Merancang Hari Bahagia
Merancang acara majlis, mengundang tetamu, pereka busana, dekorasi pelamin seolah-olah tidak akan berakhir. GLAM Weddings berkongsi tip menjayakan acara terindah anda.
Apabila mahu memilih perancang perkahwinan profesional faktor pertama yang perlu dipertimbangkan adalah jenis perkhidmatan yang diperlukan. Perancang perkahwinan sepenuh masa bersedia untuk menyediakan setiap perincian acara, termasuk menyewa lokasi, dekorasi majlis, urusan katering dan sebagainya. Pendek kata, seorang perancang perkahwinan akan menguruskan setiap perincian saat bahagian anda. Terdapat juga perancang perkahwinan yang hanya menawarkan perkhidmatan separa. Perkhidmatan sebegini direka bagi membantu pasangan mendapatkan lokasi acara yang bersesuaian serta mengikat kontrak bersama pembekal yang diperlukan.
Biarpun tugasan yang dipikul kelihatan ringkas, namun ianya dapat membantu pasangan serba sedikit. Namun, meneliti dalam jangka masa yang panjang, perkhidmatan penuh perancang perkahwinan adalah pilihan yang terbaik kerana menjimatkan masa dan sekaligus, mengurangkan bebanan tekanan bakal mempelai.
Sebelum membuat pilihan akhir, aturkan temuduga bersama. Ingat! Bukan semua perancang perkahwinan sama, jadi beri sedikit ruang buat diri untuk berbicara dengan beberapa penyelaras berbeza dan membuat perbandingan kos dan tawaran perkhidmatan. Teliti profil mereka terdahulu. Apa acara yang pernah dikelola bagi mendapat pemahaman yang mendalam tentang kerja-kerja yang pernah dilakukan.
Perancang perkahwinan yang bagus dapat menyuntik keyakinan kepada pelanggan dengan profil majlis yang dijayakan. Selain itu pastikan anda meminta senarai perkhidmatan yang ditawarkan seperti butiran acara, bermula daripada kad undangan hingga ke aturan hidangan. Jika anda masih keliru membuat pilihan antara tiga penyelaras, satu tip yang anda harus tahu bagi membezakannya adalah, perancang professional mampu mengambil idea acara anda dan mengolah dengan konsep gaya tersendiri. Namun, ianya harus kelihatan lebih baik dari idea anda. Maksudnya, they should be able to beautify your initial idea in creating your dream wedding!
Perbelanjaan
Sewaktu berunding, pastikan mereka tahu bajet belanjawan anda. Kemampuan bekerja dalam lingkungan set bajet adalah bahagian terpenting dalam menjadi seorang penyelaras acara. Selain itu, mereka juga seharusnya berkongsi cadangan dan idea untuk menjimatkan kos perbelanjaan serta memberikan perkhidmatan kelas pertama di hari bahagia. Bagaimana ingin menjimatkan kos perbelanjaan jika mahukan acara yang glamor? Selalunya perancang perkahwinan mempunyai hubungan yang baik dengan vendor juga katerer. Disinilah, perbezaan harga memainkan peranan. Pastikan perancang anda, memiliki networking yang baik bagi memudahkan segala tugasan.
Akhir sekali, tanya perancang apa yang diliputi dalam jumlah kos. Adakah kos vendor juga katerer akan disertakan sekali dalam jumlah belanja atau dibayar secara berasingan? Ini memudahkan anda mengatur perbelanjaan. Mengupah perancang perkahwinan dapat membantu mengurangkan tekanan daripada pelan acara. Apabila memilih, carilah penyelaras yang memahami kemahuan anda. Pilih perancang yang anda selesa bekerja serta komited dengan tugas mereka. Komunikasi juga turut memainkan peranan untuk mendapatkan keserasian diantara pelanggan dan perancang bagi merealisasikan perkahwinan impian!
Menzahirkan suasana perkahwinan yang indah adalah seperti mencipta suatu karya seni kerana ia memerlukan keserasian, keseimbangan dan kemeriahan. Memilih tema dan palet buat perkahwinan membolehkan anda menyuntik personaliti tersendiri dalam setiap sudut. Tona juga tema mampu dinyatakan melalui suasana dekorasi serta pelbagai perincian yang boleh menjadikan majlis tampil unik dan penuh kenangan. Tema perkahwinan mungkin sedikit kompleks namun, ianya harus mencerminkan gaya anda.
