Sririta Jensen: Berbudi Tanpa Batasan

Sririta Jensen: Berbudi Tanpa Batasan

Sejak mendirikan rumahtangga dan sesudah bergelar ibu, bintang Thailand ini menanam semangat untuk berbakti dan memberi kasih kepada anak-anak kecil yang memerlukan melalui projek amalnya. GLAM menghabiskan masa bersama Sririta Jensen di Bangkok dalam satu ekspedisi fesyen yang cukup glamor sambil mengenali hati nalurinya.

pengarang fesyen JOHAN KASSIM pengarah seni AMIRUL ARIFIN gambar CHEE WEIsolekan SUP WONG dandanan KOHSARAWUT teks AIZAT AIDID

Beberapa hari sebelum habisnya tahun 2023, saya sempat bertemu di Google Meet dengan Sririta Jensen Narongdej. Dia lagi sibuk mahu siap sedia buat sambutan Krismas namun masih ada masa buat temujanji ini. Dikala itu, bintang Thailand ini tidak langsung bersiap cantik. Muka polos tanpa sebarang solekan dan rambut pula diikat tinggi. Kami berdua berbual untuk saling memberi informasi tentang penggambaran yang bakal dilaksanakan pasukan GLAM di Bangkok awal tahun 2024. Melalui perbualan yang ringkas itu, dia cukup semangat dan tidak sabar untuk menerima kunjungan kami ke kota kesayangannya itu. Saya pula tidak sabar mahu bertentang mata dengannya. Mahu melihat sendiri kecantikan dimiliki oleh peragawati dan pelakon yang disayangi oleh peminat dunia hiburan Thailand.

“Jika ada apa-apa yang kamu perlukan bantuan, tanyakan sahaja pada saya,” ujarnya sebelum kami masing-masing mengucapkan selamat tahun baru dan meninggalkan Google Meet. Setelah itu, tidak putus-putus mesej yang dihantar oleh Sririta kepada saya. Mahu membantu untuk menyenangkan sesi penggambaran di Bangkok buat isu ini. Segala macam pertolongan dihulurkan olehnya. Saya dan sepasukan editorial GLAM banyak berhutang budi dengannya. Semakin lancar segala urusan penggambaran ini kerana adanya personaliti ini hadir memberi segala cadangan. Kami tidak sabar untuk bertemu dengannya. Siang berganti malam, masuk tahun baharu sehingga tiba detik yang ditunggu-tunggu, GLAM terbang ke Bangkok bertemu dengan Sririta Jensen Narongdej.

See also
Raisa: Bertumbuh dalam Kedewasaan

Awal pagi kami semua sudah siap sedia menanti ketibaannya di Hotel Innside by Melia, Bangkok. Bintang tinggi lampai ini masuk ke kamar besar dengan penuh gaya. Bertemankan pembantu peribadi serta seorang gadis yang setia merakam segala momen buat media sosialnya. Sririta terlebih dahulu yang menghulurkan tangan untuk bersalaman dan kemudian dirapatkan ke dada seperti kebiasaan orang-orang Thailand lakukan. Kali pertama bertemu dengan Sririta dihadapan mata. Saya terpesona dengan kecantikan yang dimiliki olehnya. Kulitnya cukup putih mulus tanpa cela dan rambutnya hitam berkilat panjang melepasi pinggang. Senyuman yang diukirkan melembutkan hati orang sekelilingnya. Apabila dia membuka cermin mata Louis Vuitton, matanya memancarkan kebijaksanaan yang dimiliki oleh wanita ini.

‘Sririta’ Lahir Atas Pengalaman Kerja

Sririta Jensen

“Saya cukup excited untuk bergambar di lokasi-lokasi yang dipilih buat projek GLAM ini. Kerana jarang saya dapat lakukan beraksi di tempat bersejarah dan ikonik di Bangkok. Terima kasih GLAM kerana mahu berkongsi sisi istimewa negara kami buat tatapan orang Malaysia,” katanya setelah saya kongsikan rencana penggambaran ini. Selepas hampir dua jam disolek dan ditatarias, Sririta turun ke lobi hotel. Van besar miliki peribadinya sedia menanti. Mukanya nampak sungguh tidak sabar lagi mahu beraksi. Kami rasa cukup lega dengan kesungguhan yang berkobar dalam mata dan hati Sririta. Terus masuk ke dalam van dan krew meluncur laju ke lokasi pertama Wat Suthat Thepwararam Ratchaworamahawihan.

