Irene Santiago Ikon Dunia Peragaan Malaysia

Irene Santiago Ikon Dunia Peragaan Malaysia

irene2
 
Teks: Aizat Aidid
Konsep & Penata Gaya: Cheah Wei Chun/Clanhouseonline.com
Gambar: Bustamam Mokhtar/White Studio
 
Jika mahu menghimpunkan nama peragawati terbaik sepajang era 90-an, tentu sekali nama Irene Santiago ini menduduki carta teratas sekali. Siapa yang tidak kenal dengan Irene, model berdarah kacukan Cina dan Filipina ini yang kerap beraksi di pentas fesyen dan wajahnya menjadi penghias kulit majalah serta lembaran fesyen terbaik negara mahupun negara serantau.
 
“Semuanya bermula apabila Tiara Jacquelina memberi saya kerja pertama pada usia 13 tahun buat iklan televisyen. Selepas itu seorang sahabat menghantar gambar milik saya ke pertandingan Dewi Remaja. Hanya selepas itu nama saya mula menjadi sebutan klien fesyen dan saya rasa cukup bertuah atas rezeki yang melimpah,” kongsi Irene Santiago.
Ada yang kurang senang tentang dunia peragaan? “Satu konsep yang paling saya tidak suka adalah dunia peragaan memerlukan wanita yang cantik rupa parasnya. Itu bohong belaka! Sebenarnya untuk menjadi seorang peragawati profesional, mereka perlukan matlamat tinggi dalam hidup, sentiasa tekun mengemudi kerjaya, punya motivasi yang tinggi dan tentu sekali karakter yang bagus.” Irene juga mengakui bahawa untuk bergelar peragawati mereka perlu ada sokongan yang kuat daripada industri fesyen itu sendiri dan perlu peka dengan keadaan sekeliling. “Tidak perlu tinggi lampai kerana ada banyak peluang pekerjaan dalam dunia peragaan. Jika anda tidak tinggi mungkin kerja ikan cetak atau gadis promo boleh dijadikan pilihan. Jangan ambil kisah tentang apa yang orang kata. Hidup ini singkat untuk sentiasa risau. Jika ada buat salah, belajar daripada situ dan terus maju. We are not superheroes!”
 
Kongsi Irene, jika mahu berjaya dalam dunia peragaan, setiap peragawati baru perlu letakan hati dan minda yang kuat. “Namun, perlu tahu yang dunia peragaan ini singkat. Benar kata orang yang menjadi peragawati ini bukan untuk selamanya. Makanya, cuba untuk menikmati momen yang ada dan kesenangan yang diberikan. Ini adalah satu fasa hidup anda yang cukup eksklusif. Tapi jangan pula terus rasa sedih apabila momen ini berakhir. Terus melangkah ke hadapan untuk menjalani kehidupan yang seterusnya,” ujar Irene yang turut pernah membintangi filem Scoop arahan Aziz M. Osman pada 1996.
 
irene3
 
Saya masih ingat iklan Cadbury yang dibintangi oleh Irene Santiago, cukup asyik sekali membuatkan namanya naik seperti saham yang cukup hangat di papan bursa saham! “Ya! Saya cukup bertuah sekali apabila diberi penghargaan untuk membintangi iklan itu. Bukan kerana nama Irene Santiago mereka berikan watak itu. Tapi saya seperti peragawati lain pergi ke sesi uji bakat dan tuah lebih menyebelahi saya.”
 
Peragawati ini turut berkongsi bahawa dunia peragaan seronok kerana ia membawa anda terbang ke kawasan yang cukup indah. “Saya juga suka berjumpa dengan orang baru. Belajar mengenai jenama, mendengar taklimat klien dan berjumpa dengan orang yang memberi inspirasi dalam hidup.” Biarpun kali pertama bertemu Irene Santiago, tiada rasa janggal. Dia punya aura model yang cukup kuat. Tugasannya cukup untuk meletakan dia sebagai satu ikon dunia peragaan Malaysia. “Rezeki ada di mana-mana. Saya terbang ke Hong Kong kerana di situ adalah gelanggang utama dunia peragaan Asia. Rasa berterima kasih yang cukup tinggi kepada krew Dewi Remaja yang memainkan peranan cukup besar dalam membuka pintu untuk saya bekerja sebagai peragawati di Asia. Selain itu Andrews Models, Cilla Foong dan D’Casting juga menjadi tempat buat saya mencurahkan segala apa yang ada untuk bergelar peragawati profesional. Saya lihat kini industri peragaan Malaysia semakin meriah dengan bakat baru yang ada. Cuma perlu ada ruang lebih baik untuk wajah lokal mendapatkan tugasan utama.”
 
Kesihatan tubuh badan tetap terus menjadi keutamaan Irene Santiago biarpun sudah berehat lama dari dunia peragaan. “Sekarang saya cuba menghabiskan masa dalam aktiviti yoga bersama Tengku Azura dan Atilia. Selain itu saya mengambil pemakanan yang sihat. Misinya adalah untuk menjalani kehidupan ini dengan sebaiknya. Setiap hari akan cuba menghargai peluang yang diberikan untuk kekal menghirup udara bumi.” Sempat saya bertanya jika bukan menjadi peragawati, apa kerja yang hendak anda lakukan? “Saya mahu melanjutkan pelajaran ke universiti atau mungkin mahu jadi unicorn!” selorohnya berjenaka sebelum mengakhiri perbualan.
 
*Artikel ini disiarkan dalam GLAM April 2014
 
 

See also
Paris Hilton Said Yes To Chris Zylka!