GLAM Skop: Bila Obsesi Kurus Memakan Diri - Glam Malaysia
kurus

GLAM Skop: Bila Obsesi Kurus Memakan Diri

Memiliki tubuh langsing bukanlah ketaksuban baru, ia wujud sejak berzaman dahulu. Jika sebelum ini senaman dan diet ketat menjadi amalan, kini jalan pintas sudah tersedia. Dari pil kurus ke Ozempic, semakin hari semakin banyak pilihan ‘tidak sihat’ dihidang di depan mata.

teks SITI SYAHIDAH KARIM BUX grafik AMIRUL ARIFIN

Saloma, Marilyn Monroe, Zeenat Aman – tiga ikon global klasik ini adalah bukti bahawa susuk curvy pernah menjadi menjadi simbol kecantikan wanita. Berdada bidang, berpunggung lentik, berpinggang ramping bak kerengga; ciri-ciri ini menjadi dambaan sekitar tahun 50-an hingga 70-an. Empunya diri melihatnya sebagai ciri feminin, sang lelaki pula mentafsir ia sebagai simbol seksi. Disebabkan kegilaan ini jugalah munculnya pil penambah berat badan seperti Wate-On, untuk membantu wanita kurus mendapatkan fizikal menggiurkan.

Bagaimanapun dekad demi dekad, persepsi ini mengalami perubahan. Memasuki era 90-an, figura langsing mula mendapat perhatian walaupun susuk ‘jam pasir’ masih hangat di pentas peragaan. Di celah kemunculan supermodel berbadan seksi seperti Cindy Crawford dan Tatjana Patitz, Kate Moss mencuri tumpuan dengan tubuh kurus melidi dan rahang menonjol. Awalnya penampilan Kate menjadi bahan kritikan. Lama-kelamaan ia dianggap ideal dan mencetus inspirasi baru di kalangan wanita. Korset yang dahulunya menjadi pilihan diganti dengan diet pemakanan ketat dan rutin senaman.

Seiring perkembangan teknologi, peluang mendapatkan susuk diingini bukan sahaja semakin meluas malah menakutkan. Daripada kaedah selamat seperti diet paleo hingga puasa rawatan atau bersenam di gimnasium, jalan mudah muncul bak cendawan tumbuh selepas hujan.

Bermula dengan pil kurus dan rawatan pelangsingan…

Ia bertukar ekstrem menerusi pembedahan kosmetik yang memberi kesan pantas. Salah satunya bariatrik. Walaupun matlamatnya membantu pesakit obesiti, kebelakangan ini ia popular di kalangan selebriti Hollywood yang mahu tampil langsing tanpa menjalani diet ketat.

Mariah Carey, Randy Jackson dan Kelly Osbourne antara bintang masyhur yang melihatnya sebagai penyelesaian mudah bagi mengurangkan berat badan. Ia mungkin berkesan buat mereka, malangnya bukan semua bernasib baik. Satu-satunya pewaris Elvis Presley, Lisa Marie Presley ‘tumpas’ Januari lalu akibat komplikasi teruk selepas beberapa tahun menjalani bariatrik. Mendiang mengalami halangan usus kecil disebabkan tisu parut yang terbentuk. Walaupun doktor memaklumkan kejadian ini jarang berlaku, risiko tetap ada, dan Lisa salah seorang mangsanya.

See also
Rahsia Kecantikan Selebriti Yang Mudah dan Sihat

Samalah juga dengan rawatan kosmetik invasif minimum yang semakin popular dek penangan media sosial. Antaranya Liposuction, prosedur sedut lemak dan CoolSculpting, pembekuan lemak. Walaupun sering diiklankan selamat, ia tetap mempunyai risiko tersendiri. Salah seorang ‘Original Supermodels’, Linda Evangelista tampil mengakuinya secara terbuka selepas menanggung akibat. Tujuh sesi prosedur CoolSculpting yang dijalaninya dari Ogos 2015 hingga Februari 2016 menjadi titik hitam dalam hidupnya. Dalam tempoh tiga bulan menjalani rawatan, bahagian tubuhnya seperti paha, dada dan dagu mulai mengeras dan kebas.

Pada Jun 2016 dia didiagnos menghidap hiperplasia adiposa paradoks, tindak balas buruk prosedur pembekuan lemak. Sel di bahagian yang dirawat mengembang, bukannya mengecut, sekali gus menyebabkan cacat kekal. Malu dan kemurungan, lima tahun supermodel itu menyembunyikan diri. Malah perjalanan kerjayanya di pentas glamor juga sepi. Tahun lalu barulah dia berani tampil mendedahkan keperitan yang dialami untuk memberi kesedaran kepada orang ramai. “Saya tidak mahu lagi hidup dalam persembunyian dan rasa malu. Saya tidak mampu lagi menanggung rasa sakit.”

kurus

Kurus Pilihan Terkini Golongan Elit

Dari pil kurus hingga rawatan kosmetik, kini ubat suntikan seperti semaglutide dan liraglutide pula menjadi fenomena di kalangan fanatik kecantikan. Jenama Wegovy, Rybelsus dan Saxenda antara yang hangat di pasaran, namun menjadi kegilaan di seluruh dunia adalah Ozempic. Dengan pengaruh besar di media sosial, penggunaan ‘hottest drug in Hollywood’ ini semakin menjadi-jadi. Video dengan tanda pagar #Ozempic serta #Ozempicjourney menjadi sohor di TikTok dan ditonton jutaan pengguna. Malah acara berprestij Anugerah Akademi ke-95 yang berlangsung Mac lalu juga tidak terlepas daripada obsesi ini apabila hos Jimmy Kimmel berseloroh, “Semua orang nampak hebat. Apabila melihat semua hadirin dalam dewan ini, saya tertanya-tanya, ‘Adakah Ozempic sesuai untuk saya?’”

