti tanpa mengira betapa diiktirafnya sesebuah nama itu.

Pameran ini bukan hanya tentang visual estetik atau fashion statements. Bernard Chandran Myth Creation adalah reminder bahawa karya seni yang sangat bermakna lahir dari ruang yang tenang, dari keberanian untuk berubah, dan dari kesediaan untuk menanggalkan lapisan-lapisan lama demi menemui esen yang lebih tulen.
Dalam dunia yang csentiasa mengejar sesuatu yang besar dan baharu, perjalanan Dato’ Bernard Chandran mengajar kita sesuatu yang mendalam: kadang-kala, tindakan yang paling revolusioner adalah untuk berhenti, bernafas, dan membiarkan transformasi berlaku secara semula jadi seperti ular yang menanggalkan kulitnya untuk mendedahkan kulit baharu yang lebih segar di bawahnya.
Artikel berkaitan: 6 Pelukis Wanita Kontemporari Yang Mengubah Wajah Seni Global
Farhana Fuad
Farhana Fuad merupakan Pengurus Kanan Kandungan di GLAM Malaysia. Menggabungkan kepakaran dalam penulisan editorial dan strategi SEO, Farhana menerajui kandungan semasa dan gaya hidup.

