Mekyun & Seri Mizani: Conscious Creators

Mekyun & Seri Mizani: Conscious Creators

Menggabungkan nilai positif dan gaya hidup beretika, Mekyun dan Seri Mizani membuktikan bahawa perubahan boleh bermula dengan tindakan kecil yang memberi impak.

Suara Positif di Dunia Digital

Di sebalik senyuman manis dan kandungan penuh inspirasi yang sering menghiasi media sosial, pencipta kandungan Mekyun atau nama sebenarnya Wee Yun Nee membawa tiga nilai utama yang membentuk dirinya iaitu berani, positif dan ikhlas. “Saya berani kerana saya tidak takut menjadi diri sendiri, termasuk berkongsi sisi rapuh dan perjalanan sebenar hidup saya,” katanya. Sikap positif pula menjadi cahaya yang membimbingnya menghadapi apa jua dugaan, manakala keikhlasan hadir sebagai nadi kepada setiap perkongsian yang dihasilkan. “Apa yang saya kongsi datang daripada hati, dengan niat untuk memberi nilai kepada sesiapa yang menonton,” tambahnya lagi.

Setiap hari bagi Mekyun bermula dengan satu ritual sederhana iaitu bersyukur. Dia akan memikirkan perkara yang menenangkan hati seperti keluarga, insan tersayang dan momen kecil yang membuatnya bahagia. Kadangkala, Mekyun menulis refleksi ringkas tentang matlamat hari itu. Rutin ini, katanya, membantu dirinya kekal fokus, grounded dan positif walaupun berdepan cabaran dunia digital yang tidak pernah berhenti.

Sebagai graduan kejuruteraan, ramai tidak menyangka bahawa bidang itu banyak mempengaruhi kerjaya kreatifnya. Mekyun melihat latar belakang tersebut sebagai kelebihan besar. “Kejuruteraan melatih saya berfikir secara logik, teratur dan disiplin,” jelasnya. Dalam dunia penciptaan kandungan yang dinamik, kemahiran itu membantunya menjadi seorang penyelesai masalah yang lebih berjaga-jaga. Setiap idea dianggap peluang untuk menganalisis, mencipta dan memberi inspirasi kepada orang ramai.

Namun, perjalanan Mekyun bukan mudah untuk ke tahap sekarang. Salah satu cabaran terbesar ialah kehilangan akaun TikToknya yang mempunyai jutaan pengikut. “Itu antara detik paling menakutkan dalam hidup saya,” akuinya. Tetapi daripada kejatuhan itulah lahir semangat baharu. Mekyun membina semula platformnya daripada kosong dan dalam proses itu membuatkan dia sedar bahawa kejayaan tidak terletak pada angka pengikut, tetapi impak pada hati penonton. Pengalaman tersebut menjadikannya lebih kuat dan matang.

See also
Jenna Ortega Jalin Hubungan Bersama Johnny Depp?

Sebagai wanita berbangsa Cina yang fasih menggunakan dialek Kelantan, Mekyun menambah warna unik dalam kandungannya. Baginya, bahasa ialah jambatan hati. “Dialek Kelantan bagi saya bukan sekadar loghat, tetapi cara menunjukkan bahawa budaya mampu menyatukan semua orang,” katanya. Kehadirannya dalam dunia pencipta kandungan membuatkan ramai penonton rasa lebih dekat seolah-olah seperti kawan sendiri.

Setiap mesej positif yang disampaikan oleh Mekyun datang daripada tempat yang jujur. Dia menolak lakonan berlebihan atau drama rekaan dalam menghasilkan kandungan. Mekyun sebelumnya akan bertanya kepada dirinya nilai apa yang ingin diberi? Impak apa yang ingin ditinggalkan? Baginya, inspirasi harus lahir daripada pengalaman sebenar.

Dalam dunia digital yang sentiasa bergerak laju, kesejahteraan mental mudah terjejas. Atas sebab itu, Mekyun menetapkan masa khusus untuk berada di luar talian. Ada hari-hari tertentu, dia menjauhkan diri daripada skrin sepenuhnya dan meluangkan masa dengan keluarga atau menikmati hari rehat. Keseimbangan ini sangat penting untuk mengekalkan kreativiti dan ketenangan jiwa.

Jika diberi peluang mengubah sesuatu dalam dunia media sosial, Mekyun memilih satu perkara iaitu menjadikannya ruang yang lebih dipenuhi empati, inspirasi dan penyatuan. “Kandungan yang memberi nilai boleh mengubah cara masyarakat melihat diri mereka dan dunia sekeliling,” tegasnya.

Bagi Mekyun, kejayaan tidak diukur melalui pencapaian sementara. “Kejayaan bagi saya ialah kebahagiaan, impak positif dan pertumbuhan diri,” ujarnya. Ia tentang kemampuan menghargai keluarga, memberi inspirasi dan melangkah dengan hati yang tenang.

Salah satu pencapaian paling istimewa dalam hidupnya ialah membeli rumah pertama pada usia 27 tahun. Baginya, rumah itu bukan sekadar bangunan, tetapi simbol usaha dan titik peluhnya sendiri. Ia menjadi bukti bahawa impian mampu dicapai apabila seseorang berani berusaha.