Walaupun popular dan menjadi pilihan masa kini, kebenarannya agak menakutkan: Ozempic bukanlah rawatan khas pelangsingan badan. Tujuan asal ubat cecair yang disuntik ke perut ini adalah untuk merawat diabetes tahap dua dan obesiti kronik. Ia memperlahan proses penghadaman dan mengurangkan selera makan, sekali gus membantu penurunan berat badan secara drastik. Bagaimanapun dek keberkesanannya, ia mengundang ketaksuban dan disalah guna. Apa tidaknya, kajian membuktikan dengan satu suntikan seminggu selama setahun, sebahagian besar pengguna berjaya menurunkan kira-kira satu perlima berat badan. Disebabkan itu ramai yang tergoda, terutama di kalangan selebriti Hollywood.

See also
Mengapa Terapi Ozon Rektum Amalan Gwyneth Paltrow Membahayakan?

Khloe Kardashian dan Oprah Winfrey antara nama besar yang didakwa mengambil Ozempic kerana memperlihatkan perubahan fizikal yang amat ketara dalam masa singkat. Amy Schumer, Sharon Osbourne dan Chelsea Handler pula secara terbuka mengakuinya. Individu terkaya dunia, Elon Musk juga tidak terlepas daripada godaan ini. Apabila ditanya apakah rahsia fizikalnya yang semakin kurus, tanpa ragu dia berkata, “Puasa rawatan dan Wegovy.” Dengan dua kaedah ini dia berjaya menurunkan sepuluh kilogram berat badan.

Tidak dinafikan ubatan ini lebih popular di kalangan golongan ‘berpoket tebal’ kerana bukan semua orang mampu mendapatkannya walau terdesak mahu mencuba. Berharga sekitar RM250 untuk satu suntikan, dos bulanan boleh melebihi RM1,000. Malah dengan permintaan tinggi, harganya boleh meningkat hampir dua kali ganda. Bagaimanapun untuk golongan elit ia bukanlah satu isu besar, yang penting nafsu dan keinginan mereka dipenuhi dengan mudah.

Apabila Natijah Ditolak Tepi

Dek ketaksuban yang tidak mampu dikawal, ramai memandang enteng akan kesan sampingannya. Impak ubatan ini bukan sahaja serta-merta malah turut mempangaruhi kesihatan dalam jangka panjang. Pengambilan dos ubat secara berlebihan boleh menyebabkan rasa mual, muntah, cirit-birit, sakit perut dan sembelit. Lebih teruk, ia boleh mengakibatkan hipoglisemia, pankreatitis, gangguan penglihatan, kegagalan buah pinggang dan masalah hempedu. Malah sudah ada kes kematian direkodkan. Amat membimbangkan, namun adakah pengguna sedar dan ambil peduli akan natijah ini?

Amy Schumer antara selebriti yang kesal dengan keputusannya mengambil Ozempic. Aktres Trainwreck itu jatuh sakit sehingga tidak berdaya untuk bermain dengan anaknya. “Saya jadi terlalu kurus. Nak menyambut bola daripada anak pun tak mampu!” Baginya, ia satu kegagalan besar sebagai seorang ibu. Seorang lagi bintang yang kecundang dalam misi langsing jalan pintas ini adalah Sharon Osbourne. Mula mengambilnya pada awal tahun 2023, personaliti TV ini juga merasai kesan sampingan seperti mual dan sakit perut. Bagaimanapun kerana terlalu taksub, dia meneruskan rawatan selama empat bulan dan berjaya hilang 20 kilogram.

See also
Kanye West Dibayar RM124 Juta Untuk Dokusiri Eksklusif Netflix

Malangnya berat badannya kini berada pada tahap berbahaya, hanya 45 kilogram. “Anda tidak boleh bergantung pada ubat ini. Sudah tiba masa untuk saya berhenti. Saya sebenarnya tidak mahu sekurus ini. Ia berlaku tanpa diduga. Berhati-hati dengan apa yang anda hajatkan.” Walaupun tidak lagi mengambil Ozempic, usahanya untuk kembali ke berat badan ideal tidak membuahkan hasil. Lihat sahaja penampilan terkininya. Dengan susuk kurus melidi, dia tampak cengkung dan jauh lebih tua berbanding usia. Kesal dengan kesilapannya, dia memberi amaran terutama kepada golongan remaja agar tidak terjebak kerana ia menyebabkan ketagihan.

Dengan penggunaan yang semakin berleluasa, bukan si taksub sahaja yang merasai kesan sampingannya terhadap kesihatan. Impak paling teruk adalah terhadap pesakit diabetes sendiri. Apa tidaknya, dengan permintaan tinggi daripada golongan elit, stok ubat menyusut dengan pantas terutama di Eropah dan Amerika. Sekali gus memudaratkan kesihatan pesakit yang benar-benar bergantung kepada ubatan ini. Di Britain, para doktor dan ahli farmasi diarah untuk tidak mengeluarkan preskripsi bagi tujuan penurunan berat badan semata-mata. Namun dek ‘gelap mata’ dengan keuntungan yang diraih, segelintir farmasi masih menjualnya secara tertutup dalam talian.

Dari sudut lain, fenomena ini turut menjejaskan positiviti tubuh yang semakin dirai di seluruh dunia. Beberapa tahun kebelakangan ini menyaksikan bentuk dan saiz badan tidak lagi didiskriminasi dan mula diterima secara terbuka. Malangnya jalan pintas seperti bariatrik dan ubat diabetes hanya akan membantutkan usaha ini dengan memberi tekanan, mencalar keyakinan dan menjejas self love terutama buat generasi muda jika tidak dikawal sebaiknya.