Burberry Menyambut Perayaan Dengan Elegansi Baharu - Glam Malaysia

Burberry Menyambut Perayaan Dengan Elegansi Baharu

Kempen perayaan Burberry 2025, ‘Twas The Knight Before…, menghidupkan semangat musim ini melalui sebuah filem yang bintangi oleh barisan bintang terkemuka dengan pesona elegan era Daniel Lee.

Musim perayaan 2025 menjadi lebih istimewa dengan kempen terkini Burberry, ’Twas The Knight Before…’, garapan Daniel Lee yang memadukan tradisi British dengan semangat perayaan yang hangat dan penuh karakter. Dibayangkan dengan ‘jemputan pesta untuk keluarga dan rakan,’ kempen kali ini menangkap keintiman dan kemeriahan hujung tahun melalui lensa yang mewah namun bersahaja. Ia memancarkan gaya baharu Burberry yang semakin terserlah di bawah arah kreatif Lee. Filem kempen yang diarahkan oleh John Madden membawa kita masuk ke sebuah townhouse London yang dipenuhi cahaya dan gelak tawa, diterajui Jennifer Saunders sebagai hos yang penuh karisma. Ditemani pula dengan barisan tetamu ikonik seperti Naomi Campbell, Ncuti Gatwa, Rosie Huntington-Whiteley dan Son Heung-min. Setiap babak terasa seperti momen perayaan sebenar, hangat, kolektif dan sarat daya tarikan British yang klasik.

See also
Burberry Goddess Pilihan Wangian Wanita Masa Kini

Cerita Perayaan Burberry Festive 2025 Dalam ‘Twas The Knight Before’

Koleksi pemberian bersempena perayaan ini tidak sekadar mempamerkan warisan Burberry, tetapi menafsirkan semula ikon luaran yang menjadi DNA rumah fesyen ini. Daripada cape quilted Heath yang disarungkan Jennifer Saunders hingga kot trench Trerose yang digayakan Naomi Campbell, setiap helaian membawa semangat moden yang disuntik melalui potongan baharu, fabrik arkib serta permainan siluet yang lebih segar. Ncuti Gatwa tampil dalam trench musim baharu dengan elemen playful yang menjadi identitinya, Rosie Huntington-Whiteley dalam Fitzrovia trench pendek yang ringkas tetapi elegan, manakala Son Heung-min membawakan nuansa lebih santai dalam duffle Harrogate dan jaket Harrington. Beg Bloomsbury, Highlands backpack, skarf kasmir, aksesori lembut sehinggalah wangian Goddess dan Hero melengkapkan rangkaian hadiah yang dirangka untuk seluruh keluarga. Tambahan pula, perkhidmatan monogram percuma menjadikan setiap pilihan hadiah lebih peribadi dan penuh makna musim ini.

Menghidupkan suasana perayaan di luar layar, Burberry memperluas naratifnya melalui siri aktivasi global yang menawan. Di London, kerjasama bersama Claridge’s menyerlahkan sentuhan Daniel Lee pada pokok Krismas 2025 hotel tersebut. Ia menggunakan fabrik arkib dan perincian logam Burberry sebagai inspirasi visual. Kolaborasi ini turut merangkumi pop-up eksklusif dengan Scarf Bar yang memberi ruang kepada pengunjung untuk bereksperimen dengan seleksi skarf ikonik Burberry. Sementara itu, di New York, pop-up bertema ‘cosy cottage’ di Bloomingdale’s 59th Street membawa estetika hangat British ke tengah kota, lengkap dengan kemunculan istimewa apabila keseluruhan fasad bangunan dibungkus dengan skarf Check gergasi untuk upacara penyalaan tahunan.

See also
Kempen Fesyen Yang Menyinari Tahun Baru Lunar 2025

Dengan gabungan nostalgia, esen kemewahan dan sentuhan perayaan yang penuh gaya, kempen Burberry Holiday 2025 membuktikan bahawa jenama ini terus mengetengahkan tradisi British dengan cara yang segar, moden dan menyentuh hati, lantas mengubah setiap detik perayaan menjadi sebuah kenangan yang anggun dan abadi.

Artikel berkaitan: Fesyen Dan Muzik Bersatu Di Pentas Peragaan Burberry Summer 26

Syahirah Hussain ialah penulis fesyen di GLAM Malaysia. Mengulas informasi, trend dan berita fesyen terkini dari lokal ke antarabangsa, serta penglibatan editorial dengan nada segar yang mewakili generasi baharu dunia fesyen.