Datin Wira Emilia Hanafi: "Selain syarikat, keluarga tentu sekali priority saya."

Datin Wira Emilia Hanafi: “Selain syarikat, keluarga tentu sekali priority saya.”

Datin Wira Emilia Hanafi2
 
Bukan mudah untuk mengatur temu janji apatah lagi mencuri sedikit masanya untuk menjadi penghias wajah edisi GLAM kali ini. Masa sangat mencemburui dirinya sehinggakan temu janji terpaksa kami tunda beberapa kali ke tarikh yang sesuai. Datin Wira Emilia menjemput saya ke pejabatnya yang tersergam megah di TTDI Plaza, Taman Tun Dr. Ismail. Menyarung blaus hitam putih Alexander Wang, bersepatu tumit tinggi Christian Louboutin, kehadiran saya disambut mesra. Kami berlabuh di ruangan bilik mesyuarat ditemani beberapa orang penting Eftra Group. Konsep dekorasi pejabatnya ringkas, terbuka tetapi cukup eksklusif. Kami hanya dipisahkan dengan dinding kaca telus cahaya dengan kakitangan di luar yang sibuk mengemas kini tugasan masing-masing. Berbual dengan Datin Wira Emilia sungguh menyenangkan. Kagum saya melihat dekorasi kamar kerjanya yang dihiasi perhiasan unik pada setiap sudut ruang. Datin Wira Emilia hanya tersenyum kala melihat reaksi saya meneliti suasana dan sentuhan rekaan pejabatnya.
 
Kematangannya sebagai wanita korporat terserlah pada setiap bait bicaranya kala berkongsi visi masa depan syarikat yang di usahakan bersama suaminya iaitu usahawan terkemuka tanah air, Datuk Wira SM Faisal Tan Sri SM Nasimuddin. Emilia juga bijak mengatur strategi dan visinya di dalam perniagaan. Perkongsian idea bersama suaminya membuahkan duo yang mantap dan terus menongkah selok belok perniagaan tanpa ada rasa gentar.
 
SUPREMASI KERJAYA Bertugas sebagai Pengarah Eksekutif Kumpulan yang juga selaku Pengarah Kreatif Kumpulan di Eftra Group of Companies, cabarannya bukan mudah. “Tanggungjawab yang disandarkan besar kerana ia memerlukan saya memantau segenap aspek dari servis dan operasi yang berlaku di dalam syarikat ini. Ia menuntut tenaga serta kesungguhan yang luar biasa.” Emilia mulai bercerita mengenai syarikat yang sedang diterajuinya. “Lebih-lebih lagi sebagai sebuah syarikat Sendirian Berhad, survival antara perkara yang dititik beratkan selain keuntungan.”
 
Saya memberikan 110 peratus komitmen penuh ke dalam semua cabang yang diceburi termasuklah urusan pemasaran dan mempromosikan Eftra. Walaupun ada masa naik dan turun, tetapi Alhamdullilah saya tidak pernah gagal. Ya, mungkin pekerja di sini bekerja lima hari seminggu, bercuti hari Sabtu dan Ahad, namun tidak bagi saya. Selain syarikat, keluarga tentu sekali priority saya. Sebab itu saya bersyukur kerana Datuk Wira selaku penaung sentiasa menyokong dan memberikan semangat untuk menyempurnakan setiap urusan perniagaan yang di terokai dengan baik. Ternyata ia satu proses pembelajaran yang tiada titik noktah dan saya sentiasa bersedia untuk menerimanya secara terbuka,” sambungnya lagi yang juga gemar meneroka idea baru bagaimana untuk menanam buah-buahan dan teh herba dan mencurahkan 110 peratus usaha menjaga dan memastikannya ia tumbuh dengan baik.
 

