Longchamp Beach Club: Musim Panas Bergaya Di Bawah Mentari Tuscan - Glam Malaysia

Longchamp Beach Club: Musim Panas Bergaya Di Bawah Mentari Tuscan

Longchamp meraikan musim panas 2025 dengan membuka Longchamp Beach Club pertama di Forte dei Marmi, menghadirkan suasana dolce vita yang glamor, dekorasi hijau ikonik, aktiviti eksklusif serta beg Le Pliage® edisi terhad sebagai simbol kenangan mewah di bawah mentari Tuscan.

Di bawah mentari musim panas Tuscan yang mempesona, Longchamp mengukir sejarah baharu dengan memperkenalkan Longchamp Beach Club buat pertama kalinya di Forte dei Marmi, sebuah destinasi tepi laut yang terkenal dengan aura glamor dan keindahan Riviera Itali. Bertempat di pantai peribadi ikonik Bagno Felice 1 yang kini telah dihias semula sepenuhnya, inisiatif ini menjadi penghormatan kepada seni kehidupan dolce vita yang begitu sinonim dengan pesisir Mediterranean. Forte dei Marmi, selain menjadi lokasi kegemaran para seniman dan selebriti, turut dikenali sebagai destinasi hot spot yang menggabungkan gaya santai, kehidupan malam yang meriah serta panorama memukau antara laut dan pergunungan.

Meneroka Longchamp Beach Club Di Forte Dei Marmi

Bagi melengkapi suasana eksklusif ini, seluruh dekorasi pantai termasuk dengan pondok berwarna-warni, perabot hingga aksesori dan linen dipersembahkan dalam rona hijau ikonik Longchamp, rona yang melambangkan identiti rumah fesyen ini. Setiap perincian direka dengan teliti, daripada payung pantai yang elegan, papan backgammon yang mengundang keseronokan santai, hinggalah ke kunci kabin peribadi yang eksklusif khas untuk tetamu. Keseluruhan suasana memberi nuansa yang harmoni antara keanggunan Parisian dan jiwa bebas Itali. Lantas, menjadikan pengalaman di Longchamp Beach Club adalah sesuatu yang istimewa.

See also
Gaya Artis Hollywood Bersama Carolina Herrera.

Sepanjang musim panas ini, Longchamp Beach Club bakal dihidupkan dengan pelbagai aktiviti menarik. Persembahan muzik secara langsung akan memeriahkan senja Forte dei Marmi, sementara sebuah bar khas akan menyajikan koktel signatur yang dirumuskan untuk menambah seri momen di tepi laut. Gabungan hiburan, gaya hidup serta suasana santai ini menjadikan kelab eksklusif ini sebagai destinasi yang sempurna untuk mereka yang ingin meraikan musim panas dengan penuh gaya dan elegan.

Sebagai pelengkap kepada pengalaman mewah ini, butik Longchamp berdekatan turut memperkenalkan edisi terhad beg Le Pliage® Monde Forte dei Marmi. Rekaan eksklusif ini bukan sekadar aksesori, tetapi simbol kenangan daripada momen unik yang tercipta di Longchamp Beach Club. Tersedia dengan hanya jumlah yang terhad, beg ini menjadi lambang eksklusiviti, keanggunan dan sebuah peringatan indah kepada musim panas yang berkilau di bawah matahari Forte dei Marmi.

Artikel berkaitan: Simbol Gaya Parisienne Yang Bersahaja, Longchamp Le Foulonné

Syahirah Hussain ialah penulis fesyen di GLAM Malaysia. Mengulas informasi, trend dan berita fesyen terkini dari lokal ke antarabangsa, serta penglibatan editorial dengan nada segar yang mewakili generasi baharu dunia fesyen.