Poova - Artis Baru Terbaik di Anugerah Industri Muzik

Poova – Artis Baru Terbaik di Anugerah Industri Muzik

Poova
 
Namanya semakin dikenali ramai apabila dia diangkat sebagai Artis Baru Terbaik di Anugerah Industri Muzik 2014 yang lalu. Masih ingat? Ya, Poova nama diberi, penyanyi membawa irama Pop soul R&B, satu nama yang bakal menempa di persada muzik tempatan kita. Begitu jugalah saat dia tiba di studio, auranya tidak dapat saya sangkal. Datang bersama suami yang setia menemani kemana sahaja si isteri tercinta pergi. Penyanyi juga penulis lirik dan komposer serba boleh ini sudah menjejak dunia seni secara profesional sejak lima tahun yang lalu. Kemunculan album sulungya berjudul Faketown membariskan himpunan lagu-lagu Inggeris yang cukup bertenaga rentaknya.
 
Kini, dia sedang sibuk membikin single Melayu pertamanya. Seperti biasa soal saya penuh keinginan untuk tahu bagaimana permulaan kariernya, ujar Poova, “Saya tidak gembira dengan kerja 9 to 5 saya. Namun pada masa yang sama saya sudah mula menjadikan nyanyian sebagai kerja sampingan saya. Perasaan seronok menyapa apabila menyanyi di khalayak ramai, apatah lagi mencipta dan menulis lirik. Sejenak saya terfikir, you know what, I had it! I’m done with my corporate job. Kerja itu cukup sempurna, cuma saya sahaja rasa ianya tidak mengenai jiwa saya”, ujarnya sambil tertawa. Tambahnya lagi, suami juga banyak mendorong, walaupun bermula di usia lewat namun Poova kini sudah nyata berpijak jauh.
 
Membawakan genre yang berbeza, dia memilih untuk berkoloborasi bersama Joe Flizzow suatu hari nanti jika diberi peluang kerana bagi dia ia pasti menyeronokkan. Saat saya menemubualnya, dia seronok bercerita tentang projek terbaru iaitu persediaan dalam pertandingan Hong Kong Asian Music Festival di Taichung, Taiwan pada Mac yang lalu. Tidak dapat menggambarkan betapa gementar di hati kerana bertanding dengan penyanyi serantau Asia juga beraksi di hadapan puluhan ribu penonton itu.
 
Setiap pemuzik pasti ada penyanyi idola atau paling tidak, sumber inspirasi dalam kehidupan sebagai orang seni ini. Lama berfikir lalu terluah katanya, “Wow, sungguh susah untuk saya jawab, kerana citarasa muzik saya begitu pelbagai! Hmm, I must say Sia. Saya suka album barunya.” Kemudian mungkin ketika itu datang mencurah nama nama penghibur yang dikaguminya di kepala, lantas memberikan beberapa nama seperti penyanyi Rock lama Janis Joplin, The Gorrilaz, Radiohead dan Led Zeppelin. Menampakkan jiwanya yang kental, tanya saya tentang imej peribadinya pula, ternyata tepat pemikiran saya! Poova menggambarkan dirinya seorang yang quirky. Gemarkan gaya kasual, menyarung jeans koyak dan kasut selesa dari koleksi Dr. Martens di hari biasa apabila tidak berkerja. Ikon fesyennya? “Sudah tentu Gwen Stefani! Gayanya yang edgy, stylish dan cool.
 
Tentang stail pentas, dia mengakui pilihan pemakaian haruslah sepadan dengan muzik yang dibawa dan sebagai penyanyi R&B, dia gemar menyarung dress labuh memandangkan susuk tubuhnya yang langsing dan dianugerahkan pula dengan ketinggian ala peragawati itu. “Muzik sangat visual jadi sudah tentu fesyen dan muzik itu boleh bergerak seiring.” Bagi Poova, dia tidak ada pereka atau jenama kegemaran yang tertentu kerana dia tidak kisah janji persalinan yang kasual juga sporty pasti menarik perhatiannya.
 
Wanita lincah ini gemar sekali bersukan. Bagi mengekalkan kecergasan diri setiap kali membuat persembahan. Pernah saya berpeluang menonton persembahanya melalui laman Youtube. Begitu bertenaga tidak langsung nampak penat memperdendangkan lagu-lagunya. “Ya, I’m a triathlete, jadi saya gemarkan aktiviti berenang, berlari dan juga berbasikal.” Poova mengakhiri perbualan dengan berharap di masa hadapan, dia mahu menulis lagu dengan lebih baik dan berjaya sebagai penyanyi tempatan.
 
 
Teks & Penyelaras: Zuhairie Sahrom dan Amira Azman
Penata gaya: Aizat Aidid
Arahan Seni: Ashura Hakim
Gambar: Eric Chow/ Blink Studio
 
*Artikel ini disiarkan dalam GLAM edisi April 2015
 
 

See also
EFZA MUHAMMAD