Analisa Solekan Mata Jennifer Lopez
Jennifer Lopez antara selebriti Hollywood yang dipuja-puji kecantikannya. Pada usia yang sudah melepasi separuh abad, Jlo dilihat cukup bijak menjaga kecantikan dan penampilannya. Tidak kisahlah kalau ada yang fikir dia cantik sebab dia kaya, mampu buat pembedahan atau upah jurusolek yang bagus, atau membayar jurulatih peribadi yang mahal untuk pastikan badannya kekal cantik dan fit. Tapi ramai juga selebriti Hollywood yang kaya tapi gagal dalam menjaga penampilan pabila usia terus meningkat.
Satu yang orang suka tentang Jlo adalah solekan dan dandanan rambutnya. Dia suka beri gaya yang ekstra, mungkin itu juga selera orang Latin yang suka melebihkan dalam hal merias diri. Dan lagi satu, saya rasa solekan Jlo boleh diajdikan rujukan untuk orang Malaysia, khususnya orang Melayu kerana kulitnya yang tidak terlalu cerah, jadi apa-apa warna yang dicalitkan pada wajahnya, orang kita boleh relate. Dan saya juga rasa, ramai jurusolek selebriti di Malaysia menjadikan solekan Jlo sebagai rujukan dan inspirasi (selain gaya solekan Kim Kardashian).
Berdasarkan pemerhatian saya, Jlo memang suka solekan yang memberi fokus pada mata. Dia sering tampil ekstra pada solekan matanya. Biasanya apa yang jurusolek lakukan pada matanya ialah mereka akan memberi pembayang mata ton gelap pada crease dan bawa ke luar hujung mata Jlo. Dan warna hitam yang sama akan disapu kemas pada bawah matanya juga. Pada sudut dalam mata pula, selalunya Jlo akan mencalit pembayang mata warna terang dan lazimnya yang saya lihat dia suka memilih pembayang mata yang berkilat-kilat. Ini sebenarnya adalah trik untuk buat mata nampak ‘terbuka’ segar dan tidak kuyu. Gaya ini boleh dilihat jelas pada penampilannya di majlis pertabalan Joe Biden sebagai presiden Amerika Syarikat yang baharu.
Untuk bulu mata palsu pula, Jlo selalunya memilih yang yang tebal dan lebat di hujung. Ia memberi definisi mata yang lebih panjang dan galak. Dan jarang-jarang melihat dia menggunakan bulu mata palsu yang nampak semula jadi.
Untuk bibir pula, selalunya Jlo sukakan warna nude dan biasanya ton nude yang dipilih seakan punya asas warna koral yang membuatkan penampilan bibirnya tidak terlalu pucat. Jlo juga suka mencalit glos bibir untuk melengkapkan gaya solekan bibirnya yang mencetus penampilanw ajah yang lebih segar.
Artikel Berkaitan: Jennifer Lopez Bidas Netizen, “Ini Wajah Sebenar Saya!”
Artikel Berkaitan: Solekan Lady Gaga, Katy Perry & Jlo di Pertabalan Joe Biden