“Saya mahu berduet dengan Yuna suatu hari nanti" - Narmi

“Saya mahu berduet dengan Yuna suatu hari nanti” – Narmi

Narmi
 
Saya mula mengenal nama Narmi atau nama sebenarnya Imran, saat single nya yang lalu kerap kali putar di stesen radio Inggeris. Make Me Whirl, pasti mencairkan hati para gadis muda yang mendengarnya. Alunan suara merdu serta ritma gitar yang dipetik, siapa sangka dia adalah pemain dram kumpulan Indie tempatan, One Buck Short. 13 tahun berada di kancah seni bersama ahli kumpulan dan hanya tiga tahun yang lalu, baru dia memilih untuk memulakan karier solonya.
 
Bagi saya, mahu bergerak secara sendiri bukan mudah setelah berkumpulan. Bak kata Narmi saat ditanya mengapa baru sekarang, pengalaman hampir seabad lebih itu memberi dia masa untuk belajar dan lebih mengenali selok belok dunia hiburan. “The members did all the work, saya cuma ikut-ikut sahaja. Saya lihat bagaimana mereka berkerja. Walaupun One Buck Short bukan kumpulan mainstream, namun mereka masih berjaya dalam industri ini. Dari situ terdetik hati saya, saya mampu lakukannya and I know how to brand myself and things like that”. Keinginan dikukuhkan lagi apabila dia saja-saja merekod demo lagunya, dan kemudian radio berminat untuk memutarkan lagunya itu. Tidak disangka, lagunya mengungguli tangga pertama selama dua minggu, “I was like okay, I think I can make some money from this as well.”
 
Bercerita tentang projek terbaru, tidak lama lagi single Melayu terbarunya berjudul Hembus Api akan dikeluarkan. Hasil ciptaan Audi Mok dan lirik oleh dirinya sendiri. Pasti penulis lirik perlukan inspirasi dalam melakar lirik yang mampu menyentuh hati pendengar. Bagi Narmi, ilham diperoleh berdasarkan di mana kehidupannya berdiri ketika itu. Ujarnya, jika muziknya sedih, pasti ketika itu dia lagi sedang bersedih. “Tetapi lagu terbaru saya itu bunyinya happy! Kisahnya saya gembira di mana saya berada sekarang iaitu tidak punyai teman hidup namun saya masih lagi boleh berseronok”.
 
Memilih John Mayer sebagai inspirasi dalam bidang muzik. Menggambarkan penyanyi itu sebagai seorang yang berjaya dan dia juga mahu berada seperti di tahap itu. Soal koloborasi, “Saya mahu berduet dengan Yuna suatu hari nanti jika diberi peluang kerana saya sukakan cara dia bekerja. Tetapi jika ditanya tentang antarabangsa, saya mahu bekerjasama dengan DJ muzik, you know the DJ song kemudian di bait-bait korus lagunya pasti ada suara lunak wanita diselitkan bukan? Ya, I can be that voice,” ujarnya sambil tersenyum lebar.
 
Kebanggan yang terlakar buat dirinya dalam menceburi bidang ini adalah saat peminat menyanyi bersamanya justeru itu dia merasa seolah hasil titik peluh yang dicurahnya dihargai oleh orang ramai. Antara pengalaman yang tidak boleh dilupakan ketika di konsert Boyce Avenue pada Februari yang lalu, dia berpeluang untuk membuat persembahan pembuka tirai, “Semua orang turut serta menyanyi bersama walau ia bukanlah lagu sendiri namun saya sangat gembira. Namun disebalik segala memori indah itu, saya juga masih rasa yang dimana diri ini belum menggapai kejayaan yang lebih besar lagi, mungkin akan saya kecap pada masa akan datang dengan adanya pelbagai perencanaan.”
 
Beralih kepada soal fesyen, bagi Narmi muzik mampu mempengaruhi pendengar. Melalui muzik juga, peminat mahu tahu dan sering ternanti-nanti akan apa yang bakal disarung penyanyi kegemaran mereka. Dia mengambil contoh penyanyi antarabangsa, Pharrell Williams yang menyarung jumpsuit, “Lihat sahaja pabila dia memakainya, gaya dia begitu bersahaja bukan? It is supposed to reflect who you are dan bagi diri ini, saya cukup selesa dengan hanya mengenakan celana pendek bersama t-shirt. Itulah stail saya.” Soal inspirasi kala berfesyen, dia memilih penyanyi Jason Mraz sebagai panduan dalam bergaya. Imej yang ditunjukkan penyanyi itu tidak kira di atas pentas mahupun dijalanan mempunyai elemen seperti California hobo yang tampak cukup selesa dan sedap kala mata memandang. Tanya saya tentang imej pentasnya pula, dia nampaknya tidak kisah namun yang penting adalah keselesaan. Narmi menggambarkan dirinya sebagai seorang yang ringkas dan tidak leceh dalam bergaya, “I’m single and nobody dresses me up, so I just wear what I feel comfortable,” ujarnya bersahaja sambil ketawa. Dia mengakhiri perbualan kami dengan impian indahnya iaitu suatu hari nanti dimana dia mahu melakukan konsert jelajah di luar negara dengan mengembara selama sembilan bulan dari satu tempat ke satu tempat.
 
Teks & Penyelaras: Zuhairie Sahrom dan Amira Azman
Penata gaya: Aizat Aidid
Arahan Seni: Ashura Hakim
Gambar: Eric Chow/ Blink Studio
 
*Artikel ini disiarkan dalam GLAM edisi April 2015
 
 

See also
COVID-19: Miss England 2019 Gantung Gelaran Demi Khidmat Di Tanah Air