Gaya Rambut Aishwarya Rai ‘Separa Siap’ Curi Tumpuan Di Paris Fashion Week
Pelakon Bollywood, Aishwarya Rai Bachchan merupakan salah satu ikon kecantikan India yang hadir di Paris Fashion Week pada Isnin, 23 September.
Bekas Miss World 1994 itu berjalan di pentas peragaan sebagai wakil dari India untuk L’Oréal Paris dan memilih gaun labuh meleret berona merah menyerlahkan keanggunan wanita berusia 51 tahun ini. Namun, gaya rambutnya sebelum ke pentas mencuri perhatian ramai.
Rambut Separa Siap Aishwarya Rai
Menerusi sebuah video, Aishwarya dilihat duduk di barisan hadapan sebaris dengan model dan pelakon terkenal iaitu Simon Ashley dan Cara Delevinge. Dia mengenakan blazer panjang hitam dan dipadankan dengan stiletto hitam untuk penampilan tersebut.
Di dalam sebuah hantaran lain, tular video Aishwarya dan anaknya, Aaradhya Bachchan yang bergambar bersama pelakon dan penyanyi terkenal Camilla Cabello dan Eva Longoria.
Apa yang menarik perhatian ialah gaya rambutnya yang separa siap seakan masih memakai penggulung rambut. Ini membuatkan sesetengah penonton tertanya-tanya sama ada dia terlupa menanggalkannya. Namun, gambar-gambar dari acara itu menunjukkan bahawa gaya rambut unik itu memang disengajakan sejak dari awal.
Walaupun menerima kritikan, Aishwarya tetap menarik perhatian di acara tersebut, dengan gaun merah elegan yang mempunyai ekor bertuliskan “We are worth it” iaitu diilhamkan oleh tagline L’Oréal, “Because you’re worth it.”