Keperitan Dilalui Sinead O’Connor 18 Bulan Sebelum Pemergiannya - Glam Malaysia
Keperitan Dilalui Sinead O’Connor 18 Bulan Sebelum Pemergiannya

Keperitan Dilalui Sinead O’Connor 18 Bulan Sebelum Pemergiannya

Penyanyi dan aktivis kemanusiaan, Sinead O’Connor atau nama Islamnya Shuhada’ Sadaqat menghembuskan nafas terakhir pada usia 56 tahun.

Pelantun lagu Nothing Compares 2 U itu ditemui dalam keadaan tidak bernyawa di kediamannya di London pada hari Rabu, 26 Julai lalu. Khabar duka itu dikongsi oleh ahli keluarganya menerusi satu kenyataan rasmi. “Dengan rasa dukacita kami ingin mengumumkan bahawa Sinead O’Connor telah meninggal dunia. Kami amat terkesan dengan pemergiannya dan memohon agar diberikan ruang pada saat sukar ini.”

Menurut keluarganya, Sinead O’Connor telah bertahun-tahun bergelut dengan masalah kesihatan mental. Dia disahkan menghidap gangguan bipolar kesan trauma zaman kanak-kanak di mana dia mengakui menjadi mangsa dera ibunya. Malah dia sering berkongsi pergelutannya itu di media sosial, juga dalam memoirnya berjudul Rememberings yang diterbitkan pada 2021.

Sinead O’Connor shuhada' sadaqat

Foto: Twitter

Kesihatan mentalnya menjadi lebih teruk setelah kematian salah seorang anak lelakinya, Shane Lunny pada Januari 2022. Remaja berusia 17 tahun itu meragut nyawa sendiri selepas melarikan diri daripada pengawasan pihak hospital. Kematian Shane amat memberi kesan terhadap kesihatannya, menyebabkan dia terlantar di hospital selama seminggu. Dia turut membatalkan semua persembahan sepanjang tahun lalu akibat kemurungan berpanjangan.

See also
Jonah Hill Dedah Pergelutan 20 Tahun Dengan Serangan Keresahan

Sinead O’Connor Luah Kerinduan Buat Puteranya

Menerusi ciapan terakhir di akaun Twitternya yang kini telah dipadam, ikon muzik kelahiran Ireland itu meluahkan keperitan yang dialaminya. “Saya bagaikan mayat hidup sejak pemergiannya. Dia adalah cinta hati saya, pelita jiwa saya. Kami bagaikan satu jiwa dalam dua jasad. Dia satu-satunya insan yang menyayangi saya tanpa syarat. Saya terperangkap di alam ‘bardo’ tanpa kehadirannya.”

Ibu kepada empat cahaya mata itu turut memuat naik beberapa pautan lagu sedih dan menyayat hati di Spotify. Ia termasuk Chenrezi, How Can You Mend a Broken Heart, Here But I’m Gone dan No One Knows About a Good Thing. Dia mendedikasikan salah satu lagu itu kepada semua ibu yang kehilangan anak akibat membunuh diri.

Sinead O’Connor’s final tweet.

Sinead O’Connor bergelar penyanyi pada tahun 1980-an menerusi album pertama, The Lion and The Cobra. Namanya menjadi sebutan peminat selepas pelancaran album I Do Not Want What I Haven’t Got pada 1990. Lagu popularnya yang ditulis oleh mendiang Prince, Nothing Compares 2 U berjaya menembusi carta global dan dinobat sebagai lagu nombor satu dunia oleh Billboard Music Awards.

See also
Berundur Dari Media Sosial, Tom Holland Titip Pesanan Buat Peminat

Sejak memeluk Islam pada 2018, dia menukar namanya kepada Shuhada’ Sadaqat namun masih mengekalkan Sinead O’Connor sebagai nama pentas. Kurang dua minggu lalu dia berkongsi perancangan untuk melancarkan album baru dan impian untuk menjayakan konsert jelajah dunia.

sinead o'connor shuhada' sadaqat

Foto: YouTube/The Late Late Show

“Hai semua, saya berpindah balik ke London baru-baru ini, selepas 23 tahun. Teruja dapat ‘pulang’ ke sini. Album terbaru saya hampir siap dan akan dikeluarkan pada awal tahun depan. Saya berharap dapat mengadakan konsert di Australia dan New Zealand menjelang akhir tahun 2024. Eropah, Amerika Syarikat dan negara lain pula pada awal tahun 2025.” Malangnya hasrat itu tidak kesampaian kerana ajal lebih awal menjemputnya.

 

Foto: Getty Images

Baca: 7 Selebriti Tampil Kongsikan Pertarungan Gelap Dengan Kesihatan Mental