Kayuputi St Regis Langkawi Tutup Tirai The Gastronomy Series 2025

Kayuputi The St. Regis Langkawi Tutup Tahun 2025 dengan Malam Gastronomi Bertaraf Michelin

Menjelang penghujung tahun, Langkawi kembali mencuri perhatian pencinta gastronomi apabila Kayuputi St Regis menjadi pentas kepada edisi terakhir The Gastronomy Series 2025. Bertempat di restoran atas air yang menjadi kebanggaan The St. Regis Langkawi, malam ini bukan sekadar satu acara makan malam, tetapi sebuah perayaan seni kulinari dalam bentuk paling teliti dan halus.

Sebagai bab kelima dan penutup siri tahunan ini, pengalaman yang berlangsung pada 15 Disember 2025 diraikan dengan penuh simbolik, mempertemukan bakat antarabangsa dan identiti tempatan dalam satu naratif rasa yang tersusun rapi. GLAM turut berpeluang menjadi sebahagian daripada malam istimewa ini, menyaksikan sendiri bagaimana seni, teknik dan emosi bertemu di atas pinggan.

Pertemuan dua dunia di dapur Kayuputi The St Regis Langkawi

kayuputi st regis langkawi x LEROUY

Edisi ini menyaksikan kolaborasi empat tangan antara Chef Christophe Lerouy, cef Michelin dari restoran LEROUY di Singapura, dan Chef Eksekutif Unaver, individu yang membentuk identiti gastronomi pesisir Kayuputi St Regis Langkawi. Gandingan ini mencipta satu dialog kulinari yang menggabungkan ketepatan Eropah dengan sentuhan tropika Langkawi.

See also
Harmony Tan, Bintang Tenis Yang Berjaya Menewaskan Serena Williams Di Wimbledon 2022

Ketika di dapur restoran berprestij ini, kedua-dua cef berkongsi bahasa yang sama iaitu menghormati bahan, meraikan teknik, dan membiarkan rasa berbicara tanpa berlebihan. Hasilnya ialah pengalaman makan yang terasa peribadi, seimbang dan penuh karakter.

Daripada perspektif GLAM, kolaborasi Kayuputi St Regis Langkawi dengan LEROUY ini terasa sangat organik, bukan sekadar dua cef berkongsi dapur, tetapi dua falsafah yang saling menghormati. Setiap pergerakan di dapur, setiap hidangan yang tiba ke meja, mencerminkan keseimbangan antara disiplin dan kebebasan kreatif.

Jejak perjalanan seorang Cef Michelin

Berasal dari Alsace, Perancis, Chef Christophe Lerouy membawa bersama warisan masakan Perancis yang diasah di bawah bimbingan nama-nama besar dapur Michelin. Pengalamannya merentasi bandar-bandar gastronomi dunia membentuk pendekatan yang berani tetapi terkawal, moden namun tetap berakar pada tradisi.

Restoran LEROUY di Singapura menjadi kemuncak perjalanan tersebut, mengekalkan satu bintang Michelin secara konsisten sejak 2019 hingga 2025. Ketekalan ini jelas terasa dalam setiap hidangan yang dipersembahkan, ringkas dari segi visual, tetapi kaya dengan lapisan rasa dan niat.

See also
Ini 5 Pasangan Selebriti Malaysia Paling Romantik Pilihan GLAM

Tujuh hidangan, satu perjalanan rasa di Kayuputi St Regis Langkawi

Di Kayuputi St Regis Langkawi, tetamu dibawa menyusuri perjalanan tujuh hidangan yang disusun seperti sebuah cerita. Bermula dengan kombinasi rasa segar dan berlapis, setiap sajian berkembang secara perlahan, memberi ruang kepada tekstur dan aroma untuk menonjol.

Daripada bit bersama belut salai dan feta, kepada fillet ikan toothfish yang lembut dengan sentuhan buah berangan dan madera, sehinggalah Wagyu striploin dengan sos Bordelaise yang mendalam, setiap pinggan hadir dengan kejelasan identiti. GLAM mendapati kekuatan menu ini terletak pada keberaniannya untuk tidak berlebihan; setiap elemen ada tujuan, setiap rasa ada tempatnya.

kayuputi st regis langkawi x LEROUY

kayuputi st regis langkawi x LEROUY

kayuputi st regis langkawi x LEROUY kayuputi st regis langkawi x LEROUY

Sorbet calamansi dan pudina memberi rasa yang menyegarkan sebelum tirai ditutup dengan pencuci mulut dark chocolate dan coffee crémeux bersama praline hazelnut, kaya, berlapis dan meninggalkan kesan yang sukar dilupakan.

kayuputi st regis langkawi x LEROUY

Penutup bermakna untuk siri gastronomi 2025

Menurut Pengurus Besar The St. Regis Langkawi, Derek Gomez, edisi ini menandakan penutup kepada satu tahun yang meraikan suara-suara kulinari berpengaruh dari seluruh rantau. The Gastronomy Series di Kayuputi St Regis Langkawi kini menjadi sebahagian daripada identiti resort, satu platform yang mengangkat pertukaran budaya melalui makanan.

See also
Kembara Gastronomi Palet Perancis Bersama Supperclub KL

Dengan pandangan ke hadapan, siri ini dijangka kembali pada 2026 dengan barisan kolaborasi baharu, meneruskan legasi yang telah dibina dengan penuh teliti. Ia bukan sahaja menampilkan cef bertaraf dunia, tetapi juga konsisten dalam menyampaikan pengalaman yang terasa eksklusif tanpa kehilangan kehangatan.

Kayuputi St Regis Langkawi: Di mana rasa bertemu suasana

Direka oleh arkitek landskap terkenal, Bill Bensley, Kayuputi St Regis Langkawi menawarkan suasana yang terasa intim dan eksklusif, seolah-olah sebuah rumah pantai persendirian di atas air. Dikelilingi lagun yang tenang dan pemandangan semula jadi Langkawi, pengalaman makan di sini melangkaui rasa, ia tentang suasana, irama dan momen.

Dengan komitmen terhadap kelestarian serta sokongan kepada pengeluar tempatan, Kayuputi St Regis Langkawi terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara destinasi fine dining paling berkarakter di Malaysia.

Artikel berkaitan: Chef Bertaraf Michelin Star Dari Itali Bakal Hadir Ke M Resort & Hotel KL

Farhana Fuad merupakan Pengurus Kanan Kandungan di GLAM Malaysia. Menggabungkan kepakaran dalam penulisan editorial dan strategi SEO, Farhana menerajui kandungan semasa dan gaya hidup.