Terdapat pelbagai tema popular yang boleh dipilih sebagai suasana acara. Mahukan yang lebih istimewa? Ciptalah sendiri dengan idea peribadi! Antara tema majlis kegemaran hari ini adalah pantai, vintaj, tropikal, taman, oriental, English dan Timur Tengah. Nyatakan dengan jelas tema acara dengan menggunakan beberapa kata nama atau kata sifat. Ini bakal membantu diri dan setiap individu yang membantu merancang acara bagi mencapai visi yang diinginkan. Biarpun ada segelintir tema yang kompleks, komunikasi jelas akan membantu anda untuk memastikan visi yang diinginkan tercapai.
Tema
Memilih tema perkahwinan seharusnya mudah. Apabila berfikir mengenainya, mulakan dengan perbincangan seperti brainstorming. Berikut adalah beberapa perkara yang harus difikirkan kala memilih tema acara:
• Hobi Perkara yang gemar dilakukan bersama sebagai pasangan.
• Lokasi pertemuan: Pertimbangkan bagaimana dan di mana anda pertama kali bertemu.
• Kegemaran bersama: Sukan dan aktiviti lain yang sering dikongsi bersama seperti filem, muzik, seni ataupun kebarangkalian yang boleh dijadikan sebagai tema.
Palet Warna
Mencari palet warna yang tepat di hari bahagia juga penting. Pemilihan tema perlu seiring dengan warna pilihan sebagai contoh tema pantai, sesuai dengan tona aqua dan putih karang. Anda mungkin perlu mempertimbangkan paduan tona utama bersama warna lain aksen sebagai pelengkap. Ia mampu membantu anda menyuntik kesempurnaan suasana. Berikut adalah beberapa konsep gabungan tona yang boleh anda cuba :
• Monokrom dalam palet ini terdapat hanya satu tona dan pelbagai nilai, bayangan (dengan menambah tona hitam) dan keserian (dengan menambah tona putih) ataupun nada (dengan menambah tona kelabu). Ini boleh mewujudkan efek penyatuan yang harmoni secara klasik.
• Analogi Skim tona ini duduk secara bersebelahan dalam roda warna dan mampu menyuntik efek keharmonian. Fikirkan biru, ungu dan magenta sebagai contoh.
• Lengkapan dua tona yang bertentangan dalam roda warna. Skima tona ini boleh mencipta suasana bertenaga, namun beberapa helah perlu diterapkan bagi mengimbangi suasana. Setelah memilih tema dan palet warna yang sesuai, gabungkannya bersama butiran serta perincian acara. Tetapi ingat, terapkan kesederhanaan dan jangan keterlaluan dengan tema! Lihat beberapa aspek yang boleh dinyatakan dengan penggunaan tema and tona pilihan anda:
• Kad jemputan
• Gubahan bunga
• Hiasan pelamin
• Alas meja dan kerusi
• Hiasan meja dan dewan
• Buah tangan buat tetamu
• Kek perkahwinan
• Nombor meja, menu hidangan dan acara majlis
• Majlis Pra-perkahwinan
Kongsi tema dan tona pilihan anda bersama semua individu yang terlibat dalam menjayakan perkahwinan anda termasuk perancang perkahwinan, katerer, pereka grafik dan pereka busana. Anda juga boleh mendapatkan idea melalui majalah serta sumber talian sebaik sahaja pilihan tema dan warna selesai dipilih. Selamat merancang!
Lokasi Cinta
Sebelum anda memilih lokasi acara, kenal pasti terdahulu apa yang diinginkan dan senarai kriteria pemilihan. Berikut adalah beberapa perkara asas yang harus dipertimbangkan:
• Geografik Pilihan: Bagi kebanyakan pasangan, adalah penting untuk memilih lokasi yang mudah bagi tetamu. Walau bagaimanapun, sama ada anda mengacara majlis hampir dengan lokasi rumah atau merancang untuk mengadakan perkahwinan di luar bandar, negeri mahupun negara, fikirlah tentang logistik untuk membawa tetamu ke lokasi acara.
• Stail: Tahukah anda jenis acara yang mahu dikelola. Adakah ianya formal atau kasual? Perkahwinan tradisional atau moden? Acara waktu malam atau siang? Di dalam bangunan atau luar? Bufet atau hidangan meja? Dengan mengenalpasti lokasi geografikal serta elemen penting bagi perkahwinan impian.