See also
Datin Adzliana Hasan: Perjuangan Sang Wanita

Memupuk Fesyen Lestari

Namanya mungkin belum dikenali ramai, tetapi Seri Mizani sudah mula menapak dalam dunia fesyen mesra alam melalui dua inisiatif di bawah Rumah Seribume iaitu Pari-pari Mentari dan Seribume. Kedua-duanya lahir daripada minatnya terhadap seni, tekstil, dan alam sekitar sejak dia belajar reka bentuk fesyen. Seri terlibat dalam pelbagai bidang, dari pencipta kandungan, penceramah, fasilitator bengkel, hingga bekerja di syarikat kitar semula tekstil. Semua pengalaman ini membentuk perjalanannya untuk terus belajar dan berkembang.

Seri Mizani mengembangkan minat terhadap fesyen sejak kecil lagi. Dia gemar bereksperimen dengan pakaian, memotong kain untuk mencipta cropped top sendiri, dan melihat pakaian sebagai medium ekspresi diri. Kesedaran bahawa fesyen boleh menjadi alat perubahan positif semakin jelas semasa pandemik Covid-19. Bangun pagi, bersiap, dan berpakaian lengkap walaupun hanya untuk diri sendiri memberi kepuasan. Amalan ini diteruskan sehingga kini, walaupun bekerja dari rumah.

Perjalanan advokasi fesyen Seri Mizani bermula sewaktu menuntut dalam bidang reka bentuk fesyen. “Rasa ingin tahu tentang impak industri fesyen membawa saya ke sebuah studio yang dipenuhi pakaian sehingga lantai hampir tidak kelihatan,” katanya. Pengalaman ini menimbulkan kesedaran mengenai krisis iklim, sekaligus mengingatkan dia kepada ajaran ibunya yang seorang penyelidik pencemaran udara, yang sejak kecil mendidik untuk mengitar semula dan menjaga alam sekitar. Kesedaran ini kemudian diterjemahkan ke platform sendiri, membentuk komuniti yang memberi impak positif kepada orang lain dalam memahami fesyen secara lebih bertanggungjawab.

Pari-pari Mentari, salah satu jenama yang diusahakan Seri Mizani, bermula sebagai cara untuk menjual pakaian yang tidak digunakan lagi. Lama-kelamaan, kain lebihan seperti sarung menjadi medium untuk dia bereksperimen dan berkarya. Koleksi pertama, Bunga, lahir daripada proses kreatif yang playful. Menurutnya, “Keindahan terletak dalam proses membuat sesuatu dengan tangan sendiri. Cara bermain dengan kain itulah yang memulakan perjalanan saya dalam kelestarian.”

See also
GLAM Profil: John Ang

Inisiatif Seribume pula lebih berfokus kepada pembangunan komuniti. Nama Seribume diambil sebagai permainan kata yang membawa maksud “Seribu of me = Seribume of you”. Platform ini tercetus selepas Seri menganjurkan gotong-royong selama lima hari semasa banjir pada tahun 2021 di Kampung Batu 13, Lembah Klang. “Kawasan ini kurang mendapat perhatian media, jadi saya gunakan media sosial untuk kumpulkan bantuan,” katanya, yang akhirnya berjaya menarik lebih 100 sukarelawan. Seribume kini menjadi organisasi untuk aktiviti pembersihan, bengkel kraftangan, dan kolaborasi dengan universiti serta organisasi lain. Tujuannya untuk mendapatkan sokongan dan sumber yang tepat, serta bekerjasama dengan pelbagai pihak dari spektrum industri yang berbeza.

Dalam advokasi fesyen, Seri Mizani menekankan penggunaan semula pakaian dan penyelenggaraan pakaian lama. Dia sering berkongsi cara menggayakan sarung, baju kelawar, dan pakaian tradisional agar boleh digayakan secara moden. Dalam bengkel kraftangan, dia mengajar teknik jahitan asas bagi menghidupkan semula amalan menjaga pakaian yang diwarisi daripada generasi terdahulu. Menurutnya, peserta sering terkejut betapa mudahnya menjaga dan mengubahsuai pakaian sendiri. Strategi ini menunjukkan bahawa perubahan kecil mampu memberi impak besar.

Gaya hidup Seri berlandaskan kesedaran, kreativiti, dan budaya. Dia mengamalkan falsafah “berbelanja dengan niat”, memilih pakaian dan aksesori yang bermakna dan timeless serta memadankan elemen moden dan tradisional seperti cheongsam dengan sarung. Baginya, kecantikan bukan sekadar rupa, tetapi juga bagaimana kita menjaga alam sekitar, manusia, dan haiwan.

Baca kisah penuh Mekyun & Seri Mizani dengan mendapatkan majalah GLAM isu Disember 2025 di pasaran sekarang atau langgan secara online menerusi magzter.com.

Maya Kusuma merupakan penulis di GLAM Malaysia. Penulisannya menjelajah dunia gaya hidup moden dan mewah, berkongsi kisah personaliti terkenal serta menyentuh aspek fesyen dan kecantikan.