Akaun sosial media DKNY melalui perubahan ketara apabila laman Twitter serta Tumblr jenama itu yang sebelum ini dikendalikan oleh Naib Presiden Kanan Komunikasi, Aliza Licht di bawah nama “DKNY PR Girl” kini dikosongkan dengan kesemua tweet sebelum ini dipadam serta ditukar kepada nama “DKNY” manakala laman Instagram label itu juga tertulis “work in progress” di ruangan bio.
Aliza Licht dilaporkan akan meninggalkan jenama itu pada musim luruh nanti. Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Licht pada laman Fashionista, “Sejak pelancaran dan kejayaan buku saya “Leave Your Mark”, saya telah melayari dunia dan bertemu dengan suatu komuniti yang berkumpul melalui laman sosial. Sambutan hebat yang diterima menggalakkan saya untuk mengejar peluang baru di media. Saya akan menikmati bab baru di DKNY dan akan menolong peralihan jenama itu ke musim luruh nanti. Ianya merupakan 17 tahun yang hebat dengan Donna Karan International. Saya berterima kasih atas sokongan yang diterima dan juga teruja tentang masa depan saya.”
Perubahan terus dilakukan di DKNY selepas pengumuman bahawa Donna Karan akan meninggalkan jenama itu manakala pereka duo Public School, Dao Yi Chow dan Maxwell Osborne dilantik menjadi Pengarah Kreatif baru.