Clash de Cartier : Cita Rasa Dua Karakter Berbeza, Satu Rekaan
Adakah cukup dengan satu corak atau perlu lagakan motif yang pelbagai dalam satu rasa? Cukupkah dengan hanya satu perincian atau mahu madukan pelbagai sentuhan agar mencipta sensasi penuh dramatik? Persoalan ini membuahkan idea kepada lahirnya koleksi barang kemas Clash de Cartier tahun lalu. Bagi menandakan kejayaannya, Clash sekali lagi mengeluarkan koleksi Clash de Cartier buat kali kedua. Ia masih mengekalkan cita rasa dua karakter berbeza dalam satu rekaan barang kemas.
Jika sebelum ini koleksi Clash de Cartier fokus pada penggunaan material emas mawar dan batu rona jingga, kali ini koleksi baru ditambah dengan emas putih dan seri batu mewah rona biru laut yang cukup menenangkan pula digandingkan dengan emas kuning. Juga, ada rekaan barang kemas yang bersaiz kecil dan agar boleh dipadu padan mencipta gaya yang berlapis. Seni ala pepaku yang menghiasi barang kemas ini dibuat dengan kemasan lebih lembut, menjemput wanita untuk menyentuhnya. Ia bersifat cukup feminin dan bergerak lebih bebas ketika disarungkan.