Ketahui 8 Empayar Perniagaan Keluarga Terbesar di Malaysia

Ketahui 8 Empayar Perniagaan Keluarga Terbesar di Malaysia

Lapan konglomerat keluarga Malaysia yang bukan sahaja membina empayar perniagaan, tetapi turut membentuk landskap gaya hidup hari ini.

Di Malaysia, konglomerat keluarga ini tidak lagi terhad kepada sektor industri berat semata-mata. Mereka kini menjadi arkitek gaya hidup moden dengan membentuk pengalaman melalui hotel dan resort mewah, jenama F&B berpengaruh serta destinasi pelancongan ikonik. Di sebalik jenama-jenama ini, legasi keluarga terus berevolusi, diwarisi dan diterajui semula oleh generasi seterusnya dengan visi yang lebih segar.

1. The Serai Group

Diasaskan oleh Rina Abdullah dan anak menantunya, Najib Hamid, Serai Group bermula sebagai perniagaan makanan sebelum berkembang menjadi kumpulan hospitaliti keluarga yang mengendalikan restoran dan hotel butik. Fokus gaya hidup Serai Group banyak tertumpu kepada F&B berkonsep dan pengalaman makan yang meraikan cita rasa tempatan antaranya Serai, Jibby & Co, The Park dan sebagainya.

2. YTL Corporation Berhad

Ditubuhkan oleh Tan Sri Yeoh Tiong Lay pada tahun 1955, YTL Corporation kini diterajui oleh generasi kedua, Tan Sri (Sir) Francis Yeoh yang mengembangkan empayar ini dalam bidang tenaga, utiliti dan hospitaliti mewah. Melalui YTL Hotels, kumpulan ini menguruskan resort ikonik seperti Tanjong Jara Resort, The Ritz-Carlton dan Pangkor Laut Resort dengan penekanan kepada kemewahan berteraskan lokasi, reka bentuk dan pengalaman gaya hidup bertaraf antarabangsa.

See also
6 Panduan Terbaik Berjimat Untuk Seorang Fashionista

3. Naza Group of Companies

Naza diasaskan oleh Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin yang bermula sebagai pengedar automotif sebelum berkembang menjadi kumpulan industri terpelbagai. Selepas pemergian Tan Sri SM Nasimuddin, legasi Naza diteruskan oleh anak-anak beliau, SM Nasarudin SM Nasimuddin, SM Faliq SM Nasimuddin, Nur Diana SM Nasimuddin serta Nur Nadia SM Nasimuddin. Dalam sektor gaya hidup, Naza terlibat dalam hartanah, automotif premium, hospitaliti, peruncitan seperti Met Galleria dan Hyatt Regency.

4. Royal Selangor

Diasaskan pada tahun 1885 oleh Yong Koon, Royal Selangor bermula sebagai bengkel kecil pewter sebelum berkembang menjadi jenama gaya hidup global. Kemudian, perniagaan ini diteruskan oleh anak lelakinya, Peng Kai dan seterusnya diuruskan oleh Tan Sri Yong Poh Kon, yang memperkukuh kedudukan Royal Selangor sebagai jenama premium untuk barangan rumah, hadiah dan koleksi reka bentuk.

5. Berjaya Corporation Berhad

Berjaya Corporation diasaskan oleh Tan Sri Dato’ Seri Vincent Tan Chee Yioun, seorang tokoh korporat yang membina empayar dalam bidang hospitaliti, peruncitan, hiburan dan pengangkutan bukan sahaja di Malaysia malah di luar negara. Walaupun Vincent Tan kekal sebagai figura utama, kesinambungan legasi keluarga turut dilihat melalui penglibatan anak-anak beliau seperti Robin Tan, Chryseis Tan dan Nerine Tan dalam sektor gaya hidup antaranya hotel, resort dan perniagaan kepada pengguna.

See also
Gelaran Putera Philip Diwariskan Kepada Putera Edward

6. Sapura Group

Ditubuhkan oleh Tan Sri Shamsuddin Abdul Kadir, Sapura berkembang sebagai kumpulan kejuruteraan dan tenaga utama negara. Legasi ini diteruskan oleh generasi seterusnya iaitu Tan Sri Shahril Shamsuddin yang menjadi antara tokoh penting dalam kepimpinan. Walaupun fokus teras Sapura adalah industri berat, pelaburan bukan teras seperti hartanah dan perkhidmatan sokongan turut menyentuh dimensi gaya hidup secara tidak langsung.

7. Genting Group

Genting diasaskan oleh Tan Sri Lim Goh Tong yang merealisasikan visi Resorts World Genting sebagai destinasi peranginan bersepadu. Legasi beliau kemudiannya diteruskan oleh anak beliau, Tan Sri Lim Kok Thay, yang memperkukuhkan Genting sebagai pemain utama dalam hospitaliti, hiburan dan pelancongan. Hari ini, Genting sinonim dengan pengalaman gaya hidup berskala besar daripada hotel dan taman tema hingga konsert dan rekreasi.

8. The Kuok Group

Empayar Kuok diasaskan oleh Tan Sri Robert Kuok, salah seorang tokoh perniagaan paling berpengaruh di Asia. Legasi ini kini diteruskan oleh generasi kedua dan ketiga, termasuk Kuok Khoon Ean, Kuok Khoon Hua dan Beau Kuok, yang terlibat dalam pelbagai cabang perniagaan. Dalam konteks gaya hidup, kumpulan ini mempunyai kepentingan besar dalam hospitaliti dan hiburan seperti Shangri-La Hotels and Resort, Golden Screen Cinemas serta makanan dan minuman.

See also
The Devil Wears Prada 2: Kembalinya Miranda Priestly, Siap Menguasai Dunia Fesyen Sekali Lagi!

Artikel Berkaitan: Tradisi Yang Dihidangkan: 10 Hidangan Tahun Baru Cina Paling Bermakna

Maya Kusuma merupakan penulis di GLAM Malaysia. Penulisannya menjelajah dunia gaya hidup moden dan mewah, berkongsi kisah personaliti terkenal serta menyentuh aspek fesyen dan kecantikan.