Magis Jauhari Cartier Magicien di Tokyo - Glam Malaysia

Magis Jauhari Cartier Magicien di Tokyo

Menurut Cartier, permata itu memiliki kuasa. Ia bukan sahaja berupaya membalikkan cahaya, tetapi turut mampu mencairkan hati wanita. Jauhari ternama dunia tersebut  membuktikan yang teori ini benar menerusi koleksi high jewelry terbarunya, Cartier Magicien yang dipamerkan di Tokyo, Jepun baru-baru ini.

 

Nun jauh di balik pepohon rendang yang memenuhi halaman milik Muzium Nasional Ueno Tokyo, tersergam sebuah rumah agam lama gaya Barat. Dibina pada 1909, struktur rekaan arkitek bernama Tokuma Katayama ini turut memperlihatkan elemen tradisi zaman pemerintahan Meiji. Rumah agam berkenaan sebenarnya sebuah perlambangan cinta apabila tujuan asal pembinaan adalah sebagai ‘tugu’ perkahwinan putera mahkota Taisho. Amat sesuai sekali apabila Cartier mengguna pakai rumah agam itu sebagai lokasi pameran high jewelry terbarunya, megah terpamer bersama-sama artifak-artifak seni paling berharga Jepun.

 

Imaginasi Magicien Galeri Hyokeikan di Muzium Nasional Ueno Tokyo menjadi tumpuan peminat barang kemas serta media massa dunia apabila sebanyak 500 barang kemas daripada koleksi Cartier Magicien dipamerkan dalam ruang eksklusif yang dikawal ketat. Sofia Coppola dan Bianca Brandolini antara tetamu istimewa yang turut sama hadir menyaksikan pameran ini. Dan acara eksklusif ini dibahagikan kepada dua malam agar setiap tetamu diberi kesempatan sebaiknya untuk melihat dan mencuba sendiri barang kemas yang berkenan di hati, tanpa gangguan tetamu
yang ramai.

See also
Stail Terbaik Pelakon Dune: Part Two Di Karpet Tayangan Perdana

 

Melangkah masuk ke dalam galeri Hyokeikan, saya disambut dengan orkestra mainan lampu yang mencipta ilusi dunia khalayan serba mewah. Menerusi koleksi yang diberi nama Cartier Magicien, jauhari ternama ini berimaginasi dengan berlian dan batu-batu permata lain. Ilham utama dipecahkan kepada tiga bahagian yakni Magic of Light, Magic of Design dan Magic of the Real. Apakah yang istimewanya mengenai ketiga-tiga konsep rekaan ini? Aspek dinamik yang menangkap cahaya menjadi asas utama.

 

Koleksi Magic of Light nyata jelas dari pembikinan idea yang mengguna pakai sifat berlian itu sendiri untuk memancarkan cahaya. Sinar berlian lebih ketara melalui potongan sempurna lantas diikat sebelum menghasilkan barang kemas indah laksana masterpiece. Sebagai contoh, rantai Luminance mengumpulkan berlian yang dipotong tiga segi lantaran mencipta pencahayaan yang unik. Cartier mahu menyingkap kuasa cahaya dari matahari yang mencipta kehidupan, begitu juga barang kemas yang turut mampu mengundang sensasi hasil refleksikuasa cahaya.

 

Rantai Magie Blanche semestinya menarik minat ramai apabila ianya hadir bersama sebentuk batu permata bak loket sebagai titik tumpu. Rantai tiga lapis ini boleh dilaraskan semula menjadi dua lapis atau  selapis, malah batu permata juga boleh dialihkan mengikut selera si pemakai. Satu lagi pilihan menarik adalah rantai Merveilleux yang cukup harmoni menggabungkan berlian putih dan kuning, begitu juga rantai Divination yang turut mempunyai komposisi klasik putih kuning. Cincin Clairvoyante pula mencipta statement menerusi saiznya selain rekaan strukturnya bak kubah yang menangkap cahaya.

See also
Sembang Fesyen: Kem Salleh

 

Cartier Magicien memaparkan inovasi rekaannya melalui koleksi Magic of Design yang mengimbangi antara dinamik pergerakan dan riak garisan. Rantai Incantation dan gelang Cinetique tampak sungguh moden sekali melalui ciri rekaan geometri. Magic of the Real pula memaparkan perhiasan dengan objek alam semulajadi sebagai fokus. Unsur flora dan fauna diadaptasikan penuh artistik dan penuh imaginasi. Sebagai contoh, rantai Mandragore yang diilhamkan laksana buah-buahan yang masih bergantungan di pohonnya sementara rantai Rajastan menampilkan motif bunga melalui reka cipta yang abstrak.