See also
FENDI Spring/Summer's 8 Best Looks

Di lokasi, Sririta nyata menarik semua mata yang lalu lalang. Saya bertanyakan adakah dia selesa dengan situasi ini? “Semestinya, kerana saya sudah mula berkerja seawal umur 13 tahun. Terima kasih kepada ibu bapa yang selalu memberi sokongan kepada saya untuk menceburkan diri dalam dunia peragaan,” kata Sririta yang mempunyai darah campuran Denmark sebelah bapa dan ibunya pula berketurunan Thailand dan Cina. “Semua pengalaman yang saya kumpul sejak pembabitan dalam dunia peragaan, drama dan filem inilah yang menjadikan diri saya sekarang yakni Sririta.” Memang benar, walaupun dalam situasi yang cukup ramai orang di kuil diraja itu, langsung tidak mematahkan gayanya beraksi dalam berlian mewah Tiffany & Co. buat lensa Chee Wei, selaku jurugambar projek ini.

Pengalamannya di dalam dunia hiburan bukanlah kosong belaka. Ada banyak momen penting dalam kerjaya seninya yang cukup terpahat di dalam sanubari. “Sewaktu mula-mula menceburi dalam dunia hiburan, saya cukup terkenang dengan filem 999-9999  yang diterbitkan pada 2002. Saya membawa karakter misteri bernama Rainbow dan buat yang mahu mengenali saya boleh menonton filem ini di Netflix Thailand!” selorohnya apabila ditanya tentang awal kemunculannya dalam bidang lakonan. “Tetapi antara watak yang paling menonjol dalam fikiran adalah melalui drama terakhir yang mana saya perlu lakonkan watak wanita kejam. Melalui drama ini saya mendapat pencalonan di TV Gold Awards.”

Sririta

Sambungnya lagi, untuk bergelar pelakon ada tiga benda yang mungkin boleh dikongsikan dengan anak muda sekarang. “Mereka yang mahu bergelar bintang perlulah sentiasa jujur dengan diri sendiri, keep your feet on the ground dan lakukan sebaik dan sehabis yang boleh. Pada akhirnya, orang akan hadir dengan pelbagai pandangan dan benda yang terbaik untuk anda lakukan adalah mendengar dan menekuni dengan respek. Gunakan kritikan itu untuk membentuk diri sendiri.” Sririta juga percaya yang generasi muda perlu berbuat baik dengan diri dan selalulah beringat untuk mencintai diri sendiri.

See also
Penginapan Istimewa di Kota Bangkok

Gavin Sumber Inspirasi

Selain kerjayanya dalam dunia hiburan, juita yang lahir di Indonesia ini turut memberikan masanya buat projek-projek amal. “Seperti kata Shakespeare ‘one man in his time plays many part’ dan itulah yang saya mahu jadikan tunjuk arah hidup. Sekarang sudah bergelar ibu kepada Gavin ia membuka peluang saya untuk melakukan kerja-kerja amal. Kini tiba masanya saya mahu memberi segala keringat kepada masyarakat. Maka saya bekerjasama dengan UNHCR dan sebagai Angel Ambassador buat Children’s Hospital Foundation. Saya mahu melakukan sebanyak peluang untuk membantu anak kecil,” kongsi Sririta yang mempunyai seorang cahaya mata hasil perkahwinan bersama Korn Narongdej. Suaminya ini adalah usahawan muda yang berjaya di Bangkok dalam arena hartanah mewah.

Sririta yang mempunyai lebih 4 juta pengikut di Instagram bijak menggunakan peluang itu….

 

Baca lanjut kisah Sririta dengan mendapatkan majalah GLAM Mac 2024 Edisi Istimewa Collector’s Issue atau langgan secara online di sini.