Aleeza Kassim: "“Rita Suraya memang memiliki aura seorang model yang hebat."

Aleeza Kassim: “Rita Suraya memang memiliki aura seorang model yang hebat.”

Teks: Aizat Aidid
Konsep & Penata Gaya: Cheah Wei Chun/Clanhouseonline.com
Gambar: Bustamam Mokhtar/White Studio
 
Aleeza Kassim
 
Sudah beberapa kali kami menjemput Aleeza Kassim untuk menghiasi kulit muka GLAM. “Maaflah, bukan menolak tapi selalu sangat tarikh dan masa bercanggah dengan jadual saya. Tapi kali ini kena dengan masanya. Dan GLAM selalu hasilkan yang terbaik, jadi saya tidak mampu menolak. Akan cuba juga curi masa untuk penggambaran
kulit majalah sempena ulang tahun ke-10 GLAM.”
 
“Banyak juga kerja saya bersama GLAM dulu. Paling dekat di hati adalah apabila GLAM terbangkan saya ke Australia. Aduh, sungguh mencabar sekali trip ke tanah gersang sewaktu musim sejuk. Banglo mewah in the middle of nowhere, walaupun kekurangan makanan dek kerana cukup terpencil namun ia tetap berjalan dengan lancar. Bertuah saya kerana dapat mencuba air tangan Ziana Zain yang memasak hidangan untuk seisi rumah!” kongsi Aleeza Kassim tentang pengalaman penggambarannya ke Australia buat isu September 2010.
 

Aleeza Kassim September 2010Aleeza Kassim dalam GLAM edisi September 2015.

 
Itu bukan sahaja pengalaman yang tersemat di hati Aleeza. Banyak lagi kisah menarik yang mewarnai hidupnya yang bergelar peragawati sebelum mencuba nasib dalam dunia perfileman. “Oh, ada lagi satu cerita yang tidak ramai tahu tentang sekumpulan model Malaysia diterbangkan khas ke Minggu Fesyen Karachi. Kami semua didandan menggunakan bedak yang sama, cuba bayangkan satu rona untuk semua jenis kulit… habis muka kami berubah seperti badut. Itu masih boleh tahan lagi. Tapi sewaktu pulang dari Pakistan ke Malaysia, hampir semua model Malaysia sakit perut. Ketika kapal terbang mahu mendarat saya dan Anita Aziz masih lagi dalam tandas kapal terbang sebab terlalu sakit perut. Lama juga nak sihat, lebih seminggu perlu tahan sakit!”
 
Berkongsi mengenai perbezaan industri peragaan dahulu dan sekarang, kata Aleeza, ketika eranya, dia dan model lain seperti Nasha Aziz serta Anita Aziz semuanya bagaikan dalam satu pasukan yang kuat. “Kami saling bantu-membantu. Jika ada pertunjukan fesyen dan mereka memerlukan model, saya akan cadangkan nama-nama kawan rapat. Dahulu pertunjukan fesyen sungguh menyeronokkan. Dan paling penting kami semua sentiasa menjaga tatasusila masing-masing. Sekarang saya tengok model baru hanya datang ke pertunjukan fesyen dengan membawa satu jenis kasut, kerana yakin semuanya sudah disediakan. Cuba tanya dengan Nasha berapa pasang kasut kami bawa. Sepuluh dalam satu beg baru cukup!” ujar Aleeza yang juga percaya bahawa untuk menjadi peragawati yang berjaya, disiplin perlu dijaga.
 
Aleeza Kassim masih ceria dan cool seperti dulu, bagaikan tiada ada yang berubah. Namun setelah dicungkil baru dia meluahkan perasaannya. “Bukan mahu menghilangkan diri dari Malaysia, tapi selepas berpisah dengan suami, saya mahu rehatkan minda dan perasaan. Kerana itu saya kerap terbang ke London dan Amsterdam. Lagipun sepupu saya ada di sana dan kami habiskan masa bersama. Hubungan saya dan bekas suami juga masih baik. Dia kerap bertanya khabar. Mungkin sudah tidak ada jodoh. Kita hanya merancang, Allah yang menentukan. Penat juga ya… jadi model-turned-actress. Semua kisah peribadi orang nak ambil tahu,” nada kesalnya sedikit terasa namun Aleeza tidak pernah kecewa dengan mengambil keputusan untuk mencuba nasib dalam dunia lakonan.
 
Aleeza Kassim2
 
Sempat juga Aleeza bertanyakan siapa peragawati sekarang yang tengah hangat. Menyebut beberapa nama, terus Aleeza mencelah, “Rita Suraya memang memiliki aura seorang model yang hebat. Sempat juga saya bekerja dengannya. Sudah lama sebenarnya dia dalam arena ini. Mungkin baru sekarang mahu bersinar. Bangga juga melihat dia kecapi status sekarang. Lagi satu, Neelofa pun dahulunya bekas pelajar saya di studio Vogue At Work. Saya janjikan dia mahkota juara Dewi Remaja. Lalu saya mengajarnya dari gaya catwalk, penampilan diri hingga cara bertutur. Terus menang dan kini banyak rezeki berpihak kepada Neelofa. Bangga melihat anak didik hasil keringat saya berjaya.” Namun, Aleeza tidak lagi meneruskan studionya. Bukan Aleeza tidak mahu mendidik model baru, tapi katanya lebih ramai yang mahu mengejar populariti dan minat kebanyakan mereka cuma tertumpu kepada wang ringgit atau mendapatkan lelaki berada.
 
Sedar atau tidak, Aleeza Kassim sendiri bekas pemenang Dewi Remaja namun perjalanan Aleeza dalam dunia peragaan sudah mekar sejak kecil lagi. “I was a fat baby! Sejak kecil lagi saya sudah banyak beraksi dalam iklan komersial khasnya untuk jenama susu bayi. Masa belasan tahun pula banyak buat pertunjukan fesyen kecil-kecilan. Sehingga umur mencecah 18 tahun, terus saya membuat keputusan untuk menyertai pertandingan Dewi Remaja. Lepas menang, banyak juga tawaran yang membawa saya terbang ke negara serantau untuk pertunjukan fesyen serta sesi penggambaran. Kerjaya ini yang saya pilih untuk menampung hidup. Tapi kini saya mahu memberi fokus dalam perniagaan baju dan coklat pula.”
 
*Artikel ini disiarkan dalam GLAM edisi April 2014
 
 

See also
Sophia Mohd Noor Stripped!