Manvin Khera, Rakyat Malaysia Pertama Dimahkotakan Miss Globe 2023 - Glam Malaysia
Manvin Khera, Rakyat Malaysia Pertama Dimahkotakan Miss Globe 2023

Manvin Khera, Rakyat Malaysia Pertama Dimahkotakan Miss Globe 2023

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Itulah ungkapan tepat buat Manvin Khera apabila diumumkan sebagai Miss Globe 2023 pada 17 November lalu.

Manvin Khera melakar sejarah peribadi dan mengharumkan nama negara dengan menewaskan 52 peserta lain, sekali gus menjadi rakyat Malaysia pertama meraih gelaran itu. Tempat kedua dimenangi wakil Sepanyol, Katie Agbodo Rodriguez manakala tempat ketiga milik Anna Valencia Lakrini dari Filipina.

Manvin Khera

Foto: Instagram

Model berusia 22 tahun ini turut dimahkotakan sebagai Miss Talent selepas memperdengarkan suara lunaknya menyanyikan lagu Bollywood dalam pertandingan yang berlangsung di Ramazan Njala Sports Palace di Durres, Albania.

Walaupun teruja dengan kemenangan itu, Manvin Khera mengakui amat terkejut kerana tidak menjangka akan memenangi tempat pertama.

“Saya sentiasa yakin pada diri sendiri. Saya juga percaya, kekalahan tidak akan mematahkan semangat kita untuk terus maju ke hadapan.

“Saya berbangga dapat mewakili negara dan sekarang akan mewakili Organisasi Miss Globe. Saya juga akan gunakan platform ini untuk menyampaikan suara saya kepada dunia,” katanya.

See also
Gaun Putih Natasha Hudson Cetus Kontroversi, Rizman Buka Mulut

Cabaran Ditempuhi Manvin Khera

Kesemua 52 peserta perlu menempuhi beberapa cabaran mini untuk melayakkan diri ke Top 15 dan Top 5. Memiliki rupa paras dan bakat luar biasa, Manvin Khera dengan mudahnya memikat hati para juri dalam swimsuit, talent dan head to head challenge.

Juara Ratu Wanita Malaya 2022 ini juga berjaya memberi jawapan terbaik pada sesi soal jawab di acara kemuncak. Apabila ditanya mengenai pengajaran dari zaman kanak-kanak yang memberi impak pada kehidupannya, dengan tenang dia menyampaikan jawapannya.

“Semua orang berkembang setiap hari, dan saya belajar daripada kesilapan. Saya percaya kegagalan adalah kunci kejayaan. Setiap kali jatuh, saya akan beritahu diri sendiri. ‘Marvin, kamu kena bangkit lebih kuat’. Saya percaya jika kamu jatuh tujuh kali, kamu kena bangkit lapan kali. Dan jika kamu lakukan sedemikian, kamu tidak akan dapat ditandingi.”

Baca: Remaja Berhijab Sertai Pertandingan Ratu Cantik Miss Minnesota USA