Sejenak – Gaya Oasis Gastronomi
Dapur – ruang paling aktif di kediaman, wajar jika fungsi diperluas sebagai ruang bersosial dan bersantai. Lagi pula, memasak dan menikmati hidangan enak dianggap terapi. Cipta oasis gastronomi bak restoran lima bintang hanya di sarang kediaman menerusi beberapa kunci gaya.
- Jenis Material – Apabila membina dapur idaman, reka bentuk kabinet dan kaunter berpulau adalah peran utama di ruangan ini. Pilih material yang tidak hanya cantik di mata, tetapi mampu mengiringi fungsi dan gaya yang tidak mudah dimamah masa kerana anda tidak menukar kabinet setahun sekali ya. Monokrom hitam dan putih adalah paling ideal, mudah disuai padan, praktikal fungsi dan tahan lasak. Gunakan material kabinet kayu nyatuh hanya di dapur kering dan alumunium di dapur basah.
- Backsplash – Ruang di antara kabinet dapur perlu diberi pengisian. Anda boleh menentukan corak atur jubin di bahagian ini yakni backsplash membentuk paten seperti herringbone, subway atau make a statement melalui jubin bercorak.
- Teknologi Dapur – Tentukan penggunaan jenis dapur memasak sama ada dapur gas atau elektrik. Gaya masakan orang Asia lebih sesuai pada penggunaan dapur gas kerana suhu api untuk dapur elektrik tidak begitu memadai untuk masakan jenis kacau goreng. Jangan lupa perletakkan mengenai mesin pencuci pinggan, ketuhar gelombang mikro dan ketuhar agar binaan kabinet kemas, teratur dan teliti mengikut ukuran setiap barangan.
- Kemasan Lantai – GLAM Deko tidak begitu mengesyorkan penggunaan lantai jenis kayu di ruangan dapur basah kerana aktiviti di dapur orang kita lebih ‘sibuk’ terutama apabila meraikan tetamu. Gunakan jubin, penghuni boleh memberanikan diri meneroka corak dan potongan jubin unik di lantai ruangan ini.
- Lampu – Gantungan lampu ‘tiga sekawan’ di bahagian kaunter berpulau atau bersarapan mampu membangkit karakter tersendiri. Pilih lampu diperbuat daripada metal agar mudah dibersihkan selain tidak menyerap kotoran.
0 Comments