• Bilangan Tetamu: Berapa ramai tetamu yang dijangka hadir? Penting untuk membuat anggaran tepat bagi senarai tetamu secara lebih awal bagi merancang bajet dan lokasi majlis. Percaya atau tidak, ianya tidak mustahil jika tetamu yang hadir melangkau bilangan yang dijangkakan. Bagaimana? Segelintir individu yang tidak peduli mengenai pentingnya fungsi RSVP. Bagi mengelakkan perkara sebegini berlaku adalah elok jika anda menghubungi individu yang tidak RSVP terlebih dahulu. Beritahu dengan sopan bahawa mereka perlu membalas status kehadiran pada tarikh tertentu bagi menyediakan tempat duduk dan hidangan.
• Faktor Cuaca: Cuaca mampu mempengaruhi mood majlis anda. Penggunaan kanopi, meja dan payung adalah penting untuk semua pihak. Ambil kira ramalan cuaca sebelum menetapkan tarikh acara. Jika anda mengacara parti di kawasan luar dan ramalan cuaca sukar diduga, sediakan pelan kontingensi: ia adalah idea terbaik sekiranya mempunyai akses ruang tertutup jika berlakunya perubahan cuaca secara tiba-tiba.
• Tarikh: Mimpi ngeri sering menghantui bakal pengantin apabila berbicara mengenai pemilihan tarikh dan lokasi. Elakkan tempahan secara lisan, sebaiknya tempah lokasi berserta deposit. Pastikan anda mendapat resit beserta dengan tarikh acara, tahun, masa dan ruang tertulis serta tarikh akhir tempahan tentatif luput. Sekiranya anda telah membuat pilihan lokasi, dapatkan kontrak untuk ditandatangani atau sekurang-kurangnya surat pengesahan bagi mengelakkan sebarang masalah ataupun kekeliruan.
]
• Kualiti Santapan: Makanan adalah bahagian terbesar dalam bajet acara. Memandangkan jumlah wang yang ada bakal dilabur disini, anda harus mengambil berat tentang jenis hidangan, kuantiti dan kualiti yang bakal dihidang. Jika katering dalaman disediakan, cadangan GLAM, lakukan food testing sebelum membayar deposit. Jika mahu melihat bagaimana mereka mengendalian persediaan makanan dan pembentangan, minta katerer aturkan jadual lawatan.
Utusan Majlis
Ia lambang keperibadian, tema perkahwinan dan keseluruhan gaya perkahwinan bersama si dia. Kebanyakan penerima akan membuat keputusan terus di saat mereka mendapat undangan, jadi adalah penting untuk menyediakan RSVP. Memilih undangan perkahwinan yang sempurna sama penting bak memilih busana rekaan dan juru gambar. Ingat, apabila berbicara mengenai reka bentuk undangan, ianya turut termasuk pemilihan kad respons (atau kad rsvp), sampul kad, tarikh juga program acara, menu hidangan, kad eskot serta lokasi, nombor meja, peta, napkin, papan tanda dan sebagainya. Jangan tunggu sehingga hampir acara baru mahu mengedar utusan cinta kerana anda mungkin akan dibelengu masalah pengurusan tetamu. Justeru, buat tempahan awal. Sambil merancang kewangan untuk undangan.
Sebaik-baiknya, serahkan kad undangan lapan minggu sebelum acara. Harus ingat satu jemputan mewakili satu pasangan atau seisi sekeluarga. Jika anda ingin mengacara majlis yang lebih privasi dengan hanya kehadiran orang dewasa, nyatakan ia di dalam kad undangan. Bagaimana mengurus senarai tetamu? Dengan membahagikan senarai anda pada dua kumpulan secara berasingan. Senarai A adalah tetamu utama yang anda mahu undang (kaum keluarga juga teman akrab) dan senarai B pula terdiri daripada tetamu yang anda berasa selesa (rakan sekolah juga teman pejabat).
Fon
Gabungkan fon ringkas bersaiz kecil dengan fon besar. Apabila memilih fon, pastikan anda teliti terlebih dahulu singkatan pertama nama anda dalam fon yang sedang dicadangkan. Jika anda menyukainya, anda pasti suka dengan keseluruhan tata atur undangan tatkala selesai direka.
Alamat Tetamu
Mahu jimat lebih masa? Upah penulis kaligrafi untuk menyelesaikannya. Tetapi ingat, pastikan anda menempah sampul surat ekstra sebagai back-up sekiranya nanti ada kesilapan yang tidak dapat dielakkan.
Signature
Anda boleh memilih dari pelbagai reka bentuk atau mencipta sendiri dengan karya seni atau foto peribadi. Trend terkini semestinya mengetengahkan setem signature sebagai pemanis kad undangan. Cubalah! Majlis pasti tampil lebih peribadi dengan ilusi elegan.