Diilhamkan oleh energi muzik elektronik, Chanel merungkai semula jam tangan J12 yang berkombinasi material seramik putih berteknologi tinggi dan emas putih 18K. Perincian bezel emas putih dikemaskan dengan 46 butir batu nilam potongan baguette dalam keceriaan rona pelangi. Sementara itu, crown emas putih juga diset dengan sebutir berlian potongan brilliant selain memaparkan 12 butir batu nilam sebagai indeks masa pada laman dail lakuer putih. Terhad kepada 55 utas, jam eksklusif ini bernadi pergerakan automatik kaliber 12.1 dan kalis air sehingga 50 m.
Transformasi terkini buat ikon ciptaan Audemars Piguet ini adalah yang paling memukau pernah dilakarkan. Selain, dihiasi batu nilam berpotongan baguette berwarna pelangi dengan total 2.24 karat; model Royal Oak berangka 37 mm ini diberi kemasan fros pada segenap tubuhnya. Tampil diperbuat dari emas putih sepenuhnya, jam mendedahkan laman dail terbuka dengan perincian indeks masa serta jarum dari emas merah lalu disuntik cat kilau. Jam ditenagai kaliber automatik 3132 ciptaan Audemars Piguet dan berpunya rizab kuasa 45 jam serta kalis air sehingga 50 meter.