5 Jenama Fesyen Untuk Diterokai Sempena CNY 2025 - Glam Malaysia

5 Jenama Fesyen Untuk Diterokai Sempena CNY 2025

Daripada deretan desain yang tampil penuh tradisi hingga lah ke sentuhan yang dikontemporarikan dengan kenyataan yang berani, GLAM kongsikan senarai jenama fesyen lokal untuk membeli-belah bersempena CNY 2025 kali ini. 

Tahun Baru Lunar hampir menjelang tiba! Ia merupakan salah satu musim perayaan yang biasanya disambut dengan cukup meriah. Buat Tahun Ular kali ini, banyak jenama fesyen lokal mempersembahkan koleksi CNY 2025 dengan himpunan busana yang ternyata menawan untuk dipadukan. Raikan musim perayaan ini dengan penuh gaya sambil menyokong karya produk tempatan yang menawarkan pelbagai seleksi busana untuk dimiliki.

Lima Jenama Fesyen Lokal Dengan Koleksi CNY 2025

1. Khoon Hooi

Foto: Khoon Hooi

Khoon Hooi membawakan koleksi yang memberi penghormatan kepada wanita buat semua jenis peringkat umur, merangkumi esen kepelbagaian dalam gaya, semangat serta kehidupan. Pereka fesyen Khoon Hooi nyata bijak dalam membawakan busana dengan seleksi sentuhan tradisional dan kontemporari untuk dipilih mengikut cita rasa tersendiri. Perincian seperti floral dan rona-rona terang, lantas memberi daya tarikan memukau untuk musim perayaan ini.

See also
Seragam Olimpik Terbaik Di Sukan Olimpik Paris 2024

2. Rizman Ruzaini

Foto: Rizman Ruzaini

Walau terkenal sebagai jenama tempatan yang sering kali menghasilkan busana melayu yang anggun dan eksklusif, Rizman Ruzaini menghadirkan koleksi ‘Impian Opium’ bersempena koleksi Tahun Baru Lunar 2025. Koleksi penuh elegan dan mewah ini menawarkan sehingga 38 busana yang menyuntik elemen tradisi Shanghai pada tahun 1920-an, diilhamkan oleh mercu tanda bersejarah dan dipadukan dengan estetika kemodenan. Buat yang menggemarkan himpunan busana oleh Rizman Ruzaini, koleksi ini boleh didapati di butik atau secara atas talian.

3. Melinda Looi

Foto: Melinda Looi

Tidak dilupakan juga dengan koleksi CNY 2025 daripada Melinda Looi, ‘Mood for Looi’ yang menjadi tema buat koleksi kali ini diinspirasikan oleh filem ikonik tahun 2000 Hong Kong, ‘Mood for Love’. Melinda Looi mengetengahkan koleksi yang mencerminkan keindahan sayu dan keheningan dalam mentakrifkan karya sinematik sambil membawa kemewahan moden. Ia merepresentasikan gabungan keanggunan nostalgia dan gaya kontemporari yang bermain dengan perincian printed seperti gingham.

4. Innai & Co

Foto: Innai & Co

Menyuntik seni kaligrafi ke dalam idea buat koleksi Tahun Baru Lunar 2025, label Innai Red mempersembahkan ‘Bloom’ untuk dirayakan. Diadaptasi oleh frasa Shèng Kāi yang memberi makna ‘mekar menjadi bunga penuh’, koleksi ini meraikan seni kemakmuran yang merangkumi keanggunan abadi. Ia menginjek butiran serta palet warna yang bernada feminin, lantas mencipta koleksi yang tampil mempersona untuk dipadukan musim perayaan kali ini.

See also
Fesyen Rihanna Ketika Bersama Putera Harry

5. BEHATI

Foto: Behati

Label fesyen tempatan yang sentiasa menghadirkan idea kreatif yang tersendiri dan luar biasa semestinya jatuh pada Behati. Bersempena CNY 2025 kali ini, jenama ini menghadirkan koleksi ‘Behati Revolusi: A Famosa’ yang nyata unik. Ia mempamerkan deretan busana yang bermain dengan variasi fabrik termasuk brocade cina klasik, taffeta, batik serta renda. Keseronokkan ditambah pula dengan nama helaian busana yang turut diklasifikasikan dengan konsep yang dipersembahkan. Contohnya seperti Samfu Parameswara, Samfu Srivijaya, Cheongsam Majapahit dan banyak lagi. Kelainan yang dibawakan pada koleksi ini lantas memberikan esen girang dalam berfesyen.

Artikel Berkaitan: Tampil Chic & Mempesona Dengan FRED Sempena Tahun Baru Cina