See also
Fasha Sandha: On Claiming Her Freedom & Starting over

[soliloquy id="40934"]

 
Tahun ini masuk tahun ke enam Eftra Group ditubuhkan sejak 2010. Syarikat yang menyediakan perkhidmatan berasaskan solusi kepada pelanggan, membantu mereka menerajui potensi industri kini terus mendominasi setiap lapangan. Antaranya ialah pembangunan hartanah, pembinaan dan harta tanah, pembekal bahan binaan, pengurusan projek perundingan, perhubungan awam dan media, telekomunikasi, agensi khas dan majlis korporat, pemasaran digital, pengangkutan awam, minyak dan gas, penyelesaian penyimpanan, perdagangan berskala besar, perundingan teknologi untuk pembangunan perniagaan dan terbaru ialah pengkhususan teknologi rekaan hiasan dalaman.
 
“Moto Eftra yakni Beyond Extraordinary cukup untuk menggambarkan bagaimana syarikat ini meneroka peluang perniagaan masa kini untuk kelangsungan masa hadapan,” tegasnya lagi. “Kelangsungan yang dimaksudkan ialah generasi baru yang terdiri daripada tenaga pekerja muda yang berpotensi meraih kejayaan buat masa hadapan Eftra Group. Kami percaya bahawa setiap seorang daripada kita adalah unik dengan bakat dan kebolehan tersendiri, maka atas alasan inilah Eftra Group mahu meneroka segenap aspek perniagaan dan memupuk mereka untuk terbang lebih tinggi.”
 
Setiap kali menyentuh soal kerja dan syarikatnya Emillia akan bercakap dengan penuh bertenaga. Matanya seolah-olah bercahaya kerana katanya syarikat ini ditubuhkan dengan penuh rasa dedikasi. Justeru, ia begitu dekat dengan hati, diri dan keluarganya. Kala ditanya maksud Eftra, Emilia menegaskan simbolik nama Eftra itu sendiri cukup istimewa. “Huruf EF yakni F itu mewakili nama suami saya, Datuk Wira SM Faisal begitu juga nama ketiga-tiga anak lelaki saya yang bermula dengan F iaitu SM Fawwaz Amin, SM Faiz Nasimuddin dan SM Farhan Kamal. Sementara abjad E adalah pangkal nama saya dan ‘tra’ bermaksud ekstra dalam segala-galanya,” terang Emilia bangga.
 
Emilia turut teruja memberitahu rekaan bangunan dan logo syarikatnya. “Rekaan bentuk bangunan bagi saya sangat menarik kerana ia berbentuk sebuah kapal. Warna turquoise mewakili sifat air yang lembut tetapi kuat manakala simbolik logo Eftra Group yang diilhamkan di Harvard University di Boston, Massachusetts mencedok rupa bentuk tapak sulaiman yang unik. Begitu juga dengan dekorasinya, ia sarat elemen timeless, sedikit klasik tanpa menyisihkan sentuhan moden serta merangkumi banyak unsur Islamik. Faisal selaku kapten dan saya bertindak sebagai co-pilot dalam mengemudi dalam pelayaran ini.
 
Bagaimana pula dengan perancangan masa depan? “Kami optimis ingin menjadi peneraju dalam industri berkaitan menerusi inovasi servis dan produk baru. Selain mengasah dan memupuk bakat muda untuk berkembang dan tumbuh yakni memberikan sepenuhnya komitmen pada penambahbaikan syarikat dalam perniagaan, Eftra Group juga kini mengembangkan sayapnya merentas benua dan kami sudah mula memacakkan nama di pentas antarabangsa, berkembang jauh ke peringkat antarbangsa.Alhamdullilah, kini Eftra Group sudah beroperasi di London dalam bidang pelaburan hartanah. The possibility is endless. InsyaAllah.”
 
Konsep & Penata Gaya: Cheah Wei Chun/Clanhouseonline.com
Gambar: Bustamam Mokhtar
Penyelaras: Aizat Aidid
Teks: Yusairi Fitri
 
*Dipetik dari GLAM edisi Julai 2015
 
 

See also
Shailene Woodley Ditangkap Atas Tuduhan "Criminal Trespassing"