Rahsia Almari Fouziah Gous

Rahsia Almari Fouziah Gous

FouziahGous (EH!)Gambar: Arkib EH!

 
Jika ditanya apa yang kuat tentang Fouziah Gous, jawapannya tentu sekali rambut hitam yang lebat serta bentuk badan yang cukup sempurna. Dia antara pelakon wanita yang memiliki tubuh menawan. Dia cukup terkenal dengan menyarungkan baju yang mengikut bentuk badan dek kerana itu yang sesuai untuk dirinya. Tidak mahu meniru orang lain dalam hal bergaya adalah pegangan aturan fesyen utama Fouziah.
 
Apakah label fesyen yang paling disukai?
Saya ini sebenarnya berjiwa feminin, memang sejak kecil lagi suka bersiap. Dek kerana itulah Elie Saab menjadi pilihan hati. Dia tahu bagaimana untuk merai wanita yang berselera feminin. Sehinggakan persalinan busana hari perkahwinan saya juga diilhamkan oleh himpunan Elie Saab. Paling dahsyat saya pergi mencari fabrik Elie Saab untuk digunakan sebagai material baju pengantin saya. Memang minat sengat dengan hasil kerja seni dia.
 
Jenama apa yang penuh di gerobok aksesori pula?
Banyak wanita Kuala Lumpur gemar dengan beg Chanel dan Balenciaga. Tapi hati saya tidak ke arah jenama itu kerana beg berkenaan selalu sama sahaja. Beg-beg saya banyak dari Prada rekaan cukup unik. Untuk clutch pula saya sering beli di Saint Laurent, seleranya cukup mewah. Pastinya setiap wanita perlukan satu beg daripada Louis Vuitton kerana boleh digunakan untuk kegunaan harian.
 
Tiga item yang perlu ada dalam almari baju adalah?
Seluar denim, leggings dan baju-T. Walaupun saya ini suka bersiap cantik, tapi tiga barang ini adalah pelengkap gerobok fesyen seorang wanita. Kalau mahu keluar rumah untuk seketika boleh sahaja sarungkan selaur denim dengan baju-T. Tapi pilihan baju-T saya mesti yang mengikut bentuk badan. Ia nampak lebih kemas daripada menyarungkan baju bersaiz besar. Keluar rumah untuk sesaat dua pun mestilah jaga keterampilan diri.
 
Barang yang tidak mahu disimpan lagi dalam gerobok fesyen?
Ceraian yang saya beli sejak dari kolej masih tersimpan rapi di dalam almari. Dulu seluar denim Guess cukup popular, saya pun beli tanpa ambil kisah. Sekarang ini jarang pakai, tapi tidak sampai mahu buang kerana bagi saya trend fesyenkan selalu datang kembali. Lihat dahulu dress kemeja cukup popular dan sekarang ia muncul kembali. Saya tidak akan campurkan barang lama dengan yang baru. Bilik almari saya tersusun dengan barang baru dan yang lama akan disimpan dalam kotak.
 
 

See also
Happy Birthday, Kendall!