Marisa Soraya Sah Bergelar Isteri Tunku Khairul Zaim
Selepas sebelas tahun menyulam cinta, 25 Ogos lalu menjadi hari yang paling bermakna buat Che Puan Marisa Soraya dan YM Tunku Khairul Zaim Naquiyuddin.
Dengan sekali lafaz, Che Puan Marisa Soraya sah menjadi isteri Tunku Khairul Zaim dan menerima mas kahwin sebanyak RM2,000 dalam Majlis Istiadat Akad Nikah yang diadakan di Galeri Tuanku Ja’afar, Seremban, Negeri Sembilan.
11 tahun menyulam cinta

YM Tunku Khairul Zaim Tunku Naquiyuddin adalah anakanda kepada Yang Amat Mulia Tunku Laxamana Negeri Sembilan Tunku Dato’ Seri Utama Naquiyuddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar dan Yang Mulia Tunku Puan Muda Tunku Nurul Hayati binti Tunku Bahador dan juga cucunda Duli Yang Maha Mulia Almarhum Tuanku Ja’afar dan Duli Yang Maha Mulia Almarhumah Tuanku Ampuan Najihah.
Istiadat akad nikah itu diadakan secara sederhana dan tertutup yang dihadiri keluarga dan rakan-rakat terdekat kedua-dua belah pihak. Turut kelihatan hadir memeriahkan majlis adalah Alia Bastamam, Joe Flizzow, Che Puan Jeslina Hashim dan suami, Tunku Eddy Nasruan Adi.

Kredit foto: Instagram @syedfaizalsyednoh
Marisa tampil anggun dalam busana rekaan Afiq M, disempurnakan dengan sentuhan solekan elegan oleh Syed Faizal serta dandanan rambut menawan hasil tangan Bibian Fredericks.
Kenali Che Puan Marisa Soraya

Dilahirkan pada 1 Ogos 1995, Che Puan Marisa Soraya Binti Mazlan, 30, merupakan anak sulung daripada tiga orang adik beradik dan pernah bekerja di salah sebuah syarikat rakaman terkenal di Malaysia. Selain itu, menganggap ibunya June Baharuddin seorang ikon fesyen, Marisa juga seorang pencinta fesyen sejak kecil lagi dan sentiasa kelihatan on-point dalam penampilannya.
Mempunyai bilangan jumlah pengikut yang ramai di Instagram, Marisa juga pernah berkolaborasi dengan jenama-jenama terkenal seperti Fenty Beauty, Pomelo Fashion, Bonia, Monki, Zalora, Nudestix dan banyak lagi.
Sifatnya yang peramah menjadikan dia seorang yang mudah bergaul dan disenangi ramai. Sebelum melangkah ke alam perkahwinan, Marisa diraikan dalam sebuah pesta bujang (Bachelorette) dengan meriah di Bali, Indonesia. Bertemakan siri Love Island, acara tersebut dianjurkan oleh adik-beradik serta rakan-rakan rapatnya, lengkap dengan hashtag istimewa #MarsIsland yang menjadi kenangan manis.
Untuk rekod, Tunku Khairul Zaim melamar Marisa pada 11 Mei tahun lalu dan sekaligus mengikat tali pertunangan mereka.
Artikel Berkaitan: New Age Debutante: Marisa Soraya
Maya Kusuma
Maya Kusuma merupakan penulis di GLAM Malaysia. Penulisannya menjelajah dunia gaya hidup moden dan mewah, berkongsi kisah personaliti terkenal serta menyentuh aspek fesyen dan kecantikan.

