“Pesan arwah ayah, hargai kehidupan dan jangan mudah lupa asal usul” – Fauziah Latiff
Oleh: Yusairi Fitri
Pertama kali bertemu Fauziah Latiff di studio pada hari penggambaran, dia tidak lokek senyuman. Sifat merendah dirinya langsung tidak menunjukkan sikap diva seperti mana sesetengah selebriti yang sudah punya nama. Sedang sibuk disolek, dia memuji pakaian yang tersedia digantung di rak. “Rekaannya bagus… fabrik lembut dan sesuai dengan cuaca di sini,” ujarnya dalam nada lembut. Lega hati ini mendengar, apabila penghibur hebat ini percaya akan kredibiliti kami dalam menyediakan keperluannya.
Pernah menggegarkan arena seni suara tanah air satu masa lalu, Fauziah Latiff dengan panggilan nama Jee memulakan kerjaya sebagai penyanyi pada 1988. Dengan genre lagu pop yang rancak, Fauziah dan penari-penarinya ligat mengatur langkah menghangatkan pentas persembahan. Memiliki 16 lagu hit dekad 90-an adalah era di mana dia berada di puncak kerjaya. Tatkala diaju pertanyaan mengenai sikap generasi muda yang mudah melontarkan pandangan sejuk pada artis lama sepertinya, Fauziah tidak melatah. “Mungkin yang beranggapan artis daripada generasi sebelumnya sepi dari sebarang aktiviti seni. Hakikatnya, saya masih aktif mengadakan persembahan pentas di majlis korporat sejak tidak merakamkan album. Saya tahu ramai peminat yang bertanyakan mengenai kemunculan album baru. Kalau ada masa dan lagu yang sesuai, saya memang mahu kembali ke studio rakaman.”
Melihat pada bakatnya, saya kagum. Selain penyanyi yang disegani, tawaran kerja dalam industri tidak pernah putus seperti menjadi juri rancangan realiti televisyen dan duta produk. Jika ada yang masih ingat, Fauziah pernah diberikan kepercayaan menjadi juri rancangan realiti Malaysian Idol beberapa tahun lalu bersama Paul Moss dan Roslan Aziz. Kala ditanya pandangan mengenai bakat baru yang kini dilihat hanya sekadar tangkap muat dalam menghiasi arena seni suara tempatan. Fauziah tegas menjawab, “Tidak semua… cuma segelintir sahaja. Peribadi saya, semua yang berbakat untuk bergelar penyanyi adalah satu anugerah. Bakat adalah sesuatu yang perlu diasah. Dalam konteks persembahan, seorang penyanyi perlu menyampaikan lagu dengan sebaik mungkin, penuh jiwa dan menghormati karya seni mereka. Perlu ada rasa cinta pada bidang yang diceburi dan berterusan membakar api cinta tersebut. Kita tidak mahu kreativiti seseorang penyanyi itu berkubur begitu sahaja. Kreativiti tidak boleh dipaksa, kerana ia mengambil masa. Maka terpulanglah pada empunya badan untuk menjadikannya yang terbaik.”
Tegas Fauziah, populariti penting untuk seseorang artis itu bertahan tetapi ia bukan segala-galanya. “Kejayaan yang ditempa sekarang bukan datang bergolek. Ia diraih dengan kerja keras, semangat dan dedikasi.” Amat mementingkan disiplin dan tidak boleh duduk diam, Fauziah sentiasa mencari kerja kerana dirinya sentiasa bersemangat. Bintang Fauziah Latiff masih bersinar dan kekal pada kedudukan yang selayaknya. Peminat punya hak untuk memberikan komen namun bukan bermakna layak meletakkan satu tanda aras pada jatuh bangun rezeki seseorang lebih-lebih lagi pada seorang penghibur yang telah banyak berjasa pada industri seni tanah air. Ujar Fauziah, “pesan arwah ayah, hargai kehidupan dan jangan mudah lupa asal usul dari mana kita datang. The higher you are, the lower you will be. Be humble. Jangan sombong.”
OBSESI SUPERBIKE
Tiada istilah takut. Itulah gambaran yang diberikan Fauziah Latiff bila menyentuh soal obsesinya menunggang motosikal berkuasa tinggi. Menurut Fauziah, cabaran wujud di mana-mana. Risikonya memang tinggi kerana itu dirinya perlu berhati-hati kala menunggang di jalan raya. Perubahan cuaca, kesibukan lalu lintas serta keadaan jalan raya turut diambil kira dalam aspek keselamatan. Menolak sangkaan yang kebanyakan wanita hanya ingin menunjuk-nunjuk kala mengendalikannya. Apabila selebriti wanita yang lain sibuk melaram ke salun dan menjaga rupa paras, Fauziah pula sebaliknya. “Saya meminati big bikes sebab saya rasa puas bila menunggangnya. Tak dinafikan memiliki motosikal kuasa besar belanjanya tinggi. Kena fikir kos penyelenggaraan manakala aspek keselamatan diri juga perlu dititikberatkan.”
Memilikinya nyata berbaloi, walaupun ada yang beranggapan daripada beli motor besar baik pakai kereta. Sebenarnya ia bergantung pada minat seseorang, sama juga macam orang yang sanggup berhabis duit beli beg-beg berjenama. “Sebab kita tak boleh lari dari minat. Kalau kita mampu kenapa menolak untuk memilikinya? Banyak perkara yang boleh dikongsi kala bersama teman yang memiliki minat sama, lebih lagi bila menyertai konvoi. Bukan sahaja mengujakan, saya dapat menambah kenalan baru dan menikmati keseronokan mengendalikan motosikal berkuasa tinggi. Tak janggalkah menunggang di kalangan lelaki? “I’ve always feel small on the road!” Bangga melihat Fauziah miliki keberanian luar biasa dalam aktiviti yang sehingga kini masih didominasi kaum lelaki.
Arahan Seni SUZIE ADNAN
Penata Gaya AIZAT AIDID
Gambar CHIN TOO/II STUDIO
*Artikel ini disiarkan dalam GLAM edisi Januari 2014