Apakah peraturan fesyen yang boleh diberikan kepada wanita untuk sambutan Syawal?
Dalam hal bergaya, saya selalu bilang kepada klien agar memilih helaian yang memberi anda keselesaan. Itu adalah peraturan penting dalam kamus fesyen Calvin Thoo. Apabila kita menyarungkan helaian yang selesa, ia terus memberi anda satu keyakinan yang paling tinggi. Lantas, apabila anda selesa dan berkeyakinan tinggi ia terus membuahkan rasa gaya yang elegan.
Ceritakan kisah raya yang selalu terpahat di hati?
Cerita ini berlaku setiap kali sambutan Raya. Saya akan sentiasa menerima tempahan lewat daripada rakan baik serta klien sempena Hari raya kerana mereka ini lupa akan jemputan rumah terbuka. Sekarang saya sudah tahu, setiap kali tibanya Raya saya akan sentiasa membuat beberapa helai baju raya lebih buat sahabat baik dan klien. Helaian ini untuk mereka yang ingin menempah baju pada saat akhir. Saya rasa besar hati kerana mereka menghargai usaha saya ini.
Apakah aksesori penting buat wanita pada Lebaran?
Saya jatuh hati melihat wanita yang sering mengenakan selendang. Ia bagaikan satu pelengkap penting buat wanita ketika sambutan Hari Raya, lebih-lebih lagi jika ada acara formal. Nasihat saya, berhati-hati dalam memilih selendang kerana jika salah pilih ia boleh membunuh gaya anda. Selain itu, kasut yang selesa amat penting kerana jika kita yang perlu melayan tetamu dari pagi hingga ke petang, semestinya kasut yang elok banyak membantu anda.