Speedmaster 38 mm Hadir Dengan Lapan Variasi Terkini

Omega Menambah Variasi Baharu Buat Koleksi Speedmaster 38 mm

Jam kronograf ikonik Omega, Speedmaster bersaiz 38 mm ditambah dengan lapan model terkini termasuk menggunakan material popular mereka yakni 18K Sedna™ Gold.

Pertama kali dilancarkan pada 2017, koleksi Omega Speedmaster 38 mm menawarkan peminat horoloji dengan rekaan kronograf nan mewah. Antara yang popular adalah jam tangan koleksi ini dalam rona Cappuccino dan diperbuat menggunakan 18K Sedna™ Gold. Menambah gaya ikonik Omega menggunakan rekaan bujur yang terinspirasi daripada himpunan De Ville pada indeks tarikh yang terletak pada pukul 6 di atas permukaan dail jam. Koleksi Speedmaster 38 mm ini nyata memberi khabar gembira kepada pengumpul jam tangan.

speedmaster 38 mm

Marion Caunter

Terkini, Omega memperluaskan koleksi ini bersama lapan model baharu. Dua menggunakan 18K Sedna™ Gold, dua dalam material 18K Moonshine™ Gold dan empat hadir dalam keluli tahan karat yang klasik dengan dua pilihan dail berona girang. Bagi memberi gaya mewah, bezel ditatah dengan berlian yang mana setiapnya hampir 1.5 karat. Sub-dail juga dikelilingi dengan tatahan permata. Biarpun dengan kerlipan mewah permata, Speedmaster 38 mm tetap teguh dengan gaya serta legasi ikonik kronograf oleh Omega.

See also
Gucci Diana Jadi Penyeri Arm Candy Musim Kini

Hadirnya jam tangan ini adalah untuk memberi efek kemewahan pada pengumpul jam tangan. Selain tatahan berlian, pada dail juga memperlihatkan ketukangan legasi agung Omega. Bukan sahaja pada dailnya, Omega turut memberi fokus pada bahagian belakang bekas jam dengan medallion berbentuk kuda laut diukir cukup teliti. Jam tangan Speedmaster 38 mm ini juga diperkasa dengan OMEGA Co-Axial Calibre 3330. Kronograf penggulungan sendiri dengan mekanisme roda lajur, pelarian Co-Axial dan imbangan freesprung dilengkapi dengan spring keseimbangan silikon Si14.

Artikel Berkaitan: Meraikan Planet OMEGA Bersama Cindy Crawford Dan Kaia Gerber