Terokai Pop-up Eksklusif Louis Vuitton 'The Art Of Gifting' Di Suria KLCC! - Glam Malaysia

Terokai Pop-up Eksklusif Louis Vuitton ‘The Art Of Gifting’ Di Suria KLCC!

Selami pengalaman istimewa di Louis Vuitton di Pop-up The Art of Gifting bertempat di Suria KLCC, sebuah destinasi yang memadukan tradisi, inovasi dan pengalaman peribadi dalam satu perjalanan penuh gaya.

Louis Vuitton terus mengangkat warisan ‘Spirit of Travel’ yang telah sekian lama mendefinisikan identiti rumah fesyen Perancis ini, kali ini dengan wajah baharu yang lebih segar untuk generasi masa kini. Bertempat di Suria KLCC, pop-up ‘The Art of Gifting’ di Centre Court ini tampil dengan estetika yang menggabungkan nostalgia dan kemodenan. Reka bentuknya diinspirasikan daripada gerabak kereta api mewah yang seolah-olah berhenti di sebuah platform penuh gaya, mencipta pengalaman visual yang bukan sahaja memikat mata, tetapi juga mengundang pengunjung menyelami perjalanan imaginatif bersama Louis Vuitton.

Raikan Seni Pemberian Hadiah Di Pop-up Louis Vuitton ‘The Art of Gifting’

Di dalam ruang pop-up yang meriah ini, tetamu berpeluang meneroka pelbagai koleksi dari Louis Vuitton yang dipilih khusus sebagai simbol pemberian penuh makna. Antara tarikan utama termasuk himpunan tas tangan dengan seleksi charms menarik sebagai penata gaya tambahan, aksesori edisi terhad MYLVERS beads yang direka khusus untuk memberi sentuhan unik pada kasut LV Trainers atau aksesori pilihan seperti Mini Chain, Belt Chain, dan Phone Strap. Inovasi ini menegaskan semangat Louis Vuitton dalam merangka pengalaman fesyen yang bukan sahaja mewah tetapi juga peribadi, menyalurkan naratif bahawa setiap hadiah adalah cerita yang dicipta khas buat penerimanya.

See also
Epitome of Glamor

Menambah istimewa, para pengunjung juga ditawarkan peluang untuk memperibadikan botol haruman Louis Vuitton mengikut cita rasa masing-masing. Tidak ketinggalan, rangkaian City Guides ikonik yang dipamerkan secara artistik di rak berbentuk buku. Bukan sekadar menjadi bahan bacaan, malah berfungsi sebagai sudut fotografi unik untuk mengabadikan momen yang indah. Lebih daripada sekadar ruang pameran, The Art of Gifting menjadi destinasi di mana pengalaman peribadi dan sentuhan eksklusif diraikan.

Pop-up The Art of Gifting ini berlangsung dari 23 Ogos hingga 7 September 2025 di Suria KLCC, Centre Court. Bagi mereka yang ingin merasai perjalanan penuh estetika dan kreativiti ini, tempahan slot lawatan boleh dibuat secara dalam talian melalui laman rasmi Louis Vuitton di Louis Vuitton KLCC. Dengan pengisian yang sarat dengan warisan, inovasi, serta sentuhan peribadi, The Art of Gifting menandakan satu lagi bab penting dalam perjalanan kreatif rumah fesyen mewah ini, menjadi sebuah penghormatan terhadap seni memberi yang penuh keindahan.

Artikel berkaitan: La Beauté Louis Vuitton Secara Rasmi Berada Di Malaysia

See also
LIVE STREAMING : Louis Vuitton Fall/Winter 2020

Syahirah Hussain ialah penulis fesyen di GLAM Malaysia. Mengulas informasi, trend dan berita fesyen terkini dari lokal ke antarabangsa, serta penglibatan editorial dengan nada segar yang mewakili generasi baharu dunia fesyen.